|
| 26. |
Wahai anak-anak
Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk)
pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa
taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda
(limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka
mengenangnya (dan bersyukur).
|
| 27. |
Wahai anak-anak
Adam! Janganlah kamu diperdayakan oleh Syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan
kedua ibu bapa kamu dari Syurga, sambil ia menyebabkan terlucutnya pakaian
mereka berdua untuk memperlihatkan kepada mereka: aurat mereka (yang sebelum
itu tertutup). Sesungguhnya Syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan
yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan
Syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman.
|
| 28. |
Dan (orang-orang
yang tidak beriman itu) apabila mereka melakukan sesuatu perbuatan yang
keji, mereka berkata: "Kami dapati datuk nenek kami mengerjakannya, dan
Allah perintahkan kami mengerjakannya". Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya
Allah tidak sekali-kali menyuruh mengerjakan perbuatan yang keji. Patutkah
kamu mengatakan terhadap Allah apa yang kamu tidak mengetahuinya?"
|
| 29. |
Katakanlah:
"Tuhanku menyuruh berlaku adil (pada segala perkara), dan (menyuruh supaya
kamu) hadapkan muka (dan hati) kamu (kepada Allah) dengan betul pada tiap-tiap
kali mengerjakan sembahyang, dan beribadatlah dengan mengikhlaskan amal
ugama kamu kepadaNya semata-mata; (kerana) sebagaimana Ia telah menjadikan
kamu pada mulanya, (demikian pula) kamu akan kembali (kepadaNya).
|
| 30. |
Sebahagian
(dari umat manusia) diberi hidayah petunjuk oleh Allah (dengan diberi taufiq
untuk beriman dan beramal soleh); dan sebahagian lagi (yang ingkar) berhaklah
mereka ditimpa kesesatan (dengan pilihan mereka sendiri), kerana sesungguhnya
mereka telah menjadikan Syaitan-syaitan itu pemimpin-pemimpin (yang ditaati)
selain Allah. Serta mereka pula menyangka, bahawa mereka berada dalam petunjuk
hidayah.
|
| 31. |
Wahai anak-anak
Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu
ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah,
dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang
yang melampaui batas.
|
| 32. |
Katakanlah
(wahai Muhammad): "Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah
yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda-benda
yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakanNya?" Katakanlah: "Semuanya
itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang
tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu
(bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat". Demikianlah Kami
jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu)
mengetahui.
|
| 33. |
Katakanlah:
"Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan-perbuatan yang keji,
sama ada yang nyata atau yang tersembunyi; dan perbuatan dosa; dan perbuatan
menceroboh dengan tidak ada alasan yang benar; dan (diharamkanNya) kamu
mempersekutukan sesuatu dengan Allah sedang Allah tidak menurunkan sebarang
bukti (yang membenarkannya); dan (diharamkanNya) kamu memperkatakan terhadap
Allah sesuatu yang kamu tidak mengetahuinya.
|
| 34. |
Dan bagi
tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang
tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaatpun, dan tidak
dapat pula mereka didahulukan.
|
| 35. |
Wahai anak-anak
Adam! Jika datang kepada kamu Rasul-rasul dari kalangan kamu yang menceritakan
kepada kamu ayat-ayat (perintah) Ku, maka sesiapa yang bertaqwa dan memperbaiki
amalnya, tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik)
terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.
|
| 36. |
Dan orang-orang
yang mendustakan ayat-ayat (perintah) Kami dan yang angkuh (merasa dirinya
lebih) daripada mematuhinya, merekalah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.
|
| 37. |
Maka tidak
ada yang lebih zalim daripada orang yang berdusta terhadap Allah atau yang
mendustakan ayat-ayatNya. Orang-orang itu akan mendapat bahagian mereka
(di dunia) dari apa yang telah tersurat (bagi mereka), hingga apabila datang
kepada mereka utusan-utusan Kami (malaikat) yang mengambil nyawa mereka,
bertanyalah malaikat itu (kepada mereka): "Manakah (makhluk-makhluk dan
benda-benda) yang kamu sembah selain Allah?" Mereka menjawab: "Semuanya
itu telah hilang lenyap daripada kami", dan mereKa pula menjadi saksi terhadap
diri mereka sendiri, bahawa mereka adalah orang-orang yang ingkar.
|
| 38. |
Allah berfirman:
"Masuklah kamu ke dalam neraka bersama-sama umat-umat yang terdahulu daripada
kamu, dari jin dan manusia. Tiap-tiap satu umat yang masuk, mengutuk akan
saudaranya (golongannya sendiri); hingga apabila mereka semua berhimpun
di dalamnya, berkatalah golongan yang akhir mengenai golongan yang pertama
di antara mereka: "Wahai Tuhan kami, mereka inilah yang telah menyesatkan
kami; oleh itu berilah kepada mereka azab seksa yang berlipat ganda dari
(azab) neraka". Allah berfirman: "Kamu masing-masing disediakan (azab seksa)
yang berlipat ganda tetapi kamu tidak mengetahui".
