|
Peri
pentingnya memahami peranan dan pengertian
salasilah
sebelum dan sesudah menghayati sesuatu Tariqat
oleh
Fakir Amal
Bila
di sebut Tariqat maka Mursyid adalah perkara yang amat mustahak. Tariqat
ialah perjalanan menuju Allah Ta’ala manakala mursyid lah yang memimpinnya
ke arah tujuannya itu. Kalau Tariqat di ibaratkan sebagai sampan manakala
Mursyid pula di ibaratkan sebagai nakhodanya yang memimpin haluan sampan
tersebut. Kedudukan Mursyid di dalam sesebuah jamaah tariqat tidak keterlaluan
faqir katakan adalah ibarat nyawa bagi sebuah jasad. Tidak hairanlah ada
ahli sufi yang berpendapat : “Rahsianya(intipati
perjalanan tariqat) itu adalah pada masya’ih bukannya pada zikir”. Dan
berkata Syeikh Tajaldin Naqsyabandi dan perkataan ulama-ulama sufi yang
lain juga ada menyatakan senada dengannya iaitu : “Barang
siapa tiada baginya syeikh(guru mursyid) maka syaitanlah syeikhnya”. Perkataan
di atas merujuk kepada guru kerohanian iaini yang menjalani jalan tariqat
keruhanian.
Kepentingan
mursyid di dalam perjalanan keruhanian juga samalah dengan orang yang menunjuk
jalan dan sudah mahir dengan perjalanan itu memimpin jalan bagi orang yang
belum pernah berjalan ke destinasi tersebut bahkan tiada tahu seluk beluknya
maka mengikuti arahannya serta mempercayainya adalah suatu kemestian. Maka
dalam menentukan keabsahan dan keesahan terhadap kepakarannya dalam seluk-beluk
perjalanan amat mustahak di teliti supaya terselamat daripada bahaya kesesatan
samada bagi pihak pengikut mahupun dirinya sendiri.
Dalam
menentukan keesahan atau kebenaran seseorang mursyid mengikut adab syariat
dan adab tariqat terdapat beberapa perkara pokok. Cuma yang ingin faqir
ketengahkan ialah peranan salasilah tariqat kerana ianya sering dilupai
oleh kebanyakkan orang mungkin di kaburi atau dilupai oleh cerita-cerita
kiramah seseorang yang dianggap mursyid itu atau terlalu terpengaruh dengan
rupa atau cerita wara’ atau kealiman dan sebagainya. Bukan faqir maksudkan
wara’ dan alim itu tidak penting ianya juga penting tetapi yang paling
kurang di lihat dan di teliti ialah tentang sanad salasilah Tariqat guru
tersebut.
Banyak
peristiwa pincang yang berlaku dalam sesuatu jamaah Tariqat sebenarnya
berpunca daripada masalah ini. Kebanyakkan ahli tariqat yang faqir jumpa
juga sering meringan-ringankan perkara ini. Faqir kurang pasti mengapa
tetapi yang nyatanya dari sebab ini lah berlaku perselisihan , perpecahan
, penyelewengan , dakwa mendakwa.Dan timbul –lah persoalan iktiraf dan
tidak iktiraf dan akhirnya menjurus kepada persoalan mencari ganti syeikh
yang tak habis-habis di persoalkan siapa pengganti sebenar ? Ianya juga
berpunca dari masalah kejahilan dan masalah mazmumah di dalam hati yang
belum selesai dan syaitan memang suka mengocah persoalan ini agar hancur
organisasi sesebuah jamaah Tariqat. Sebab itu faqir mengingatkan diri faqir
sendiri dan semua sahabat-sahabat faqir di sini (BSC) agar di tentukan
susur galur salasilah Tariqat sebelum mahupun sesudah menghayati sesuatu
amalan tariqat.
Faqir
berpendapat mungkin seseorang yang ingin bertariqat mungkin kurang di dedahkan
atau tak tahu menahu kepentingan peranan salasilah. Sedangkan berguru tariqat
yang tidak bersambung salasilahnya dengan ulama-ulama asalnya sehingga
bersambung dengan Rasulullah s.a.w. hukumnya haram kerana terputus wasilah
dalam menyampaikan matlamat.Sebab itu bukan mudah untuk kita berguru dengan
seseorang kecuali telah di buktikan bahawa guru yang kita anggap sebagai
guru itu memiliki sanad salasilah tariqat yang mutashil(bersambung) sehingga
Rasulullah s.a.w. di samping kita melihat kepada faktor-faktor lain yang
selari dengan adab syariat dan adab tariqat.
~~~~~ o O o
~~~~~
Apakah
yang di maksudkan dengan salasilah tariqat dan mengapa salasilah tariqat
itu penting ?
