| 1. |
(Ini adalah)
pemutusan tanggungjawab (pembatalan perjanjian) dari Allah dan RasulNya
terhadap kaum kafir musyrik yang kamu mengikat perjanjian setia (dengan
mereka).
|
| 2. |
Oleh itu
hendaklah kamu (hai kaum musyrik) bergerak di muka bumi (dengan bebasnya)
selama empat bulan, dan ketahuilah bahawa kamu tidak terlepas dari (azab
seksa) Allah. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah akan menghina orang-orang
yang kafir (dengan bala bencana di dunia dan azab seksa di akhirat).
|
| 3. |
Dan inilah
perisytiharan dari Allah dan RasulNya kepada umat manusia, (diisytiharkan)
pada Hari Raya Haji yang terbesar, bahawa sesungguhnya Allah dan RasulNya
memutuskan tanggungjawab terhadap orang-orang musyrik; oleh itu jika kamu
(wahai kaum musyrik) bertaubat (dari kufur) maka yang demikian adalah baik
bagi kamu; dan jika kamu berpaling (ingkar), maka ketahuilah sesungguhnya
kamu tidak akan dapat melepaskan diri dari (azab seksa) Allah. Dan khabarkanlah
(wahai Muhammad) kepada orang-orang kafir (bahawa mereka akan ditimpakan)
dengan azab yang tidak terperi sakitnya.
|
| 4. |
Kecuali
mereka yang kamu mengikat perjanjian setia (dengannya) dari orang-orang
musyrik, kemudian mereka tidak mencabuli perjanjian kamu itu sedikitpun,
dan mereka tidak menolong seorangpun yang memusuhi kamu, maka sempurnakanlah
kepada mereka perjanjian mereka sehingga (habis) tempohnya. Sesungguhnya
Allah mengasihi orang-orang yang bertaqwa.
|
| 5. |
Kemudian
apabila habislah (masa) bulan-bulan yang dihormati itu maka bunuhlah orang-orang
musyrik itu di mana sahaja kamu menemuinya, dan tawanlah mereka, dan juga
keponglah mereka, serta tunggulah mereka di tiap-tiap tempat mengintipnya.
Kemudian jika mereka bertaubat (dari kekufurannya) dan mendirikan sembahyang
serta memberi zakat, maka biarkanlah mereka (jangan diganggu). Sesungguhnya
Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
|
| 6. |
Dan jika
seseorang dari kaum musyrik meminta perlindungan kepadamu (untuk memahami
Islam), maka berilah perlindungan kepadanya sehingga ia sempat mendengar
keterangan-keterangan Allah (tentang hakikat Islam itu), kemudian hantarlah
dia ke mana-mana tempat yang ia beroleh aman. Perintah yang tersebut ialah
kerana mereka itu kaum yang tidak mengetahui (hakikat Islam).
|
| 7. |
Bagaimanakah
dapat diakui adanya perjanjian (keamanan) di sisi Allah dan RasulNya bagi
orang-orang musyrik (sedang mereka mencabulinya)? Kecuali orang-orang (musyrik)
yang kamu telah mengikat perjanjian setia dengan mereka dekat Masjid Al-Haraam.
Maka selagi mereka berlaku lurus terhadap kamu, hendaklah kamu berlaku
lurus pula terhadap mereka; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang
bertaqwa.
|
| 8. |
Bagaimana
(boleh dikekalkan perjanjian kaum kafir musyrik itu) padahal kalau mereka
dapat mengalahkan kamu, mereka tidak akan menghormati perhubungan kerabat
terhadap kamu, dan tidak akan menghormati perjanjian setianya. Mereka menjadikan
kamu bersenang hati hanya dengan mulut mereka, sedang hati mereka menolaknya;
dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.
|
| 9. |
Mereka
menukarkan ayat-ayat Allah dengan harga yang sedikit (dari faedah-faedah
dunia), lalu mereka menghalangi (dirinya dan orang-orang lain) dari ugama
Allah; sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah kerjakan.
|
| 10. |
Mereka
tidak menghormati pertalian kerabat dan perjanjian terhadap orang-orang
yang beriman, dan merekalah orang-orang yang menceroboh.
