Ia menyangka bahawa ia telah berjaya mengetuk pintu ketuhanan dengan berbagai-bagai zikir dan amal ketaatan. Pintu itu memang terbuka tetapi laluan untuk rujuk kepada Allah di dalam jiwa ditutupnya, disebabkan oleh banyaknya dosa-dosa yang telah dilakukan.Kata Ibn Masruq, pada suatu hari Rabia'ah al-Adawiyah3 telah lalu dimajlis Soleh al-Murra, lalu Soleh berkata, "Siapa yang berterusan mengetuk pintu ketuhanan Allah akhirnya ia akan dibuka," lalu dijawab oleh Rabia'ah al-Adawiyah, " Pintu itu terbuka tapi kamu lari daripadanya. Bagaimanakah kamu boleh sampai kepada matlamat perjalanan sekiranya kamu tersalah jalan sejak dari langkah yang pertama lagi? Bagaimanakah seseorang hamba itu dapat membebaskan dirinya daripada pengaruh jahat nafsunya sedangkan ia sentiasa dikuasai oleh syahwat? Atau bagaimanakah seseorang itu mampu membebaskan dirinya daripada kongkongan hawa nafsu sedangkan ia tidak menegah dirinya daripada melakukan dosa-dosa?"
Kata al-Sulamiy, Ibn Abu Dunya4 berkata, para ahli hikmah berkata, "Janganlah kamu meletakkan harapan yang tinggi untuk mendapat kejayaan menuju Allah sedangkan dirimu diselaputi dosa."
Rawatannya ialah sepertimana kata Sarij al-Saqati,5"Hendaklah kamu sentiasa menurut jalan hidayah, mempastikan segala pemakanan bersumber daripada yang halal serta menyempurnakan ketakwaan kepada Allah."
| 3. | Rabi'ah al-Adawiah ialah Rabiah binti Ismail al-Adawiyah (Umm al-Khair) hamba kepada keluarga 'Atik dari Basrah. Beliau terkenal dengan sifat wara dan zuhud di dalam dunia kesufian. Dia dilahirkan di Basrah dan meninggal dunia di Palestin pada tahun 135H. Dunia kesufian mengiktiraf beliau sebagai seorang tokoh besar yang terlibat secara langsung dalam bidang keilmuan dan menyebarkan amalan kesufian pada pengikut beliau. Para sufi dizaman itu menjadikan Rabi'ah sebagai sumber rujukan dan menampilkan riwayat-riwayat di dalam karya mereka yang telah diambil daripada Rabi'ah. antaranya ialah Kitab al-Hilyah al-'Auliya' oleh al-Esfahani;Al-Luma' oleh al-Siraj; Tabaqat al-Qubra oleh al-Sya'rani. Rabia'ah memahami pengertian yang tersendiri di dalam masaalah Mahabbah. Aliran ini tersebar luas dikalangan para sufi. Seorang pengkaji, Dr. Abdul Rahman Badawi menganggap Rabi'ah seorang tokoh yang jarang ditemui. Untuk kajian lihat Wafayat al-A'yan 1/182, Ad-Dur al-Mansur 202; Al-Syarishi 2/231, al-A'lam al-Nubala' 30/31. [Balik] [Atas] |
| 4. | Beliau ialah Abdullah bin Muhammad bin Ubaid bin Sufian ibn Abi Dunya al-Qurausyi al-Umawi. Dilahirkan pada tahun 208H. Dan meninggal dunia pada tahun 281H. Beliau terkenal sebagai seorang daripada hafiz dalam bidang hadith dan juga terkenal dalam menulis tajuk zuhud serta ketinggian kerihanian. Imam al-Zahabi menyebut di dalam kitab Tarikhnya bahawa karya-karya Ibn Abu Dunya sebanyak 186 buah. Kebanyakannya yang menyangkut persoalan jiwa dan adab-adabnya, akhlak, zuhud, yang menjadi rujukan kepada para sufi lain. Lihat al-Fahras oleh Ibn Nadim 1/185 Siyar Tarikh Baghdad 10/89; Tabaqat Ibn Abi Ya'la 1/192, Daerah al-Ma'arif al-Islamiyah 1/72; al-A'lam al-Nubala' 4/260. [Balik] [Atas] |
| 5. | Abu Hasan Sarij al-Saqati bin al-Mughlis adalah antara tokoh peringkat kedua dalam dunia kesufian. Ia adalah bapa saudara disebelah ibu kepada Junaid Al-Baghdadi serta Junaid sebagai gurunya. Beliau bergaul rapat dengan Syeikh Ma'ruf al-Karkhi yang juga merupakan seorang tokoh terbilang dizamannya. Al-Saqati termasuk ke dalam golongan pertama yang membicarakan persoalan al-Ahwal al-Sufiah di Baghdad. Beliau juga terkenal sebagai Syeikh kepada penduduk Baghdad ketika itu. Meninggasl dunia pada tahun 251H. Al-Junaid adalah tempat ambilan dan rujukan bagi al-Saqati. Pada suatu ketika al-Saqati ditanya tentang apakah itu aqal. Beliau menjawab, "Akal itu ialah tempat meletakkan hujah syara' samada berkaitan dengan persoalan perintah atau tegahan Allah." Beliau juga pernah berkata, "Sesiapa yang tidak dapat mengenal kadar nikmat yang diberikan untuknya, nescaya nikmat itu akan dirampas daripadanya tanpa disedarinya." Katanya, " Sesiapa yang takut kepada Allah maka dia akan ditakuti oleh segala sesuatu." Katanya, " Sesiapa yang menghiaskan diri dengan berpura-pura takut kepada Allah maka Allah akan menjatuhkannya dihadapan manusia." Sila lihat Tabaqat al-Sufiah-14, cetakan Dar al-Sya'bi. [Balik] [Atas] |