| 101. |
Dan di
antara orang-orang yang di sekeliling kamu dari orang-orang "A'raab" ada
yang bersifat munafik dan (demikian juga) sebahagian dari penduduk Madinah;
mereka telah berkeras dengan sifat munafik; engkau tidak mengetahui mereka
(bahkan) Kamilah yang mengetahui mereka. Kami akan azabkan mereka berulang-ulang,
kemudian mereka dikembalikan kepada azab yang besar.
|
| 102. |
Dan (sebahagian)
yang lain mengakui dosa-dosa mereka. Mereka telah mencampur adukkan amal
yang baik dengan amal yang lain, yang buruk. Mudah-mudahan Allah akan menerima
taubat mereka; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
|
| 103. |
Ambilah
(sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya
engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak
yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu
menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar,
lagi Maha Mengetahui.
|
| 104. |
Tidakkah
mereka mengetahui bahawa Allah Dia lah yang menerima taubat dari hamba-hambaNya,
dan juga menerima sedekah-sedekah (dan zakat serta membalasnya), dan bahawa
sesungguhnya Allah Dia lah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani?
|
| 105. |
Dan katakanlah
(wahai Muhammad): Beramalah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka
Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang
kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui
perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada
kamu apa yang kamu telah kerjakan".
|
| 106. |
Dan segolongan
yang lain (dari orang-orang yang tidak turut berperang); ditempohkan keputusan
mengenai mereka kerana menunggu perintah Allah; sama ada dia mengazabkan
mereka ataupun Ia menerima taubat mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui,
lagi Maha Bijaksana.
|
| 107. |
Dan (di
antara orang-orang munafik juga ialah) orang-orang yang membina masjid
dengan tujuan membahayakan (keselamatan orang-orang Islam), dan (menguatkan)
keingkaran (mereka sendiri) serta memecah-belahkan perpaduan orang-orang
yang beriman, dan juga untuk (dijadikan tempat) intipan bagi orang yang
telah memerangi Allah dan RasulNya sebelum itu. Dan (apabila tujuan mereka
yang buruk itu ketara), mereka akan bersumpah dengan berkata:" Tidaklah
yang kami kehendaki (dengan mendirikan masjid ini) melainkan untuk kebaikan
semata-mata ". Padahal Allah menyaksikan, bahawa sesungguhnya mereka adalah
berdusta.
|
| 108. |
Jangan
engkau sembahyang di masjid itu selama-lamanya, kerana sesungguhnya masjid
(Qubaa' yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas
dasar taqwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya.
Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat)
membersihkan (mensucikan) dirinya; dan Allah Mengasihi orang-orang yang
membersihkan diri mereka (zahir dan batin).
|
| 109. |
Maka adakah
orang yang membangunkan masjid yang didirikannya di atas dasar taqwa kepada
Allah dan (untuk mencari) keredaan Allah itu lebih baik, ataukah orang
yang membangunkan masjid yang didirikannya di tepi jurang yang (hampir)
runtuh, lalu runtuhlah ia dengan yang membangunkannya ke dalam api neraka?
Dan (ingatlah) Allah tidak akan memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang
yang zalim.
|
| 110. |
(Keruntuhan
masjid) yang dibina oleh mereka yang munafik itu sentiasa menjadi penyakit
syak dan keluh-kesah (lebih daripada yang sedia ada) dalam hati mereka,
(dan tidak akan habis) kecuali (apabila) hati mereka hancur-luluh (dalam
tanah). Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
|
| 111. |
Sesungguhnya
Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan
harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga,
(disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada
yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai
janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat
dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya
daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan
jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu)
ialah kemenangan yang besar.
|
| 112. |
(Mereka
itu ialah): orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji Allah,
yang mengembara (untuk menuntut ilmu dan mengembangkan Islam), yang rukuk,
yang sujud, yang menyuruh berbuat kebaikan dan yang melarang daripada kejahatan,
serta yang menjaga batas-batas hukum Allah. Dan gembirakanlah orang-orang
yang beriman (yang bersifat demikian).
|
| 113. |
Tidaklah
dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang
musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka
bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli neraka.
|
| 114. |
Dan bukanlah
istighfar Nabi Ibrahim bagi bapanya (dibuat) melainkan kerana adanya janji
yang dijanjikan kepadanya; dan apabila ternyata kepada Nabi Ibrahim bahawa
bapanya musuh bagi Allah, ia pun berlepas diri daripadanya. Sesungguhnya
Nabi Ibrahim itu lembut hati lagi penyabar.
