| 76. |
Kemudian
setelah Allah memberi kepada mereka dari limpah kurniaNya, mereka bakhil
dengan pemberian Allah itu, serta mereka membelakangkan janjinya; dan sememangnya
mereka orang-orang yang sentiasa membelakangkan (kebajikan).
|
| 77. |
Akibatnya
Allah menimbulkan perasaan munafik dalam hati mereka (berkekalan) hingga
ke masa mereka menemui Allah, kerana mereka telah memungkiri apa yang mereka
janjikan kepada Allah dan juga kerana mereka sentiasa berdusta.
|
| 78. |
Tidakkah
mereka mengetahui bahawa Allah sentiasa mengetahui apa yang mereka rahsiakan
serta apa yang mereka bisikkan, dan bahawasanya Allah Maha Mengetahui akan
perkara-perkara yang ghaib?
|
| 79. |
Orang-orang
(munafik) yang mencela sebahagian dari orang-orang yang beriman mengenai
sedekah-sedekah yang mereka berikan dengan sukarela, dan (mencela) orang-orang
yang tidak dapat (mengadakan apa-apa untuk disedekahkan) kecuali sedikit
sekadar kemampuannya, serta mereka mengejek-ejeknya, - Allah akan membalas
ejek-ejekan mereka, dan bagi mereka (disediakan) azab seksa yang tidak
terperi sakitnya.
|
| 80. |
(Orang-orang
manufik itu) sama sahaja engkau meminta ampun untuk mereka atau engkau
tidak meminta ampun bagi mereka. Jika engkau (wahai Muhammad) meminta ampun
bagi mereka tujuh puluh kali (sekalipun) maka Allah tidak sekali-kali mengampunkan
mereka; yang demikian itu, kerana mereka telah kufur kepada Allah dan RasulNya;
dan Allah tidak akan memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang fasik.
|
| 81. |
Orang-orang
(munafik) yang ditinggalkan (tidak turut berperang) itu, bersukacita disebabkan
mereka tinggal di belakang Rasulullah (di Madinah); dan mereka (sememangnya)
tidak suka berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah
(dengan sebab kufurnya), dan mereka pula (menghasut dengan) berkata: "Janganlah
kamu keluar beramai-ramai (untuk berperang) pada musim panas ini". Katakanlah
(wahai Muhammad): "Api neraka Jahannam lebih panas membakar", kalaulah
mereka itu orang-orang yang memahami.
|
| 82. |
Oleh itu
bolehlah mereka ketawa sedikit (di dunia ini) dan mereka akan menangis
banyak (di akhirat kelak), sebagai balasan bagi apa yang mereka telah usahakan.
|
| 83. |
Maka jika
Allah mengembalikan engkau kepada segolongan dari mereka (orang-orang yang
munafik itu di Madinah), kemudian mereka meminta izin kepadamu untuk keluar
(turut berperang), maka katakanlah: "Kamu tidak sekali-kali akan keluar
bersama-samaku selama-lamanya, dan kamu tidak sekali-kali akan memerangi
musuh bersama-samaku; sesungguhnya kamu telah bersetuju tinggal pada kali
yang pertama, oleh itu duduklah kamu bersama-sama orang-orang yang tinggal".
|
| 84. |
Dan janganlah
engkau sembahyangkan seorang pun yang mati dari orang-orang munafik itu
selama-lamanya, dan janganlah engkau berada di (tepi) kuburnya, kerana
sesungguhnya mereka telah kufur kepada Allah dan RasulNya, dan mereka mati
sedang mereka dalam keadaan fasik (derhaka).
|
| 85. |
Dan janganlah
engkau tertarik hati kepada harta benda dan anak-anak mereka, (kerana)
sesungguhnya Allah hanya hendak menyeksa mereka dengannya di dunia, dan
hendak menjadikan nyawa mereka tercabut sedang mereka dalam keadaan kafir
(untuk mendapat azab akhirat pula).
|
| 86. |
Dan apabila
diturunkan satu surah Al-Quran (yang menyuruh mereka): "Berimanlah kamu
kepada Allah, dan berjihadlah bersama-sama dengan RasulNya", nescaya orang-orang
yang kaya di antara mereka meminta izin kepadamu dengan berkata: "Biarkanlah
kami tinggal bersama-sama orang-orang yang tinggal (tidak turut berperang)".
|
| 87. |
Mereka
suka tinggal bersama-sama orang-orang yang ditinggalkan (kerana uzur),
dan (dengan sebab itu) hati mereka dimeteraikan atasnya, sehingga mereka
tidak dapat memahami sesuatu.
|
| 88. |
(Mereka
tetap tinggal) tetapi Rasulullah dan orang-orang yang beriman bersamanya,
berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka; dan mereka itulah orang-orang
yang mendapat kebaikan, dan mereka itulah juga yang berjaya.