|
| 11. |
Oleh itu,
jika mereka bertaubat (dari kekufuran), dan mendirikan sembahyang serta
memberi zakat, maka mereka itu adalah saudara kamu yang seugama; dan Kami
menjelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi kaum yang mahu
mengetahui.
|
| 12. |
Dan jika
mereka mencabuli sumpahnya sesudah mengikat perjanjian setia, dan mereka
pula mencela ugama kamu, maka perangilah ketua-ketua dan pemimpin-pemimpin
kaum yang kafir itu, kerana sesungguhnya mereka tidak menghormati sumpah
janjinya, supaya mereka berhenti (dari kekufuran dan bertaubat).
|
| 13. |
Mengapa
kamu tidak memerangi suatu kaum yang telah mencabuli sumpah janjinya, dan
mereka pula telah berazam hendak mengusir Rasulullah, dan merekalah juga
yang mula-mula memerangi kamu? Tidak patut kamu takut kepada mereka (sehingga
kamu tidak mahu memeranginya) kerana Allah jualah yang berhak kamu takuti
(melanggar perintahNya), jika betul kamu orang-orang yang beriman?
|
| 14. |
Perangilah
mereka, nescaya Allah akan menyeksa mereka dengan (perantaraan) tangan
kamu, dan Allah akan menghinakan mereka serta menolong kamu menewaskan
mereka, dan Ia akan memuaskan hati orang-orang yang beriman.
|
| 15. |
Dan Ia
juga akan menghapuskan kemarahan hati orang-orang yang beriman itu, dan
Allah akan menerima taubat orang-orang yang dikehendakiNya; dan (ingatlah)
Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
|
| 16. |
Adakah
kamu menyangka, bahawa kamu akan dibiarkan (dalam keadaan kamu yang ada
itu), padahal belum lagi terbukti kepada Allah (sebagaimana yang diketahuiNya)
orang-orang yang berjihad di antara kamu dan yang tidak mengambil teman-teman
rapat (untuk mencurahkan rahsia kepada mereka), selain daripada Allah dan
RasulNya serta orang-orang yang beriman? Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui
secara mendalam akan apa yang kamu kerjakan.
|
| 17. |
Tidaklah
layak orang-orang kafir musyrik itu memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid
Allah, sedang mereka menjadi saksi (mengakui) akan kekufuran diri mereka
sendiri. Mereka itu ialah orang-orang yang rosak binasa amal-amalnya dan
mereka pula kekal di dalam neraka.
|
| 18. |
Hanyasanya
yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang
yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang
dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya
sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan
yang mendapat petunjuk.
|
| 19. |
Adakah
kamu sifatkan hanya perbuatan memberi minum kepada orang-orang yang mengerjakan
Haji, dan (hanya perbuatan) memakmurkan Masjid Al-Haraam itu sama seperti
orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta berjihad pada jalan
Allah? Mereka (yang bersifat demikian) tidak sama di sisi Allah, dan Allah
tidak memberikan hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim.
|
| 20. |
(Sesungguhnya)
orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah
dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya
di sisi Allah (daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang
Haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja); dan mereka itulah orang-orang
yang berjaya.
|
| 21. |
Mereka
digembirakan oleh Tuhan mereka dengan pemberian rahmat daripadanya dan
keredaan serta Syurga; mereka beroleh di dalam Syurga itu nikmat kesenangan
yang kekal.
|
| 22. |
Mereka
kekal di dalamnya selama-lamanya. Sesungguhnya Allah, menyediakan di sisiNya
pahala yang besar.
|
| 23. |
Wahai orang-orang
yang beriman! Janganlah kamu menjadikan bapa-bapa kamu dan saudara-saudara
kamu sebagai orang-orang yang didampingi jika mereka memilih kufur dengan
meninggalkan iman; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka orang-orang
yang didampingi, maka merekalah orang-orang yang zalim.
|
| 24. |
Katakanlah
(wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara
kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu,
dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan
merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya
itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan
RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga
Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan
memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).
|
| 25. |
Sesungguhnya
Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam banyak medan-medan
perang dan di medan perang Hunain, iaitu semasa kamu merasa megah dengan
sebab bilangan kamu yang ramai; maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan
faedah kepada kamu sedikitpun; dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas
itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling undur melarikan
diri.
|