|
SYARIAT,
THORIQAT, HAKIKAT DAN MAKRIFAT
(diadaptasi drp laman suluk98)
"
Maka segala
jalan yang ditentukan oleh syarak yang di bawa oleh Rasulullah SAW. itu tiada
keluar daripada pekerjaan yang disuruh ertinya mengerjakan yang disuruh dan
meninggalkan yang ditegah. Maka setengah daripada jalan itu ialah dengan
membanyakkan sembahyang sunat dan puasa dan zikirullah dan membanyakkan membaca
dan mengkaji Al-Quran, memperdalami ilmu agama, berbuat kebajikan kepada
golongan fakir dan lain-lain lagi daripada yang disuruh dan menjauhkan apa yang
ditegah.
Dengan
demikian, mengerjakan apa-apa yang tersebut itu dikatakan "Thoriqat" dan
orang yang menjalankannya dan mengerjakan yang demikian itu dinamakan dia "Ahli
Thoriqat". Maka difaham daripadanya, jelaslah dan nyatalah bahawasanya
thoriqat itu ialah syariat juga dan tiada keluar sekali daripada nama syariat
di mana ianya telah ditegaskan oleh Allah Taala dalam firmanNya dalam Surah
Al-Hasyr:07
وَمَآ آتَاكُمُ ٱلرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ
فَٱنتَهُواْ …
Maksudnya:
"Dan apa-apa yang telah
mendatang ia akan kamu oleh Rasulullah itu maka ambil oleh kamu dan apa-apa
yang menegah ia akan kamu, maka berhentilah oleh kamu jangan dikerjakan".
Itulah
sebenar-benar Thoriqat; iaitu Syariat dalam erti kata melaksanakan dan
menjunjung akan apa yang disuruh dan menjauhkan apa yang ditegah. Bukanlah
ditentukan dengan kehendak dengan thoriqat itu semata-mata atau khusus dengan "Thoriqat
Naqsyabandiyah" atau "Thoriqat Khulwatiyah" atau "Thoriqat Ahmadiyah" atau
lain-lain lagi.
Adapun yang dimasyhur
dengan thoriqat-thoriqat tersebut adalah semata-mata disandarkan kepada orang
yang mula mengasaskan dan mengerjakan pekerjaan itu hingga masyhur namanya dan
dikatakanlah thoriqat itu Thoriqat fulan-fulan. Ini adalah
"salah satu cara atau jalan" untuk
sampai kepada Allah di samping banyak lagi jalan-jalan lain yang ada mengikut
sebilangan nafas yang ada pada makhluk ini.
Perlu
ditegaskan bukan kita menafikan akan kebenaran
Thoriqat khususiah ini, tetapi
kita ingin menjelaskan bahawa itu adalah salah satu jalan dari jalan-jalan lain
yang ada.
Bukanlah semestinya dengan jalan yang ini sahaja dan
janganlah dinafikan jalan yang lain kerana menafikan jalan yang lain samalah
seperti menafikan anugerah Rahmat Allah yang lain.
Janganlah terkeliru dengan
istilah Thoriqat ini sehingga ada yang sanggup menidakkan atau mempelekehkan
orang-orang yang tidak ikut dalam Jamaah Thoriqat Khususiah yang tertentu dengan
tuduhan-tuduhan liar sebagai orang
yang "suka makan kulit sahaja" atau "orang yang tidak mengamalkan ilmunya" atau
"golongan syariat yang jahil tentang thoriqat dan makrifat" atau "orang yang
tidak mengikut jalan yang sebenar" atau tuduhan-tuduhan lain hanya kerana mereka
tidak ikut berthoriqat secara khususiyah mengikut mana-mana nama thoriqat
seperti di atas. Tujuan mereka adalah sama sahaja iaitu untuk sampai kepada
Allah dan berbeza mungkin pada jalan-jalannya sahaja.
Jangan....jangan
sekali dipersempitkan keluasan Allah dan dikurangkan Kekayaan Allah Yang Maha
Meliputi di atas setiap penzhohiran yang ada. "Kemana
sahaja mereka memalingkan muka mereka, di situ ada Wajah Allah".
(Al-Baqarah:115). Jangan pula kita lupa kepada pandangan hakikat dan
orang-orang yang bermakrifat bahawa untuk "sampai kepada Allah" itu adalah
dengan limpah rahmatNya jua.
Telah diceritakan daripada seorang lelaki berkata kepada Sheikh (Guru)nya.
Katanya; Wiridkan olehmu kepadaku suatu wirid. Mendengar pertanyaan lelaki
itu, maka marahlah Sheikhnya kerana bodohnya permintaan tersebut. Katanya
(sheikh); Adakah aku Rasul yang mewajibkan segala yang wajib dan segala fardu
itu telah maklum dan segala maksiat itu telah masyhur.
-
Maka peliharakan bagi segala
fardu dan
-
tinggalkan segala maksiat itu
dan
-
peliharalah olehmu akan hatimu
daripada berkehendak kepada dunia dan kasih kepada perempuan dan
-
lemahkan kepada syahwat. dan
-
redholah engkau pada bahagian
Allah bagimu yang keredhoaan.(dari amal dan ibadatmu). Maka jadikan olehmu
bagi Allah syukur dan
-
apabila datang bagimu kedukaan
maka jadikan olehmu sabar.
[Petikan dari Kitab Hikam
Ibni Athoillah]
..bersambung
~~~~~ o O o
~~~~~
|