|
| 89. |
Allah telah
menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa
sungai, mereka kekal di dalamnya; yang demikian itulah kemenangan yang
besar.
|
| 90. |
Dan datanglah
pula orang-orang yang menyatakan uzurnya dari orang-orang "A'raab", memohon
supaya mereka diizinkan (tidak turut berperang), sedang orang-orang (munafik
di antara mereka) yang mendustakan Allah dan RasulNya, duduk (mendiamkan
diri). (Oleh itu) orang-orang yang kafir di antara mereka, akan dikenakan
azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
|
| 91. |
Orang-orang
yang lemah dan orang-orang yang sakit, dan juga orang-orang yang tidak
mempunyai sesuatu yang akan dibelanjakan, tidaklah menanggung dosa (kerana
tidak turut berperang) apabila mereka berlaku ikhlas kepada Allah dan RasulNya.
Tidak ada jalan sedikitpun bagi menyalahkan orang-orang yang berusaha memperbaiki
amalannya; dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
|
| 92. |
Dan tidak
juga berdosa orang-orang yang ketika mereka datang kepadamu (memohon) supaya
engkau memberi kenderaan kepada mereka, engkau berkata: "Tidak ada padaku
kenderaan yang hendak kuberikan untuk membawa kamu", mereka kembali sedang
mata mereka mengalirkan airmata yang bercucuran, kerana sedih bahawa mereka
tidak mempunyai sesuatupun yang hendak mereka belanjakan (untuk pergi berjihad
pada jalan Allah).
|
| 93. |
Sesungguhnya
jalan (untuk menyalahkan dan mengenakan seksa) hanyalah terhadap orang-orang
yang meminta izin kepadamu sedang mereka kaya dan mampu. Mereka suka tinggal
bersama-sama orang yang ditinggalkan (kerana uzur) dan (dengan sebab itu)
Allah meteraikan atas hati mereka, sehingga mereka tidak dapat mengetahui
(perkara yang baik).
|
| 94. |
Mereka
akan menyatakan uzur kepada kamu, apabila kamu kembali kepada mereka (dari
medan perang). Katakanlah (wahai Muhammad): "Janganlah kamu menyatakan
uzur lagi, kami tidak sekali-kali akan percaya kepada kamu. Kerana sesungguhnya
Allah telah menerangkan kepada kami akan berita-berita perihal kamu; dan
Allah serta RasulNya akan melihat amal kamu (sama ada kamu kembali beriman
atau tetap kufur); kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang
Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata (untuk menerima balasan),
lalu Ia menyatakan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan".
|
| 95. |
Mereka
akan bersumpah dengan nama Allah kepada kamu apabila kamu kembali kepada
mereka (dari medan perang), supaya kamu berpaling dari mereka (tidak menempelak
mereka); oleh itu berpalinglah dari mereka kerana sesungguhnya mereka itu
kotor (disebabkan mereka telah sebati dengan kufur); dan tempat kembali
mereka pula ialah neraka Jahannam, sebagai balasan bagi apa yang mereka
telah usahakan.
|
| 96. |
Mereka
bersumpah kepada kamu supaya kamu reda akan mereka; oleh itu jika kamu
reda akan mereka, maka sesungguhnya Allah tidak reda akan kaum yang fasik.
|
| 97. |
Orang-orang
A'raab lebih keras kufurnya dan sikap munafiknya, dan sangatlah patut mereka
tidak mengetahui batas-batas (dan hukum-hukum Syarak) yang diturunkan oleh
Allah kepada RasulNya. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha
Bijaksana.
|
| 98. |
Dan sebahagian
dari orang-orang A'raab (yang munafik) itu memandang apa yang mereka belanjakan
(dermakan pada jalan Allah) sebagai satu bayaran yang memberatkan, sambil
menunggu peredaran zaman (yang membawa bala bencana) menimpa kamu; atas
merekalah (tertimpanya bala bencana yang dibawa oleh) peredaran zaman yang
buruk itu. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
|
| 99. |
Dan sebahagian
dari orang-orang A'raab itu ada yang beriman kepada Allah dan hari akhirat,
dan memandang apa yang mereka dermakan (pada jalan Allah itu) sebagai amal-amal
bakti (yang mendampingkan) di sisi Allah dan sebagai (satu jalan untuk
mendapat) doa dari Rasulullah (yang membawa rahmat kepada mereka) Ketahuilah,
sesungguhnya apa yang mereka dermakan itu adalah menjadi amal bakti bagi
mereka (yang mendampingkan mereka kepada Allah); Allah akan masukkan mereka
ke dalam rahmatNya; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
|
| 100. |
Dan orang-orang
yang terdahulu - yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang
"Muhajirin" dan "Ansar", dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka
dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula
reda akan Dia, serta Ia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir
di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah
kemenangan yang besar.
|