|
| 1. |
Mereka
bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang harta rampasan perang. Katakanlah:
"Harta rampasan perang itu (terserah) bagi Allah dan bagi RasulNya (untuk
menentukan pembahagiannya). Oleh itu, bertaqwalah kamu kepada Allah dan
perbaikilah keadaan perhubungan di antara kamu, serta taatlah kepada Allah
dan RasulNya, jika betul kamu orang-orang yang beriman".
|
| 2. |
Sesungguhnya
orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang
apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka;
dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah
iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.
|
| 3. |
Iaitu orang-orang
yang mendirikan sembahyang dan yang mendermakan sebahagian dari apa yang
Kami kurniakan kepada mereka.
|
| 4. |
Merekalah
orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka akan mendapat
pangkat-pangkat yang tinggi di sisi Tuhan mereka dan keampunan serta limpah
kurnia yang mulia (di Syurga).
|
| 5. |
Sebagaimana
(harta rampasan perang ditentukan pembahagiannya dengan kebenaran, maka)
Tuhanmu (wahai Muhammad) mengeluarkanmu dari rumahmu (untuk pergi berperang)
dengan kebenaran juga, sedang sebahagian dari orang-orang yang beriman
itu (sebenarnya) tidak suka (turut berjuang).
|
| 6. |
Mereka
membantahmu tentang kebenaran (berjihad) setelah nyata (kepada mereka kemenangan
yang engkau janjikan), seolah-olah mereka dihalau kepada kematian, sedang
mereka melihat (sebab-sebabnya).
|
| 7. |
Dan (ingatlah)
ketika Allah menjanjikan kepada kamu salah satu dari dua angkatan, menjadi
untuk kamu (menghadapinya), sedang kamu suka kiranya (angkatan perniagaan)
bukan angkatan (perang) yang mempunyai kekuatan itu yang dijadikan untuk
kamu (menghadapinya). Padahal Allah menghendaki untuk menetapkan yang benar
(ugama Islam) dengan Kalimah-kalimahNya, dan untuk membinasakan kaum yang
kafir seluruhnya;
|
| 8. |
Supaya
Allah menegakkan yang benar itu dan menghapuskan yang salah (kufur dan
syirik), sekalipun golongan (kafir musyrik) yang berdosa itu tidak menyukainya.
|
| 9. |
(Ingatlah)
ketika kamu memohon pertolongan kepada tuhan kamu, lalu Ia perkenankan
permohonan kamu (dengan firmanNya): "Sesungguhnya Aku akan membantu kamu
dengan seribu (bala tentera) dari malaikat yang datang berturut-turut.
|
| 10. |
Dan Allah
tidak menjadikan (bantuan malaikat) itu melainkan sebagai berita gembira
dan supaya hati kamu tenang tenteram dengannya. Dan kemenangan itu pula
hanyalah dari sisi Allah. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
|
| 11. |
(Ingatlah)
ketika kamu diliputi perasaan mengantuk sebagai satu (pemberian) aman dari
Allah (untuk menghapuskan kecemasan kamu). Dan (ingatlah ketika) Ia menurunkan
kepada kamu hujan dari langit untuk mensucikan kamu dengannya dan menghapuskan
dari kamu gangguan Syaitan, dan juga untuk menguatkan hati kamu dan menetapkan
dengannya tapak pendirian (kamu di medan perjuangan).
|
| 12. |
(Ingatlah)
ketika Tuhanmu wahyukan kepada malaikat: "Sesungguhnya Aku menyertai kamu
(memberi pertolongan), maka tetapkanlah (hati) orang-orang yang beriman.
