|
| 101. |
Negeri-negeri
(yang telah Kami binasakan) itu, Kami ceritakan sebahagian dari khabar
beritanya kepadamu (wahai Muhammad); dan sesungguhnya telah datang kepada
mereka Rasul-rasul mereka dengan keterangan-keterangan yang nyata (mukjizat),
sesudah itu mereka tidak juga beriman kepada apa yang mereka telah mendustakannya
dahulu. Demikianlah Allah meteraikan di atas hati orang-orang yang kafir.
|
| 102. |
Dan Kami
tidak mendapati bagi kebanyakan mereka sebarang janji (yang ditepati),
dan Kami tidak mendapati kebanyakan mereka melainkan orang-orang yang fasik.
|
| 103. |
Kemudian
Kami mengutuskan Nabi Musa selepas Rasul-rasul itu, dengan membawa ayat-ayat
Kami kepada Firaun dan Ketua-ketua kaumnya, lalu mereka berlaku zalim (ingkar)
akan ayat-ayat itu. Maka perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang
yang berbuat kerosakan.
|
| 104. |
Dan berkatalah
Nabi Musa: "Hai Firaun! Sesungguhnya aku ini adalah seorang Rasul dari
Tuhan sekalian alam.
|
| 105. |
"Sudah
semestinya aku tidak mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar.
Sesungguhnya aku datang kepada kamu dengan membawa keterangan yang nyata
dari Tuhan kamu. Oleh itu, bebaskanlah Kaum Bani Israil menyertai aku (ke
Palestin).
|
| 106. |
Firaun
menjawab: "Kalau betul engkau datang dengan membawa sesuatu mukjizat maka
bawalah dia (supaya aku melihatnya), jika betul engkau dari orang-orang
yang benar".
|
| 107. |
Nabi Musa
pun mencampakkan tongkatnya, maka tiba-tiba tongkatnya itu menjadi seekor
ular yang jelas nyata.
|
| 108. |
Dan Nabi
Musa mengeluarkan tangannya, tiba-tiba tangannya (menjadi) putih (bersinar-sinar)
bagi orang-orang yang melihatnya.
|
| 109. |
Berkatalah
Ketua-ketua dari kaum Firaun: "Sesungguhnya orang ini (Musa) ialah seorang
ahli sihir yang mahir.
|
| 110. |
"Ia bertujuan
hendak mengeluarkan kamu dari negeri kamu". (Firaun bertanya): "Oleh itu,
apa yang kamu syorkan?"
|
| 111. |
Mereka
berkata: "Tangguhkanlah dia dan saudaranya (daripada dijatuhkan sebarang
hukuman) serta utuslah ke bandar-bandar (di merata-rata negeri Mesir untuk)
mengumpulkan (ahli-ahli sihir);
|
| 112. |
"Yang kelak
akan membawa kepadamu segala ahli sihir yang mahir".
|
| 113. |
Dan datanglah
ahli-ahli sihir itu kepada Firaun lalu berkata: "Sungguhkah kami akan beroleh
upah, kalau kami dapat mengalahkannya?"
|
| 114. |
Firaun
menjawab: "Benar, (kamu akan mendapat upah) dan kamu sesungguhnya (akan
menjadi) dari orang-orang yang damping (denganku)".
|
| 115. |
Mereka
berkata: "Hai Musa! Engkaukah yang akan mencampakkan (tongkatmu lebih dahulu)
atau kamikah yang akan mencampakkan (lebih dahulu)?"
|
| 116. |
Nabi Musa
menjawab: "Campakkanlah kamu (dahulu)!" Maka apabila mereka mencampakkan
(tongkat-tongkat dan tali masing-masing), mereka menyilap mata orang ramai
dan menjadikan orang-orang itu merasa gerun, serta mereka melakukan sihir
yang besar (keadaan dan caranya).
|
| 117. |
Dan Kami
wahyukan kepada Nabi Musa: "Campakkanlah tongkatmu!" Maka tiba-tiba tongkat
itu menelan apa yang mereka pura-pura adakan (dengan sihir mereka).
|
| 118. |
Maka sabitlah
kebenaran (mukjizat Nabi Musa), dan batalah (sihir) yang mereka telah lakukan.
|
| 119. |
Oleh itu,
kalahlah Firaun dan Ketua-ketua kaumnya di situ dan kembalilah mereka dengan
keadaan yang hina.
|
| 120. |
Dan (kemenangan
Nabi Musa menjadikan) ahli-ahli sihir itu dengan sendirinya merebahkan
diri mereka sujud,
|
| 121. |
Sambil
berkata: "Kami beriman kepada Tuhan sekalian alam.
|
| 122. |
"(Iaitu)
Tuhan bagi Nabi Musa dan Nabi Harun".
|
| 123. |
Firaun
berkata: "Patutkah kamu beriman kepadanya sebelum aku memberi izin kepada
kamu? Sesungguhnya ini adalah perbuatan tipu daya yang kamu lakukan dalam
bandar ini kerana kamu hendak mengeluarkan penduduknya dari padanya. Oleh
itu, kamu akan mengetahui (akibatya).
|
| 124. |
"Demi sesungguhnya,
aku akan memotong tangan dan kaki kamu dengan bersilang, kemudian aku akan
memalang kamu semuanya".
|
| 125. |
Mereka
menjawab: "Sesungguhnya kami (tidak gentar) kerana kepada Tuhan kamilah
kembalinya kami (dan kepadaNyalah kami mengharapkan keampunan dan rahmatNya).
|