| Apa
yang ingin dihuraikan di sini ialah rukun yang keempat iaitu shighah di
mana perkara ini sangat penting diketahui demi menjaga keshahihan ibadah
korban berkenaan.
Disyaratkan ijab
ke atas orang yang berwakil itu dengan melafazkan sesuatu perkataan sama
ada secara sharih (jelas atau terang) ataupun kinayah (yang
tidak terang atau tidak jelas) seperti dalam kitabah (penulisan),
persuratan atau dengan isyarat jika yang berwakil itu orang bisu yang boleh
difahami, yang menyatakan bahawa orang yang berwakil itu adalah dengan
keredhaan hatinya. (Majmuk: 14/197)
Ini bererti ada interaksi
antara orang yang berwakil dengan orang yang diwakilkan yang dinamakan
aqad.
Namun orang yang dijadikan wakil itu tidak disyaratkan baginya
qabul
(ucap terima), kecuali di dalam keadaan tertentu seperti jika dalam perwakilan
itu dengan upah. Contohnya orang yang berwakil itu mewakilkan seseorang
untuk menjualkan sebidang tanahnya dengan harga sekian dan memberi upah
kepada wakilnya itu. Maka dalam keadaan ini, wakil itu hendaklah melafazkan
qabulnya sama ada dia menerimanya ataupun tidak. Adapun yang disyaratkan
bagi orang yang dijadikan wakil itu ialah dia tidak menolak ucapan atau
lafaz orang yang berwakil itu. Jika orang yang dijadikan wakil itu menolak
ucapan tersebut, seperti dia berkata: “aku tidak terima” atau seumpamanya,
maka batal dan tidak sah akad perwakilan itu.
Jika dilihat ketentuan
hukum dalam bab wakalah dan dipraktikkan dengan cara kebiasaan yang
tersebut di atas oleh sebahagian kumpulan yang berkorban itu ditakuti tidak
menepati kehendak sebenar hukum wakalah. Pada kebiasaannya, orang-orang
yang hendak menyertai ibadat korban akan mendaftarkan namanya dan membayar
kadar tertentu bagi tujuan tersebut tanpa disertai dengan lafaz tawkil
kepada wakil yang dilantik.
Amalan tersebut tidak
memenuhi kehendak hukum berwakil kerana jika dilihat kepada tuntutan bab
wakalah
orang yang berwakil itu wajib melafazkan tawkilnya (akad) sama ada
dengan lafaz yang sharih atau kinayah kepada wakil yang ditentukan
bagi tujuan seperti membeli dan menyembelih binatang korban serta mengagihkan
daging korban tersebut.
|