Seseorang
yang di anggap mursyid ialah seseorang yang telah berguru sebelumnya dengan
gurunya terdahulu dan sehinggalah bersusun sampailah kepada tabi’in kepada
sahabat dan akhirnya bertemu kepada Rasulullah s.a.w. dan mestilah di dokumenkan
dalam bentuk bertulis dan di sahkan oleh gurunya yang terdahulu dengan
‘memberi izin’ bagi menjalankan atau menyebarkan tariqat tersebut serta
mahsyur sanadnya mengikut adab tariqat.
Salasilah
ini penting kerana beberapa sebab iaitu :
i.
bagi menentukan seseorang murid menerima keberkatan (kesan ruhaniah) atau
limpahan ruhani yang bersambung dengan syeikhnya itu terus bersambung sehinggalah
persambungannya itu benar-benar dari puncanya yang sebenar dan teratasnya
iaitu Rasulullah s.a.w. Sekiranya salasilahnya terputus atau tiada memiliki
sanad salasilah yang sah maka bagaimana seseorang itu dapat menerima limpahan
keberkatan imdad bir ruhaniah dari segala masya’ih yang terdahulu sehingga
Rasulullah s.a.w yang dengannya menyampaikan kita kepada jazbah fillah(tarikan
kepada Allah iaini zuk fana’fillah dan baqo’billah).
ii. Bagi yang
terputus wasilah ruhaniahnya maka terputuslah apa yang di panggil rabithah
mursyid(pertalian mursyid).Jika tiada baginya rabithah mursyid maka tiada
terpelihara perjalanannya itu daripada tercedera terhadap gangguan musuh-musuh
bathin seperti iblis, syaitan jin dan segala perkara yang membahayakan
perjalanan ruhaninya khususnya dalam meniti perjalanan di alam malakut.Sebab
itu kita dengar bahaya-bahaya penipuan di alam ruhani yang sering kita
dengar seperti membesarkan diri mengakui diri sudah capai ke mertabat wali,mertabat
sultanul auliya, sudah dapat tahap yang tinggi dan suka menggelar diri
, taa’sub , sudah pandai menilik dan di katanya sudah dapat kasyaf , pandai
mengubat kerana sudah disangkanya dapat maunah dan akhirnya melalutlah
kepada gila dan sebagainya. Sedangkan rukun bagi seseorang mursyid atau
khalifah itu ialah sangat merendahkan diri (tawadhu’) bagaimana pula dia
nak mengaku dirinya lebih atau macam-macam lagi.Satu perkara lagi sifat
orang yang terputus sanadnya suka kondem orang lain yang nyata kondemnya
itu tidak jujur dan terlalu taasub dengan amalannya saja kononnya amalannya
yang sah , betul dan orang lain itu semuanya tak betul kalau betul pun
tak sempurna macam dia punya. Sebenarnya 2 perkara ini selalu dilakukan
bagi orang yang lalai dalam zikrullah atau memang sudah ada cacat dalam
perjalanannya.
iii. Sebagai
bukti atau hujjah yang sah bahawa seseorang itu mendapat izin dari syeikhnya
yang terdahulu bagi menyebarkan ajaran tariqatnya itu kerana sanad salsilah
yang mahsyur dan mutashil dengan Rasulullah s.a.w. itu seumpama otoriti
yang sangat berwibawa tanpa dapat di pertikaikan lagi dari sudut keizinan
dan kelayakannya dalam memimpin murid.Dan inilah adab yang amat penting
dalam tariqat.
iv. Salasilah
juga adalah suatu keesahan yang menyatakan bahawa tiada berlaku perubahan
atau pindaan atau saduran darihal penyampaian ilmu Tariqat itu sendiri
dan lazimnya salasilah ini di kepilkan bersama ajaran-ajaran,adab-adab
serta segala keterangan maqam-maqam zikir tariqat yang di rekod bersama
dari turun temurun supaya tidak berlaku sebarang penyelewengan atau di
ciplak dari mana-mana ajaran yang bertentangan dengan asal .
~~~~~ o
O o ~~~~~
Pesanan
Ulama sufi yang muktabar dalam kepentingan mengetahui salasilah tariqat
.
1. Kata
Syeikh Amin Kurdi dalam kitabnya Dhiya’ul Iman :
“Ketahuilah
bahawa seorang murid di jalan Allah yang mahu bertaubat dan menghilangkan
sifat kelalaiannya wajiblah ia mencari seorang syeikh yang ada di zamannya.
