Berserta Allah
(Ringkasan syarah Kitab Hikam oleh seorang mursyid)
sumbangan anakkajang


~~~~~ o O o ~~~~~
 

Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran 

Surah Al-Kahfi:28
~~~~~ o O o ~~~~~

Sabda nabi saw
Kun Ma’Allah fa in lam takun Ma’Allah, fakun Ma’a man Ma’Allah fa in nahu yus iluka illallaah” 

Maksudnya: “Hendaklah jadikan diri kamu bersama (berserta) Allah, maka jika kamu tiada kuasa berserta Allah hendaklah kamu jadikan diri kamu berserta dengan mereka yang telah berserta dengan Allah, maka sesungguhnya yang demikian itu akan menyampaikan diri kamu kepada Allah”

Riwayat Abu Daud
~~~~~ o O o ~~~~~

Huraian tentang maksud berserta Allah, seperti yang dihuraikan oleh mursyid seorang dalam pengajian Kitab Al-Hikam, Ibn Ato'illah;Kalam 283: 

Maka sentiasa kenderaan cita nya (himmah nya), tiada tetap pada tempat ketetapannya, berkekalan dalam perjalanannya, kerana telah berpaling dari segala yang menegahkan dia, iaitu dunia dan tiada kembali ia kepadanya dunia. Maka sentiasa himmah nya dalam taraqi pada jalan, hingga hasil sampai bagi perjalanan nya hadratul qudsi (dengan hadrat kesucian Allah) dan lapangan berjinak hati. Adalah hadrat qudus ini ialah tempat mufatahah (terbuka hati) dan muwajihah (berhadap nya hati) dan mutalaah (melihat bagi hati) dan musyahadah (melihat hati) dan muhadasah (berkata-kata hati) dan mujalisah (duduk nya hati). Maka jadi lah hadratul qudus, kandang hati-hati mereka dan kepadanya tempat menginap hati mereka di dalam nya hadratul qudus tempat tinggal hati mereka. 

~~~~~ o O o ~~~~~

 Bahagian 1/3

Peringkat-peringkat salikin
1. Orang yang berjalan kepada Allah yang sudah ada yaqin yang telah bertawakal. Jadilah mereka itu bercahaya dan melimpah cahaya mereka pada amal ibadah mereka hingga kuat amal ibadah mereka. 

2. Orang ini meningkat lagi pada kalam seterusnya hingga orang begini telah memadamkan pemandangan dua matanya kepada dunia dan membelakangi dunia. Mereka tidak menjadikan dunia ini tanah air atau tempat tinggal mereka. Orang ini meningkat lagi pada kalam seterusnya.

3. Orang ini semakin naik peringkat nya hingga peringkat sairin

Bermula dari peringkat salikin kepada rohilin naik ke peringkat sairin

Salikin ini ada 3 peringkat:

1. Pada mula suluk (mubtadi) dinamakan salikin
2. Pertengahan dinamakan rohilin.
3. Yang paling tinggi (muntahi) dinamakan sairin.
Dunia(tipuan nya) telah tidak sampai ke hati mereka lagi. Mereka berjalan dengan kuat cita (himmah), zahir dan batin bermujahadah dengan ibadah. Dunia telah tidak dapat menghalang mereka lagi. Lancar perjalanan mereka yang sudah sampai maqam sifat (sairin) iaitu orang maqam fana. Azamnya berterusan dan bersuluk serta mujahadah berkekalan. Maqam mereka tidak berhenti pada afaal atau asma sahaja. Maqam mereka taraqi, sentiasa musafir naik untuk sampai maqam ihsan. 

