|
| 1. |
Alif, Laam,
Miim, Saad.
|
| 2. |
(Al-Quran
ini) sebuah Kitab yang diturunkan kepadamu (wahai Muhammad dari Tuhanmu).
Oleh itu, janganlah ada perasaan bimbang dalam dadamu mengenainya, supaya
engkau memberi amaran dengan Al-Quran itu (kepada orang-orang yang ingkar),
dan supaya menjadi peringatan bagi orang-orang yang beriman.
|
| 3. |
(Katakanlah
kepada mereka wahai Muhammad): "Turutlah apa yang telah diturunkan kepada
kamu dari Tuhan kamu dan janganlah kamu menurut pemimpin-pemimpin yang
lain dari Allah; (tetapi sayang) amatlah sedikit kamu mengambil peringatan".
|
| 4. |
Dan berapa
banyak negeri yang Kami binasakan, iaitu datang azab seksa Kami menimpa
penduduknya pada malam hari, atau ketika mereka berehat pada tengah hari.
|
| 5. |
Maka tidak
ada yang mereka katakan ketika datangnya azab Kami kepada mereka, melainkan
mereka (mengakui dengan) berkata: "Sebenarnya kami adalah orang-orang yang
zalim".
|
| 6. |
Maka sesungguhnya
Kami (Allah) akan menyoal umat-umat yang telah diutuskan (Rasul-rasul)
kepada mereka, dan sesungguhnya Kami akan menyoal juga Rasul-rasul itu.
|
| 7. |
Kemudian
sesungguhnya Kami akan ceritakan kepada mereka (Rasul-rasul dan umat-umatnya),
dengan (berdasarkan) pengetahuan (yang meliputi akan apa yang mereka lakukan),
dan sememangnya Kami tidak sekali-kali ghaib (bahkan sentiasa Mendengar,
Melihat dan Mengetahui akan hal ehwal mereka).
|
| 8. |
Dan timbangan
amal pada hari itu adalah benar; maka sesiapa yang berat timbangan amalnya
(yang baik), maka mereka itulah orang-orang yang berjaya.
|
| 9. |
Dan sesiapa
yang ringan timbangan amalnya (yang baik), maka mereka itulah orang-orang
yang merugikan dirinya sendiri, dengan sebab mereka berlaku zalim terhadap
ayat-ayat Kami (dengan meletakkannya pada bukan tempatnya).
|
| 10. |
Dan sesungguhnya
Kami telah menetapkan kamu (dan memberi kuasa) di bumi, dan Kami jadikan
untuk kamu padanya (berbagai jalan) penghidupan (supaya kamu bersyukur,
tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur.
|
| 11. |
Dan sesungguhnya
Kami telah menciptakan kamu, lalu Kami membentuk rupa kamu, kemudian Kami
berfirman kepada malaikat-malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam", lalu mereka
sujud melainkan Iblis, ia tidaklah termasuk dalam golongan yang sujud.
|
| 12. |
Allah berfirman:
"Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahmu?"
Iblis menjawab: "Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan
daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah."
|
| 13. |
Allah berfirman:
"Turunlah engkau dari Syurga ini, kerana tidak patut engkau berlaku sombong
di dalamnya; oleh sebab itu keluarlah, sesungguhnya engkau dari golongan
yang hina".
|
| 14. |
Iblis berkata:
Berilah tempoh kepadaku hingga hari mereka dibangkitkan (hari kiamat)".
|
| 15. |
Allah berfirman:
"Sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh (ke suatu masa yang
tertentu)".
|
| 16. |
Iblis berkata:
"Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi
sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani)
jalanMu yang lurus;
|
| 17. |
"Kemudian
aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan
dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati
kebanyakan mereka bersyukur".
|
| 18. |
Allah berfirman:
"Keluarlah engkau dari Syurga sebagai makhluk yang terhina serta terusir.
Sesungguhnya sesiapa di antara mereka yang menurutmu, tetaplah aku akan
memenuhi neraka jahanam dengan (golongan) kamu (yang derhaka) semuanya;
|
| 19. |
"Dan wahai
Adam! Tinggalah engkau dan isterimu di dalam Syurga serta makanlah dari
makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai, dan janganlah kamu
hampiri pokok ini, (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu
dari orang-orang yang zalim".
|
| 20. |
Setelah
itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepada mereka berdua supaya (dapatlah)
ia menampakkan kepada mereka akan aurat mereka yang (sekian lama) tertutup
dari (pandangan) mereka, sambil ia berkata: "Tidaklah Tuhan kamu melarang
kamu daripada (menghampiri) pokok ini, melainkan (kerana Ia tidak suka)
kamu berdua menjadi malaikat atau menjadi dari orang-orang yang kekal (selama-lamanya
di dalam Syurga)".
|
| 21. |
Dan ia
bersumpah kepada keduanya (dengan berkata): "Sesungguhnya aku adalah dari
mereka yang memberi nasihat kepada kamu berdua".
|
| 22. |
Dengan
sebab itu dapatlah ia menjatuhkan mereka berdua (ke dalam larangan) dengan
tipu dayanya. Setelah mereka memakan (buah) pohon itu, terdedahlah kepada
mereka berdua aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya dengan
daun-daun (dari) Syurga. Serta Tuhan mereka menyeru mereka: "Bukankah Aku
telah melarang kamu berdua dari pokok itu, dan Aku katakan kepada kamu,
bahawa Syaitan itu adalah musuh kamu yang nyata?"
|
23. |
Mereka
berdua merayu: "Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri,
dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami,
nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi".
|
| 24. |
Allah berfirman:
"Turunlah kamu semuanya, dengan keadaan setengah kamu menjadi musuh bagi
setengahnya yang lain, dan bagi kamu disediakan tempat kediaman di bumi,
dan juga diberi kesenangan hingga ke suatu ketika (mati)".
|
| 25. |
Allah berfirman
lagi: "Di bumi itu kamu hidup dan situ juga kamu mati, dan daripadanya
pula kamu akan dikeluarkan (dibangkitkan hidup semula pada hari kiamat)".
|