|
| 39. |
Dan berkatalah
golongan pertama (ketua-ketua), di antara mereka, kepada golongan yang
akhir (pengikut-pengikutnya): "(Jika demikianlah hukuman Tuhan), maka tidak
ada bagi kamu sebarang kelebihan atas kami". (Allah berfirman): "Oleh itu
rasalah kamu azab seksa disebabkan apa yang kamu telah usahakan".
|
| 40. |
Sesungguhnya
orang-orang yang mendustakan ayat-ayat (perintah) Kami dan yang angkuh
(merasa dirinya lebih) daripada mematuhinya, tidak sekali-kali akan dibukakan
bagi mereka pintu-pintu langit dan mereka tidak akan masuk Syurga sehingga
unta masuk di lubang jarum dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang
melakukan kesalahan.
|
| 41. |
Disediakan
untuk mereka hamparan-hamparan dari api neraka, dan di atas mereka lapisan-lapisan
penutup (dari api neraka) dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang
zalim (disebabkan keingkarannya).
|
| 42. |
Dan orang-orang
yang beriman serta beramal soleh - (dengan tidak menjadi keberatan kepada
mereka, kerana) Kami tidak memberati diri seseorang (dengan kewajipan)
melainkan sekadar yang terdaya olehnya, - merekalah ahli Syurga, mereka
kekal di dalamnya.
|
| 43. |
Dan Kami
cabutkan segala dendam dan hasad dengki dari hati mereka, (di dalam Syurga)
yang mengalir beberapa sungai di bawah (tempat) masing-masing, dan mereka
pula bersyukur dengan berkata: "Segala puji tertentu bagi Allah yang telah
memberi hidayah petunjuk untuk (mendapat nikmat-nikmat) ini, padahal Kami
tidak sekali-kali akan memperoleh petunjuk kalau Allah tidak memimpin kami
(dengan taufiqNya); sesungguhnya telah datang Rasul-rasul Tuhan kami dengan
membawa kebenaran". Dan mereka diseru: "Itulah Syurga yang diberikan kamu
mewarisinya dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan".
|
| 44. |
Dan (apabila
ahli-ahli Syurga itu berada di tempat masing-masing), berserulah mereka
kepada ahli neraka dengan berkata: "Sesungguhnya kami telah dapati apa
yang telah dijanjikan kepada kami oleh Tuhan kami, semuanya betul. Maka
adakah kamu juga telah dapati apa yang telah dijanjikan oleh Tuhan kamu
itu semuanya betul?". Mereka menjawab: "Benar ada". Kemudian berserulah
penyeru (malaikat) di antara mereka (kedua-dua puak itu) menyatakan: "Bahawa
laknat Allah tertimpa ke atas orang-orang yang zalim".
|
| 45. |
Iaitu mereka
yang menghalang (dirinya sendiri dan juga orang lain) dari menurut jalan
Allah, dan mencari helah menjadikan jalan itu bengkok terpesong, sedang
mereka pula tidak percayakan hari akhirat.
|
| 46. |
Dan di
antara keduanya (Syurga dan neraka) ada tembok "Al-A'raaf "(yang menjadi)
pendinding, dan di atas tembok Al-A'raaf itu ada sebilangan orang-orang
lelaki yang mengenal tiap-tiap seorang (dari ahli-ahli Syurga dan neraka)
itu, dengan tanda masing-masing. Dan mereka pun menyeru ahli Syurga (dengan
memberi salam, katanya): "Salaamun Alaikum" (salam sejahtera kepada kamu).
Sedang mereka, sendiri belum lagi masuk Syurga, padahal mereka ingin sangat
memasukinya.
|
| 47. |
Dan apabila
dialihkan pandangan mereka ke arah ahli neraka, mereka (berdoa dengan)
berkata: "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan kami bersama orang-orang
yang zalim".
|
| 48. |
Dan orang-orang
yang berada di atas tembok Al-A'raaf menyeru beberapa orang (Ketua kaum
kafir) yang mereka kenal dengan tandanya, dengan berkata: "Nampaknya kumpulan
kamu yang ramai (atau kekayaan kamu yang besar) dan juga segala apa yang
kamu sombongkan dahulu - tidak dapat menolong kamu".
|
| 49. |
(Mereka
bertanya pula kepada Ketua-ketua kaum kafir itu dengan berkata): "Itukah
orang-orang yang kamu ejek-ejek dahulu dan kamu bersumpah bahawa mereka
tidak akan beroleh rahmat dari Allah? (Sekarang dikatakan kepada mereka):
` Masuklah kamu ke dalam Syurga, tidak ada kebimbangan (dari berlakunya
sesuatu yang tidak baik) terhadap kamu, dan kamu pula tidak akan berdukacita.
' "
|
| 50. |
Dan (Tuhan
menerangkan pula kehinaan ahli neraka dengan firmannya): ahli neraka menyeru
ahli Syurga (dengan berkata): "Limpahkanlah kepada kami sedikit dari air
atau dari rezeki (makanan) yang telah dikurniakan Allah kepada kamu". Mereka
(ahli Syurga) menjawab: "Sesungguhnya Allah telah haramkan kedua-duanya
atas orang-orang kafir".
|