Aku akan mengisi hati orang-orang yang kafir dengan perasaan gerun; oleh
itu, pancunglah leher mereka (musuh) dan potonglah tiap-tiap anggota mereka"
|
| 13. |
(Perintah)
yang demikian ialah kerana sesungguhnya mereka menentang Allah dan RasulNya;
dan sesiapa yang menentang Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya Allah
Maha berat azab seksaNya.
|
| 14. |
Itulah
(azab dunia) maka rasalah dia (hai orang-orang kafir). Sesungguhnya orang-orang
yang kafir disediakan baginya azab neraka (di akhirat).
|
| 15. |
Wahai orang-orang
yang beriman! Apabila kamu bertemu dengan orang-orang kafir yang sedang
mara menyerang, maka janganlah kamu berpaling undur dari menentang mereka.
|
| 16. |
Dan sesiapa
berpaling undur dari menentang mereka pada ketika itu - kecuali ia bergerak
ke arah lain (untuk menjalankan tipu muslihat) peperangan, atau hendak
menyatukan diri dengan pasukan yang lain - maka sesungguhnya ia tetaplah
mendapat kemurkaan dari Allah, dan tempatnya ialah neraka jahanam; sedang
neraka jahanam ialah seburuk-buruk tempat kembali.
|
| 17. |
Maka bukanlah
kamu yang membunuh mereka, akan tetapi Allah jualah yang menyebabkan pembunuhan
mereka. Dan bukanlah engkau (wahai Muhammad) yang melempar ketika engkau
melempar, akan tetapi Allah jualah yang melempar (untuk membinasakan orang-orang
kafir), dan untuk mengurniakan orang-orang yang beriman dengan pengurniaan
yang baik (kemenangan) daripadaNya. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar,
lagi Maha Mengetahui.
|
| 18. |
Demikianlah
(caranya nikmat yang dikurniakanNya kepada kamu), dan sesungguhnya Allah
sentiasa melumpuhkan tipu daya orang-orang yang kafir.
|
| 19. |
Jika kamu
(hai orang-orang musyrik) memohon supaya diberi kemenangan (bagi pihak
yang benar) maka sesungguhnya kemenangan (yang kamu pohonkan) itu telah
datang (dan disaksikan oleh) kamu; dan jika kamu berhenti (daripada memusuhi
Nabi Muhammad, s.a.w) maka yang demikian amat baik bagi kamu, dan jika
kamu kembali (memusuhinya), Kami juga kembali (menolongnya mengalahkan
kamu); dan golongan (angkatan perang) kamu tidak sekali-kali akan dapat
menyelamatkan kamu sedikitpun, sekalipun ia lebih ramai; dan (yang demikian
itu adalah kerana) sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang beriman.
|
| 20. |
Wahai orang-orang
yang beriman! Taatlah kepada Allah dan RasulNya dan janganlah kamu berpaling
daripadanya, sedang kamu mendengar (Al-Quran yang mewajibkan taatnya).
|
| 21. |
Dan janganlah
kamu menjadi seperti orang-orang (kafir dan munafik) yang berkata: "Kami
dengar", padahal mereka tidak mendengar (tidak mahu menerima dan mematuhinya).
|
| 22. |
Sesungguhnya
sejahat-jahat makhluk yang melata, pada sisi (hukum dan ketetapan) Allah,
ialah orang-orang yang pekak lagi bisu, yang tidak mahu memahami sesuatupun
(dengan akal fikirannya).
|
| 23. |
Dan kalaulah
Allah mengetahui ada kebaikan pada mereka, tentulah Ia menjadikan mereka
dapat mendengar; dan kalau Allah menjadikan mereka dapat mendengar juga
(dengan keadaan yang demikian), nescaya mereka tidak menerimanya sambil
memalingkan diri.
|
| 24. |
Wahai orang-orang
yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan RasulNya apabila
Ia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang menjadikan kamu hidup sempurna;
dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah berkuasa mengubah atau menyekat
di antara seseorang itu dengan (pekerjaan) hatinya, dan sesungguhnya kepadaNyalah
kamu akan dihimpunkan.
|
| 25. |
Dan jagalah
diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan
sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus
(tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha
berat azab seksaNya.
|