Songkit: Cotton or silk weaven with gold or silver thread to form the base of Malaysian muslim ceremonial attire.
 

 

SYARIAT, THORIQAT, HAKIKAT DAN MAKRIFAT

(diadaptasi drp laman suluk98)

"Hakikat tidak akan muncul sewajarnya jika Syariat dan Thorikat belum betul lagi kedudukannya. Huruf-huruf tidak akan tertulis dengan betul jika pena tidak betul keadaannya."

Fakir Suluk mulakan bicara dengan Taufiq yang diberikan oleh Allah Taala Yang Ampunya Pengetahuan.

Adapun perkataan Syariat,  Thoriqat,  Hakikat dan Makrifat walaupun ianya berlainan pada sebutan tetapi dari segi tujuannya adalah satu jua iaitu sekelian itu "Syariat".  Berlainan pada lafaz atau sebutan-sebutan ini adalah  kerana berlainan hantaran jua seperti yang akan dibincangkan dalam bab ini Insya Allah.  Kata Sheikh Al-Islam Sulaiman bin Shodiq رحمه الله تعالى dalam kitabnya Mizaan Al-'Aqala' bahawa tiap-tiap satu daripada perkara-perkara tersebut ada dua hantaran maknanya iaitu;

  • Makna Lughowi (dari segi bahasa) dan
  • Makna Istilah (dari segi syarak)

Adapun tiap-tiap satu daripada empat perkara itu  atas sekira-kira makna lughowi(bahasa) iaitu;

  • Syariat adalah kenyataan
  • Thoriqat adalah  jalan
  • Hakikat adalah sebenar
  • Makrifat adalah mengenal.

 

1. Penerangan  Mengenai Syariat.

Adapun makna istilah atau pengertian mengikut syarak  bagi syariat ialah;

"Undang-undang Tuhan yang dihantarkan untuk kebaikan hamba daripada sekira-kira suruh dan tegah dan harus".

  • Maka "suruh" itu dua bahagi iaitu,  pertamanya wajib dan keduanya sunat.
  • dan "tegah" itu dua bahagi juga  iaitu haram dan makruh
  • dan "harus" itu satu jua

dimana berjumlah semuanya  lima perkara iaitu;

  • Wajib
  • Sunat
  • Haram
  • Makruh & harus

     

    Adapun erti wajib itu ialah sesuatu yang diberi pahala pada mengerjakannya dan berdosa apabila meninggalkan ia.  Sunat itu pula ialah sesuatu yang diberi pahala pada mengerjakannya dan tiada berdosa apabila meninggalkan ia. 

     

    Adapun haram itu ialah berdosa pada mengerjakannya dan diberi pahala pada meninggalkan ia dan makruh itu tiada berdosa mengerjakan ia dan diberi pahala apabila meninggalkan ia dan harus itu bersamaan jua sama ada mengerjakan ia atau meninggalkan ia iaitu tidak diberi pahala atau dosa..
    Inilah yang dinamakan Syariat atau Syarak.

 

Maka tiap-tiap yang keluar daripada perbuatan kita atau perkataan kita atau niat kita semuanya yang mencakupi zahir dan batin  tidak terlepas malah akan terkena dengan salah satu daripada tiga perkara itu iaitu;

  • adakalanya kebajikan atau
  • tidak kebajikan atau
  • tidak kebajikan dan tidak kejahatan

 

Maka tiga perkara ini merupakan penimbang syariat;  di mana tak dapat tidak (mesti) akan terkena pada tiap-tiap seseorang.  Maka yakinilah bahawasanya thoriqat,  hakikat dan makrifat  ketiga-tiganya  itu adalah syariat juga;  tiada keluar sekali-kali daripada nama syariat.  Ia hanyalah bersalahan pada nama dan sebutan jua dan sebab yang demikian itu adalah kerana Thoriqat itu maknanya pada istilah atau syarak ialah "WASILAH" dan erti wasilah itu ialah tiap-tiap sesuatu yang boleh menyampaikan dan menghasilkan kehendak seperti kapal atau kereta dan lain-lain di mana sekelian itu merupakan "WASILAH" atau "THORIQAT" yang menyampaikan kepada tempat yang diqasadkan.

 

2.  Penerangan Mengenai Thoriqat

Adalah tujuan kehendak "SYARIAT" itu dua perkara sahaja iaitu;

  • Pertamanya "Takliyah"  ( تخلية  dan
  • Keduanya "Tahliyah" ( تحلية )

 

Adapun erti Takliyah itu ialah "membersihkan dan menyucikan daripada segala kejahatan zhohir dan batin" dan erti Tahliyah itu ialah menghiasi dan bersepakai dengan kelakuan dan perangai yang baik zhohir dan batin.

Maka kejahatan yang sehabis-habis jahat dan keji itu ialah lupa atau lalai kepada Allah Taala dan kebajikan serta kelakuan perangai yang sehabis-habis baik itu ialah "Dawaamul Hudur" ertinya sentiasa ingat akan Allah Taala.

Firman Allah Taala;

وَللَّهِ ٱلْمَشْرِقُ وَٱلْمَغْرِبُ فَأَيْنَمَا تُوَلُّواْ فَثَمَّ وَجْهُ ٱللَّهِ إِنَّ ٱللَّهَ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

"Kemana sahaja mereka memalingkan muka mereka,  di situ ada Wajah Allah". (Al-Baqarah:115).

Maka  dua perkara  inilah  yang dituntut pada syarak kepada seorang hamba  untuk/supaya  mencarikan jalan thoriqat yang  boleh menjauhkan kejahatan itu dan menyampaikan kepada sehabis-habis kebajikan itu dengan apa-apa jalan (thoriqat) yang ada.  Maka jalan  yang ada itu tersangatlah banyak sehinggakan ada antara ulama yang mengatakan;

"Bermula jalan yang boleh   menyampaikan kepada  Allah itu amat banyak dengan sebilang-bilang nafas sekelian makhluk".

Dan lagi  firman Allah Taala dalam Surah Al-Imran:31

قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ ٱللَّهَ فَٱتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ ٱللَّهُ

Maksudnya:

Katakanlah Ya Muhamad kepada umat engkau, jika ada kamu kasih akan Allah, maka ikutilah aku(Rasulullah SAW.)  supaya kasih pula Allah Taala akan kamu.

Dari maksud Firman Allah ini membuktikan segala amalan dan perbuatan yang telah baginda lakukan dan tinggalkan atau yang baginda "syariatkan" adalah merupakan "Thoriqat"  untuk mencapai keredhoan Allah Taala.   Dan untuk memperihalkan segala amalan baginda itu, semuanya telah umum kenyataannya dari hadis-hadis dan riwayat hidup baginda serta dari kitab-kitab fekah yang diasaskan  oleh empat mazhab yang memang diakui kebenarannya..

Dalam hal  ini,  eloklah  kita lihat penegasan mengikut pandangan hakikat dari hambanya yang telah Washil ilaLah (sampai kepada Allah).  Telah menyebut oleh Al-Arif  Al-Rabbani Kamil Mukamil Wali Qutub Sheikh Abi Madyan رضى الله عنه dalam kitabnya "Kanzul Manan" sebagaimana berikut;

"Diharamkan mereka itu sampai kepada Allah kerana meninggalkan mengikut "Thoriqat Muhammadiyah" (iaitu amalan dan perbuatan Rasulullah SAW. di samping suruhan dan tegahannya) dan berjalan mereka itu dengan keinginan mereka".

..bersambung

Seterusnya
 

~~~~~ o O o ~~~~~





 

|Laman Sufi| |BicaraSufi|

base