Iaitu seorang yang sempurna suluknya(perjalanannya) syariat dan haqiqat
mengikut Al Qura’an dan Al Hadis juga sentiasa berpandukan para Ulama hingga
sampai ke maqam ar-rijalul kamal. Syeikh itu telah sampai kepada keredhaan
Allah dan suluknya juga adalah di bawah pimpinan seorang mursyid yang mempunyai
persambungan salasilah hingga ke nabi s.a.w. Ia juga mestilah telah mendapat
izin dari syeikhnya untuk menyampaikan ajarannya kepada orang lain. Ia
juga mempunyai ilmu dan makrifah yang benar dan bukan jahil dan bukan kerana
di dorong oleh keinginan nafsu dirinya.Oleh yang demikian syeikh yang arif
yang mempunyai persambungan salasilah itu adalah merupakan wasilah kepada
Allah bagi seseorang murid itu. Syeikh itulah juga merupakan pintu menuju
kepada Allah yang akan di lalui oleh murid itu. Sesiapa yang tiada mempunyai
syeikh yang memimpin dan mengasuhnya maka syeikhnya adalah syaitan”.
2. Katanya
lagi :
“
Tidaklah boleh seseorang itu membuat bai’ah dan memimpin para murid kecuali
setelah ia mendapat tarbiyah dan ke izinan mursyidnya seperti yang di tegaskan
oleh para masya’ih. Orang yang berbuat kerja demikian itu padahal ia bukan
ahlinya yang sebenar , akan lebih banyak merosakkan dari memberi kebaikan.
Ianya akan menanggung dosa sebesar dosa seorang perompak kerana ia telah
memisahkan murid dari syeikh yang arif sebenarnya”.
3. Berkata
Syeikh Amin Al Kurdi dalam kitab Dhiya’ul Iman fi Thariqah Ar Rahman pada
membicarakan kepentingan salsilah iaitu:
“Adalah
sangat wajar bagi para murid di jalan Allah itu untuk mengetahui salasilah
para syeikh mereka itu hingga sampai kepada nabi Muhammad s.a.w. Bila kedudukan
syeikh mereka jelas dan benar ada persambungan salasilah hingga kepada
nabi s.a.w. maka jika para murid itu mahu mendapatkan pertolongan limpahan
ruhaniah dari syeikh mereka itu mereka akan berhasil apa yang dimaksudkan
. Orang yang salasilahnya tidak bersambung hingga kepada nabi s.a.w. maka
orang itu adalah terputus dari limpahan ruhaniah tersebut. Oleh itu orang
itu bukanlah menjadi waris bagi Rasulullah s.a.w. dan TIDAK boleh di ambil
bai’ah dan ijazah daripadanya”.
4. Kata
Syeikh Abdul Wahab Asy Syaroni di dalam kitab Madarijus Salikin :
“Hei
para murid ! Semoga Allah memberkan keredhaan Nya kepada kami dan kamu.
Sesungguhnya orang yang tidak mengetahui bapanya dan datuknya di dalam
jalan ini (ilmu Tariqat) ,maka ia adalah buta. Mungkin jua orang yang tersebut
di nasabkan(di binkan) kepada orang lain yang bukan bapa sebenarnya. (jika
begitu) maka bermakna ia termasuk ke dalam apa yang di sabdakan oleh nabi
s.a.w. : ‘Allah melaknat orang yang dinasabkan kepada orang lain yang bukan
bapanya yang sebenar”.
Maksud
bapa dan datuknya ialah para guru-guru yang terdahulu (para masya’ih) kerana
guru mursyid kita ialah bapa ruhani manakala guru kepada guru kita adalah
datuk ruhani kepada kita sehingga lah seterusnya sampai kepada Rasulullah
s.a.w. iaitu sumber segala ruhani iaini benih sekelian alam dan induk rahmat
Allah Ta’ala dengannya melimpah sekelian rahmat Allah atas setiap kejadian.
5. Kata
Syeikh Abdul Qadir Al Jilani dalam kitabnya Sirrul Asrar :
“Syeikh
Abdul Qadir Al Jilani berkata : Sahabat
r.a. adalah ahli jazbah(ahli tarikan bathin) kerana kekuatannya menemani
nabi s.a.w. Tarikan bathin tersebut menyebar kepada syeikh-syeikh tariqat
dan bercabang lagi pada salasilah yang banyak sehingga semakin melemah
dan terputus pada kebanyakkan umat, yang tinggal adalah orang-orang yang
meniru-niru sebagai syeikh tanpa makna kedalaman dan tersebarlah kepada
ahli-ahli bid’ah”. Ini menunjukkan ‘karan’ atau jazbah fillah akan turun
kepada kita melalui susur jalur salasilah tariqat.
