| Nazar sebenar/hakiki
itu adalah dengan menyebut nama Allah atau menggunakan perkataan ‘nazar’.
Sebagai contoh orang yang berkorban itu berkata: “Demi Allah wajib ke atasku
menyembelih kambing ini sebagai korban”, ataupun dia berkata: “Aku bernazar
untuk menyembelih kambing sebagai korban pada Hari Raya Haji nanti”.
Adapun bernazar
dari segi hukum sahaja seperti seseorang itu
berkata: “Aku jadikan kambing ini untuk korban”, ataupun dia berkata: “Ini
adalah korban”, maka dianggap sama seperti bernazar yang sebenar kerana
dia telah menentukan (ta‘ayin) binatang tersebut.
Binatang yang dinazarkan
sebagai korban atau binatang korban wajib itu tidak boleh ditukar dengan
yang lain walaupun dengan yang lebih baik. Apatah lagi dijual, disewakan
atau dihibahkan (diberikan).
Sekiranya binatang
korban wajib itu dijual oleh orang yang berkoban, maka hendaklah dia mendapatkannya
semula daripada orang yang telah membelinya jika masih ada di tangan pembeli
dan dia hendaklah memulangkan harga belian yang diterimanya. Jika tiada
lagi di tangan pembeli, umpamanya sudah disembelihnya, maka wajib baginya
mengadakan nilaian harga yang lebih mahal daripada harga waktu dia memiliki
yang dahulu, dan hendaklah dia membeli semula dengan nilaian itu binatang
korban yang sama jenisnya dan sama umurnya untuk disembelih pada tahun
itu juga.
Jika luput dia daripada
menyembelihnya, maka wajib ke atasnya menyembelih binatang korban wajib
itu pada tahun hadapannya sebagai qadha yang luput itu. Jika harga binatang
korban itu (yang sama jenis dan umur dengan yang dahulu) lebih mahal kerana
naik harga dan harga nilaian itu tidak mencukupi untuk membeli binatang
yang sama dengan yang dahulu itu hendaklah ditambahnya dengan hartanya
yang lain. Begitulah juga hukumnya jika binatang itu tidak disembelih setelah
masuk Hari Raya Adha dan binatang itu binasa dalam tempoh tersebut.
Jika binatang korban
wajib itu rosak, umpamanya mati atau dicuri orang sebelum masuk waktu berkorban
dan bukan kerana kecuaiannya, tidaklah wajib dia menggantinya.
Manakala jika ia
dibinasakan oleh orang lain, maka hendaklah orang yang membinasakan itu
mengganti harga binatang korban wajib itu kepada orang yang punya korban
dan dia hendaklah membeli semula binatang yang sama seperti yang dahulu,
jika tidak diperolehi binatang yang sama, hendaklah dibelinya yang lain
sahaja sebagai ganti.
Adapun jika binatang
korban wajib itu disembelih sebelum masuk waktu korban, wajiblah disedekahkan
kesemua dagingnya dan tidak boleh bagi orang yang berkorban wajib itu memakan
dagingnya walaupun sedikit dan wajib pula menyembelih yang sama dengannya
pada hari korban itu sebagai ganti.
Jika binatang korban
yang telah ditentukan dalam korban wajib itu menjadi cacat (‘aib) setelah
dinazarkan dan sebelum masuk waktu menyembelihnya dan kecacatan binatang
itu adalah cacat yang tidak boleh dibuat korban pada asalnya, maka tidaklah
disyaratkan menggantinya dan tidaklah terputus hukum wajib menyembelihnya
dengan adanya cacat tersebut. Bahkan jika disembelihnya pada Hari Raya
Adha adalah memadai (boleh dibuat) sebagai korban.
Sekiranya binatang
yang dalam keadaan cacat itu disembelih sebelum Hari Raya Adha hendaklah
disedekahkan dagingnya itu dan tidak wajib menggantinya dengan binatang
yang sama untuk disembelih pada Hari Raya Adha itu. Tetapi wajib bersedekah
nilaian harga binatang yang disembelih itu.
Jika kecacatan itu
berlaku setelah Hari Raya Adha dan disembelih dalam keadaan yang demikian,
maka tidaklah ia memadai (tidak memenuhi syarat) sebagai korban, kerana
ia telah menjadi barang jaminan selagi belum disembelih, dan wajib diganti
dengan yang baru.
Tidak sah dibuat
korban bagi orang yang hidup melainkan dengan izinnya, dan tidak sah juga
dibuat korban bagi orang yang telah mati jika simati tidak berwasiat untuk
berbuat demikian.
Orang yang membuat
korban bagi simati dengan izinnya (yakni dengan wasiatnya) wajiblah atasnya
bersedekah kesemuanya. Tidak ada bahagian untuk dirinya atau orang-orang
dibawah tanggungannya (nafkah), kerana ianya merupakan orang yang menerima
dan orang yang menyerah. (Matla al-Badrain)
Bapa atau datuk boleh
melaksanakan korban bagi orang yang diwalikan seperti anak dan cucunya
dengan diambil perbelanjaan daripada harta ayah atau datuk atau anak atau
cucu itu sendiri.
|