| 51. |
Katakanlah
(wahai Muhammad): "Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan
apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan
kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang
yang beriman bertawakal".
|
| 52. |
Katakanlah:
"(Sebenarnya) tidak ada yang kamu tunggu-tunggu untuk kami melainkan salah
satu dari dua perkara yang sebaik-baiknya (iaitu kemenangan atau mati syahid);
dan kami menunggu-nunggu pula untuk kamu bahawa Allah akan menimpakan kamu
dengan azab dari sisiNya, atau dengan perantaraan tangan kami. Oleh itu
tunggulah, sesungguhnya kami juga menunggu bersama-sama kamu".
|
| 53. |
Katakanlah:
"Dermakanlah harta kamu sama ada dengan sukarela atau kerana terpaksa,
tidak sekali-kali akan diterima daripada kamu, (kerana) sesungguhnya kamu
adalah orang-orang yang fasik".
|
| 54. |
Dan tidak
ada yang menghalangi mereka, untuk diterima derma-derma mereka melainkan
kerana mereka kufur kepada Allah dan RasulNya, dan (kerana) mereka tidak
mengerjakan sembahyang melainkan dengan keadaan malas dan mereka pula tidak
mendermakan hartanya melainkan dengan perasaan benci.
|
| 55. |
Oleh itu,
janganlah engkau tertarik hati kepada harta benda dan anak-anak mereka,
(kerana) sesungguhnya Allah hanya hendak menyeksa mereka dengan harta benda
dan anak-anak itu dalam kehidupan dunia, dan hendak menjadikan nyawa mereka
tercabut sedang mereka berkeadaan kafir (untuk mendapat azab akhirat pula).
|
| 56. |
Dan mereka
(yang munafik itu) bersumpah dengan nama Allah bahawa sesungguhnya mereka
dari golongan kamu, padahal mereka bukanlah dari golongan kamu, tetapi
mereka ialah suatu kaum yang pengecut.
|
| 57. |
Kalau mereka
dapat tempat perlindungan, atau gua-gua, atau lubang-lubang dalam tanah,
nescaya mereka segera menuju ke arahnya serta melompat masuk ke dalamnya.
|
| 58. |
Dan di
antara mereka ada yang mencelamu (wahai Muhammad) mengenai (pembahagian)
sedekah-sedekah (zakat); oleh itu jika mereka diberikan sebahagian daripadanya
(menurut kehendak mereka), mereka suka (dan memandangnya adil); dan jika
mereka tidak diberikan dari zakat itu (menurut kehendaknya), (maka) dengan
serta merta mereka marah.
|
| 59. |
Dan (amatlah
baiknya) kalau mereka berpuas hati dengan apa yang diberikan oleh Allah
dan RasulNya kepada mereka, sambil mereka berkata: "Cukuplah Allah bagi
kami; Allah akan memberi kepada kami dari limpah kurniaNya, demikian juga
RasulNya; sesungguhnya kami sentiasa berharap kepada Allah"
|
| 60. |
Sesungguhnya
sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang
miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan
hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang
yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang
musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian
itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah)
Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
|
| 61. |
Dan di
antara mereka (yang munafik itu) ada orang-orang yang menyakiti Nabi sambil
mereka berkata: "Bahawa dia (Nabi Muhammad) orang yang suka mendengar (dan
percaya pada apa yang didengarnya)". Katakanlah: "Dia mendengar (dan percaya)
apa yang baik bagi kamu, ia beriman kepada Allah dan percaya kepada orang
mukmin, dan ia pula menjadi rahmat bagi orang-orang yang beriman di antara
kamu". Dan orang-orang yang menyakiti Rasulullah itu, bagi mereka azab
seksa yang tidak terperi sakitnya.
|
| 62. |
Mereka
bersumpah kepada kamu dengan nama Allah untuk mendapat keredaan kamu, padahal
Allah dan RasulNya jualah yang lebih berhak mereka mendapat keredaanNya,
jika betul mereka orang-orang yang beriman.
|
| 63. |
Tidakkah
mereka mengetahui bahawa sesiapa yang menentang (perintah-perintah) Allah
dan RasulNya, maka sesungguhnya adalah baginya neraka Jahannam serta ia
kekal di dalamnya? Balasan yang demikian adalah kehinaan yang besar
|
| 64. |
Orang-orang
munafik itu takut kalau diturunkan satu surah Al-Quran yang menerangkan
kepada mereka (dan kepada ramai) akan apa yang ada dalam hati mereka (dari
kekufuran). Katakanlah (wahai Muhammad): "Ejek-ejeklah (seberapa yang kamu
suka), sesungguhnya Allah akan mendedahkan apa yang kamu takut (terdedah
untuk pengetahuan ramai)"
|
| 65. |
Dan jika
engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu) tentulah mereka
akan menjawab: "Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main". Katakanlah:
"Patutkah nama Allah dan ayat-ayatNya serta RasulNya kamu memperolok-olok
dan mengejeknya?"