6. Kata
Syeikh Abdul Qadir Al - Jilani lagi :
“Bagaimana
cara menentukan Tasawuf yang benar ? Caranya dengan dua macam : (Pertama)
lahiriahnya(Kedua) Bathinnya.Lahiriahnya memegang teguh pada aturan syariat
dalam perintah mahupun larangan.Bathinnya mengikuti jalur suluk dengan
pandangan hati yang jelas bahawa yang di ikuti adalah nabi s.a.w. dan nabi
s.a.w. merupakan perantara antara dia dengan Allah.Dan antara dia dengan
nabi adalah ruh ruhani Nabi Muhammad s.a.w. yang mempunyai jismani pada
tempatnya dan ruhani pada tempatnya, sebab syaitan tidak akan menjelma
menjadi nabi dan itu merupakan isyarat pada orang – orang salikin agar
perjalanan mereka tidak dalam keadaan buta. Pada fasal ini terdapat tanda-tanda
yang sangat halus untuk membezakan mana golongan yang benar dan yang salah
, yang tidak dapat di temukan kecuali oleh ahlinya”.
Maksud
di atas ialah bagi menentukan tasawuf yang benar ialah zahirnya mengikut
syariat dan bathinnya mengikut jalur suluk (iaini perjalanan yang berantai
salasilah sehingga berakhir kepada nabi s.a.w.) supaya hingga jelas hati
murid mempertemukan kepada nabi Muhammad s.a.w. dan Nabi sebagai washitah(perantara)
yang menyampaikan kepada Allah iaini makrifat terhadap Allah dengan sebenarnya.Kerana
jika terputus salasilah bereti terputuslah wasilah dan akibatnya akan kelirulah
perjalanannya dan payahlah seseorang itu membezakan dapatan ruhaniah yang
haq dengan yang bathil kerana perkara ini amat lah halus lagi sukar.Jangan
di kata cahaya itu lah diri dan jangan disangka bayang itulah sebenar.Jangan
dikata zuk itulah muktamad kerana syaitan masih boleh memberi kan rasa
zuk dan segala pembukaan yang palsu ! Maka berlindunglah kita kepada Allah
dari segala tipudaya makhlukNya.Maka tiada yang mengetahuinya melainkan
ahlinya yang berjalan mereka itu mengikut akan mengikut orang yang mengikut
akan nabi s.a.w. pada zahir (syariat)dan bathinnya(rabithah ruhaniah yakni
tariqat yang menyampaikan haqiqat).Bak kata perpatah : Jauhari
jua yang mengenal manikam.
~~~~~ o O o
~~~~~
Rumusan
Justru
itu hendaklah kita fahami bilamana di katakana ‘Tariqat’
maka disana ada di dalamnya beberapa perkara yang tidak terpisah ibarat
‘irama dan lagunya’ iaitu :
1.
Mursyid berkait dengan
2. salasilah
dan keizinan berkait dengan
3. rabithah
ruhaniah(pertalian) berkait dengan
4. adab-adab
berkait dengan
5. zikir dan
maqam-maqamnya berkait dengan
6. muraqabah
dan musyahadah terhadapNya
Kesemuanya
ini adalah wasilah pokok dalam Tariqat dan keenam-enam inilah di panggil
‘Tariqat’.
Ke enam-enam perkara di atas juga ada yang di zahirkan dan di dokumentasikan
dan ada yang di bathinkan iaini tidak di nyatakan atau tidak di dokumentasikan
khusus yang berkait dengan dapatan atau penemuan ruhaniah yang menjadi
adab supaya tidak dinyatakan. Namun perkara seperti salasilah dan ke izinan
adalah perkara yang wajib di nyatakan supaya di ketahui akan nasab ruhaniahnya
dan supaya tidak kita di anggap anak yang tiada bernasab seperti yang dinyatakan
oleh Syeikh Abdul Wahab Asy Syaroni r.h dan yang lebih di takuti kita menyeleweng
dari usul dan kaedah kaum sufi secara tidak kita sedari.
Tidak
ada keringanan dalam perkara salasilah ini , jangan pula ada pihak yang
berkata salasilah ini tak penting yang pentingnya ialah haqiqatnya atau
makrifatnya. Jika ada pihak yang berkata begitu ;terus segera tinggalkan
orang itu kerana orang itu telah mengajar suatu pemahaman yang tidak betul
yakni menyalahi usul mengikut kaum sufi. Kerana bagaimana buah itu lahir
tanpa pokok dan benihnya ? Sebab itu kata Ulama sufi : “Barangsiapa
menyalahi ushul maka diharamkan dia daripada wushul(sampai kepada makrifat
Allah Ta’ala dengan makrifat sebenarnya)”. Iaini
barang siapa menyalahi perkara-perkara yang telah di sepakati oleh kaum
sufi maka terlerai dia daripada jalan mereka.Bersama kita berlindung dengan
Allah Ta’ala daripada bahaya-bahaya ini dan tipudaya makhlukNya.
~~~~~ o O o ~~~~~
|