Yang paling tinggi dalam darjat iman dan tauhid, itulah dinamakan ihsan. Untuk sampai Ihsan perlu kekuatan tekad, azam dan cita. Tak akan berhenti mujahadah mereka hingga sampai stesen terakhir. 

~~~~~ o O o ~~~~~

Halangan Sairin
Sairin yang tiada kekuatan tekad ini akan mengambil masa yang lama untuk sampai. Mungkin 10 tahun, 20, 30, 40 tahun baru mereka sampai. Mungkin mereka tak sampai peringkat ihsan langsung.

1. Sairin ini lah peringkat yang sangat menduga, sebab ujian dia bukan zahiriah lagi. Ujian dia berupa batiniah dan sangat halus. Sentiasa berkhalwat dia, seperti cerita Imam Ghazali semasa sampai kemaqam ini, yang mana 11 tahun berkhalwat kerana kuat tekad nya. Pada maqam sairin ini, yang akan menghentikan perjalanan dia ialah pertama dunia, masyarakat, harta, dan pangkat. 

2. Yang seterusnya kedua ialah karamah-karamah. Kalau sairin itu terpesona dengan karamah, maka terhentilah perjalanan nya. Karamah merupakan fitnah yang batin pada sairin itu. Itu sebab kita lihat karamah mereka banyak pada pertengahan perjalanan, tetapi bila mereka telah wasil, karamah itu tiada lagi. Karamah menjadi ujian dan hijab bagi sairin yang boleh jadi terpesona dengan karamah. 

Erti karamah ialah kemuliaan yang dikurniakan kepada hambanya untuk datang berjalan kepada dia. Itu sebab nya auliya Allah tidak hendak pada karamah, kerana mereka takut terpengaruh dan terpikat pada karamah. Yang hendak karamah ini kebanyakan orang awam. Terutama karamah hissiah (zahir), ini lagi tidak dikehendaki Auliya. Mereka cuma hendak karamah yang maani (tersembunyi), yang sentiasa ada pada mereka, hingga menimbulkan keberkatan pada alam ini dsb. 

Terbalik pula pada orang awam yang hendak sangat karamah zahir ini. Supaya jadi masyarakat terpengaruh dengan dia dan memuliakan dia. Kalau terjadi maka istidraj lah dia. Dia mungkin dapat karamah, tapi karamah jadi istidraj, sebab dia tak mengaji kitab Tasawuf, kitab Hikam, dsb. Dia tak mengaji tentang adab-adab karamah. Kalau dia betul betul berilmu, dia tidak akan peduli tentang karamah.

3. Yang ketiga yang menjadi penghalang untuk sampai maqam ihsan ialah ilmu-ilmu mukasyafah. Dalam keadaan fana akan terbuka ilmu mukasyafah. Mukasyafah ertinya mengetahui dan melihat hakikat-hakikat maani dan hakikat-hakikat rahsia. Mukasyafah ini yang disangkakan dia telah tahkik betul dan haq. Kalau terpengaruh dengan mukasyafah maka dia hanya dapat rahsia alam itu sahaja. Umpama mukasyafah alam mulki, alam malakut, alam jabarut. Tak sampai ke hadratul qudus, sampai ke alam itu sahaja. Jadilah alam–alam mulki itu hijab, jadi lah alam malakut itu hijab, jadi lah alam jabarut itu hijab. 

Mukasyafah ini adalah tipu daya yang sangat halus. Pada salikin yang belum sampai, inilah yang dihajati supaya jadi terbuka. Itu sebab setengah mursyid akan ajar murid dia buat musyahadah. Mursyid dia akan latih dia buat mukasyafah alam mulki, buat mukasyafah alam malakut. Tujuan mursyid nya ajar adalah supaya mendapat murid mereka ilmu dan mengetahui rahsia pada alam itu, bukan untuk terpengaruh dengan alam-alam itu. Bila murid mursyid itu terbuka sedikit dan mendapat nur alam malakut dan jadi terpengaruh atau terpesona dia, maka terhijablah dan terhentilah perjalanan murid dia. 

Ini cuma fana alam sahaja, kalau dia terpengaruh dan degil maka terhijablah dia. 

~~~~~ o O o ~~~~~

Halangan Sairin: Mukasyafah
Kalau masuk alam malakut, ada bermacam-macam roh seperti auliya, anbiya yang akan menyeru kepada mereka. Segala alam itu akan menyeru pada mereka. Bila roh mereka masuk alam malakut, di dalam alam malakut itu tak terbilang arwah di dalam nya seperti malaikat, manusia menyeru pada kita. 

Kalau murid itu sangka itu alam qudsiah, tajrid, maka jadi terhijablah murid itu ketika itu. Mursyid dia tahu, yang muridnya belum masuk fana lagi, belum fana fil fana lagi, yang dapat cuma berbagai cahaya dalam alam-alam yang roh dia sudah mikraj. 

Mesti ada mursyid pada waktu itu, jika tidak, datang lah seruan kesamaran. Kadang-kala seruan iblis menipu kita. Bila sudah tinggi ini, iblis kata kau sudah berhadapan dengan Tuhan, kau sudah sampai alam qudsiah dia kata. Silap-silap iblis pula memimpin dia, kalau dia tidak mendengar kata mursyid dia. Inilah perlunya mursyid untuk memimpin kita sebelum kita sampai pada jalan makrifat. 

Pada peringkat ini bukan syaitan yang datang tapi iblis yang datang. Syaitan dah tak boleh lagi sampai, iblis masih boleh sampai pada murid peringkat sairin ini. Dunia dah dapat dikalahkan, karamah-karamah dapat dikalahkan, mungkin sebab dia tahu adab karamah. 

Ilmu mukasyafah ini memang payah. Yang jadi penghalang. Inilah perlunya ada tekad yang kuat untuk sampai kemaqam ihsan. Itu sebab mursyid dia akan latih murid dia buat mukasyafah untuk dapat ilmu, bukan untuk terpesona pada alam semua itu, seperti alam mulki, malakut, jabarut. Mukasyafah ini cuma untuk mengenal rahsia alam, belum boleh lagi menilik pada pihak ketuhanan. Belum boleh melangkau untuk sampai kehadrat qudus. Kita lihat nabi saw mikraj, melalui alam mulki baru naik alam malakut, baru naik alam jabarut, baru naik alam qudsi. 

Begitu lah hati dan roh, perlu kita melalui 7 lapis langit, sidratul muntaha, mustawa, sampai ke arash 
"(iaitu) Tuhan Yang Maha Pemurah, Yang bersemayam di atas 'Arash ..." (Taha: 5) 

Bila kita telah tahu rahsia alam-alam ini, baru boleh kita tahu pihak ketuhanan. Bila habis segala alam yang dicipta kita tahu, baru boleh tahu yang mencipta alam.

Sampai yang pertama itu tajrid, tajalli qudus, hadratul qudus, alam qudsiyah.

Tajrid itu 4 peringkat.

Tajalli 12 peringkat.

Pada setiap peringkat itu tanzih 9 kali. Umpama nya tanzih zat 9 kali. Berapa jauh perjalanan itu. Ini berlaku bila kita sudah hampir wasil. Dah sampai tempat yang tidak disebut alam lagi. Itu sebab bila murid itu yang belum habis menjelajah alam, mustahil dia dapat tajalli. Tak boleh tajalli Allah pada alam ini. Mursyid dia perlu arif.

~~~~~ o O o ~~~~~

Bahagian | 2 | 3 |
Laman Utama