|
| 66. |
Janganlah
kamu berdalih (dengan alasan-alasan yang dusta), kerana sesungguhnya kamu
telah kufur sesudah kamu (melahirkan) iman. Jika Kami maafkan sepuak dari
kamu (kerana mereka bertaubat), maka Kami akan menyeksa puak yang lain,
kerana mereka adalah orang-orang yang terus bersalah.
|
| 67. |
Orang-orang
munafik lelaki dan perempuan, setengahnya adalah sama dengan setengahnya
yang lain; mereka masing-masing menyuruh dengan perbuatan yang jahat, dan
melarang dari perbuatan yang baik, dan mereka pula menggenggam tangannya
(bakhil kedekut). Mereka telah melupakan (tidak menghiraukan perintah)
Allah dan Allah juga melupakan (tidak menghiraukan) mereka. Sesungguhnya
orang-orang munafik itu, merekalah orang-orang yang fasik. |
| 68. |
Allah menjanjikan
orang-orang munafik lelaki dan perempuan serta orang-orang kafir dengan
neraka Jahannam, mereka kekal di dalamnya. Cukuplah neraka itu menjadi
balasan mereka; dan Allah melaknatkan mereka, dan bagi mereka azab seksa
yang kekal.
|
| 69. |
(Nasib
kamu hai orang-orang munafik) adalah sama dengan nasib orang-orang sebelum
kamu (yang telah dibinasakan), mereka lebih kuat serta lebih banyak harta
benda dan anak pinak daripada kamu; seterusnya mereka telah bersenang-senang
dengan bahagian mereka; maka kamu pula telah bersenang-senang dengan bahagian
kamu sebagaimana orang-orang yang sebelum kamu itu bersenang-senang dengan
bahagiannya; dan kamu pula telah memperkatakan (perkara yang salah dan
dusta) sebagaimana mereka memperkatakannya. Mereka yang demikian, rosak
binasalah amal-amalnya (yang baik) di dunia dan di akhirat, dan merekalah
orang-orang yang rugi.
|
| 70. |
Bukankah
telah datang kepada mereka berita orang-orang yang terdahulu daripada mereka,
iaitu kaum Nabi Nuh dan Aad dan Thamud dan kaum Nabi Ibrahim, dan penduduk
negeri Madyan serta negeri-negeri yang telah dibinasakan? (Semuanya) telah
datang kepada mereka Rasul-rasul mereka dengan membawa keterangan yang
jelas nyata, (lalu mereka mendustakannya dan Tuhan pula membinasakan mereka);
Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka tetapi merekalah yang menganiaya
diri sendiri.
|
| 71. |
Dan orang-orang
yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya
yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat
kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat
kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya
Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
|
| 72. |
Allah menjanjikan
orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, (akan beroleh) Syurga-syurga
yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka kekal di dalamnya dan
beroleh tempat-tempat yang baik di dalam "Syurga Adn" serta keredaan dari
Allah yang lebih besar kemuliaannya; (balasan) yang demikian itulah kejayaan
yang besar.
|
| 73. |
Wahai Nabi,
berjihadlah menentang orang-orang kafir dan orang-orang munafik, dan bertindak
keras terhadap mereka. Dan (sebenarnya) tempat mereka ialah neraka Jahannam,
dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.
|
| 74. |
Mereka
bersumpah dengan nama Allah, bahawa mereka tidak mengatakan (sesuatu yang
buruk terhadapmu), padahal sesungguhnya mereka telah mengatakan perkataan
kufur, dan mereka pula menjadi kafir sesudah melahirkan Islam, serta mereka
berazam untuk melakukan apa yang mereka tidak akan dapat mencapainya (iaitu
membunuhmu). Dan tidaklah mereka mencaci dan mencela (Islam) melainkan
setelah Allah dan RasulNya memberi kesenangan kepada mereka dari limpah
kurniaNya. Oleh itu, jika mereka bertaubat, mereka akan beroleh kebaikan;
dan jika mereka berpaling (ingkar), Allah akan menyeksa mereka dengan azab
seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan mereka tidak
akan mendapat sesiapa pun di bumi ini, yang akan menjadi pelindung dan
juga yang menjadi penolong.
|
| 75. |
Dan di
antara mereka ada yang membuat janji dengan Allah dengan berkata: "Sesungguhnya
jika Allah memberi kepada kami dari limpah kurniaNya, tentulah kami akan
bersedekah, dan tentulah kami akan menjadi dari orang-orang yang soleh"
|