.
[ BicaraSufi ] [ LamanSufi ]
.
 
 
 

HURAIAN RINGKAS BERKENAAN IBADAH KORBAN
DAN HUKUM-HUKUM BERKAITAN DENGANNYA

 
9. MENYEMBELIH BINATANG KORBAN DI LUAR NEGERI DAN DAGINGNYA DIAGIHKAN KE NEGERI YANG LAIN

Apa yang dimaksudkan dengan memindahkan daging korban itu ialah memindahkan daging korban dari negeri tempat penyembelihannya ke negeri lain, supaya daging korban itu dibahagi-bahagikan kepada mereka yang berhak di negeri berkenaan itu.

Adakah harus bagi orang-orang tempatan berwakil untuk berkorban di luar negeri dan daging korban itu dipindahkan daripada tempat korban ke negeri atau daerah lain?

As-Sayyid Al-Bakri Ad-Dumyathi, Pengarang Hasyiah I‘anah At-Thalibin menjelaskan bahawa telah dijazamkan dalam An-Nihayah bahawa haram memindahkan daging korban daripada tempat berkorban itu seperti mana juga zakat, sama ada korban sunat atau wajib. Adapun yang dimaksudkan daripada korban sunat itu ialah bahagian yang wajib disedekahkan kepada fakir miskin.

Manakala memindahkan wang daripada satu negeri ke negeri yang lain untuk membeli binatang korban adalah di haruskan seperti mana katanya yang ertinya : "Adapun memindah wang dirham daripada satu negeri ke negeri yang lain untuk membeli dengannya binatang korban di negeri tersebut maka ia adalah harus.” (I‘anat At-Thalibin: 2/380)

As-Syeikh Mohammad bin Sulaiman Al-Kurdi pernah ditanya :
“Sudah menjadi kebiasaan orang-orang Jawi (kepulauan Melayu) berwakil kepada seseorang untuk membeli na‘am (seperti lembu dan kambing) di Mekkah untuk dijadikan aqiqah dan korban sedangkan orang yang hendak beraqiqah atau berkorban itu berada di negeri Jawi. Adakah sah perbuatan sedemikian atau tidak, mohon fatwakan kepada kami.

Jawapan: Ya! Sah yang demikian itu dan harus berwakil membeli binatang korban dan aqiqah dan begitu juga untuk menyembelihnya sekalipun di negeri yang bukan negeri orang yang berkorban dan beraqiqah itu.” (I‘anah At-Thalibin: 2/381)

Dalam perkara ini pengarang Kitab Sabil Al-Muhtadin pula menyebutkan: “Kata Syeikhi Muhammad bin Sulaiman: Harus berwakil pada membeli na‘am akan korban pada negeri yang lain dan pada menyembelih dia dan pada membahagikan dagingnya bagi segala miskin negeri itu intaha. Maka iaitu zahir sama ada negeri Mekkah atau lainnya tetapi jangan dipindahkan dagingnya daripada negeri tempat berkorban kepada negeri yang lain maka iaitu haram lagi akan datang kenyataannya dan sayuginya hendaklah yang berwakil menyerahkan niat korban kepada wakil pada masalah ini wallahu ‘alam. (Sabil Al-Muhtadin: 214)

Katanya lagi jikalau berwakil seorang akan seorang pada berkorban di negeri lain kerana menghasilkan murah umpamanya hendaklah disedekahkan oleh wakil akan dagingnya bagi fakir miskin negeri itu dan janganlah dipindahkannya akan sesuatu daripada dagingnya daripada negeri itu kepada negeri yang berwakil melainkan sekadar yang sunat ia memakan dia itupun jika ada korban itu sunat (adapun) jika ada korban itu wajib maka wajiblah atas wakil mensedekahkan sekeliannya kepada fakir di dalam negeri tempat berkorban itu (dan haram) atasnya memindahkan suatu daripadanya ke negeri yang lain. (Sabil Al-Muhtadin: 216)

Berdasarkan perkataan para ulama seperti yang dinukilkan di atas, adalah jelas bahawa hukumnya harus berwakil untuk membeli binatang korban di negeri yang lain dan menyembelihnya serta membahagikan daging tersebut kepada fakir miskin di negeri berkenaan.

Adapun memindahkan daging korban daripada tempat sembelihan ke negeri yang lain itu adalah berhubungkait dengan hukum menyedekahkan daging korban itu:
 
I. Jika korban itu adalah korban wajib yang mana kesemua dagingnya wajib disedekahkan kepada fakir miskin dalam keadaan mentah, maka haram hukumnya memindahkan daging korban berkenaan daripada tempat sembelihan. Inilah pendapat jumhur ulama Syafi‘eyah.
II. Jika korban itu korban sunat di mana sebahagian daripada daging korban itu harus dihadiahkan atau dimakan oleh orang yang berkorban, maka bahagiannya (hak orang yang berkorban) itu sahaja yang harus dipindahkan ke negeri lain. Manakala bahagian yang wajib disedekahkan kepada fakir miskin itu wajib disedekahkan di tempat berkorban itu juga dan haram dipindahkan ke negeri lain. 

(I‘anah At-Thalibin: 2:380)

Maka sebagi jalan keluar, adalah lebih munasabah menjalankan sembelihan korban bagi pihak yang berwakil terus sahaja ditempat-tempat atau negeri-negeri yang akan diagihkan daging korban itu. Dengan ini dapat dielakkan hukum pemindahan daging korban daripada tempat sembelihan ke negeri lain. Kalau diperhatikan sekarang terdapat egen-egen yang mengelolakan ibadah korban diluar Malaysia seperti di Kampuchea, Vietnam, Ambon dll, dimana urusan penyembelihan dan pengagihan daging korban dilakukan ditempat-tempat tersebut.
 

~~~~~~~ oOo ~~~~~~~


[Hadapan] [Sebelumnya] [Seterusnya]
.
[ BicaraSufi ] [ LamanSufi ]
.