|
| 115. |
Dan Allah
tidak sekali-kali menjadikan sesuatu kaum itu sesat sesudah Ia memberi
hidayah petunjuk kepada mereka, sebelum Ia menerangkan kepada mereka apa
yang mereka wajib memelihara dan melindungi diri daripadanya; sesungguhnya
Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
|
| 116. |
Sesungguhnya
Allah jualah yang menguasai segala alam langit dan bumi; Ia menghidupkan
dan mematikan; dan tidaklah ada bagi kamu selain dari Allah sesiapa pun
yang menjadi pelindung dan juga yang menjadi penolong.
|
| 117. |
Sesungguhnya
Allah telah menerima taubat Nabi dan orang-orang Muhajirin dan Ansar yang
mengikutnya (berjuang) dalam masa kesukaran, sesudah hampir-hampir terpesong
hati segolongan dari mereka (daripada menurut Nabi untuk berjuang); kemudian
Allah menerima taubat mereka; sesungguhnya Allah Amat belas, lagi Maha
Mengasihani terhadap mereka.
|
| 118. |
Dan (Allah
menerima pula taubat) tiga orang yang ditangguhkan (penerimaan taubat mereka)
hingga apabila bumi yang luas ini (terasa) sempit kepada mereka (kerana
mereka dipulaukan), dan hati mereka pula menjadi sempit (kerana menanggung
dukacita), serta mereka yakin bahawa tidak ada tempat untuk mereka lari
dari (kemurkaan) Allah melainkan (kembali bertaubat) kepadaNya; kemudian
Allah (memberi taufiq serta) menerima taubat mereka supaya mereka kekal
bertaubat. Sesungguhnya Allah Dia lah Penerima taubat lagi Maha Mengasihani.
|
| 119. |
Wahai orang-orang
yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah, dan hendaklah kamu berada
bersama-sama orang-orang yang benar.
|
| 120. |
Tidaklah
patut bagi penduduk Madinah dan orang-orang yang di sekeliling mereka dari
orang-orang "A'raab" ketinggalan daripada (turut berperang bersama) Rasulullah;
dan tidaklah patut mereka mengasihi diri mereka sendiri dengan tidak menghiraukan
Rasulullah. Yang demikian kerana sesungguhnya (tiap-tiap kali) mereka merasai
dahaga, dan merasai penat lelah, dan juga merasai lapar (dalam perjuangan)
pada jalan Allah; dan (tiap-tiap kali) mereka menjejak sesuatu tempat yang
menimbulkan kemarahan orang-orang kafir; dan juga (tiap-tiap kali) mereka
menderita sesuatu yang mencederakan dari pihak musuh - melainkan semuanya
itu ditulis bagi mereka: (pahala) amal yang soleh. Sesungguhnya Allah tidak
menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.
|
| 121. |
Dan tidak
pula mereka membelanjakan sesuatu perbelanjaan yang kecil, atau yang besar;
dan tidak mereka melintas sesuatu lembah, melainkan ditulis pahala bagi
mereka, supaya Allah membalas dengan balasan yang lebih baik dari apa yang
mereka telah kerjakan.
|
| 122. |
Dan tidaklah
(betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang);
oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara
mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam
ilmu yang dituntut di dalam ugama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya
(yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan
mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).
|
| 123. |
Wahai orang-orang
yang beriman! Perangilah orang-orang kafir musyrik yang berdekatan dengan
kamu; dan biarlah mereka merasai sikap kekerasan (serta ketabahan hati)
yang ada pada kamu; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang
yang bertaqwa (dengan memberikan pertolonganNya).
|
| 124. |
Dan apabila
diturunkan sesuatu surah (dari Al-Quran) maka di antara mereka (yang munafik)
ada yang bertanya (secara mengejek): "Siapakah di antara kamu yang imannya
bertambah disebabkan oleh surah ini?" Adapun orang-orang yang beriman,
maka surah itu menambahkan iman mereka, sedang mereka bergembira (dengan
turunnya).
|
| 125. |
Adapun
orang-orang yang ada penyakit (kufur) dalam hati mereka maka surah Al-Quran
itu menambahkan kekotoran (kufur) kepada kekotoran (kufur) yang ada pada
mereka; dan mereka mati, sedang mereka berkeadaan kafir.
|