|
| 151. |
Katakanlah:
"Marilah, supaya aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh Tuhan kamu
kepada kamu, iaitu janganlah kamu sekutukan dengan Allah sesuatupun; dan
hendaklah (kamu) membuat baik kepada ibu bapa; dan janganlah kamu membunuh
anak-anak kamu kerana kepapaan, (sebenarnya) Kamilah yang memberi rezeki
kepada kamu dan kepada mereka; dan janganlah kamu hampiri kejahatan-kejahatan
(zina) - yang terang daripadanya dan yang tersembunyi; dan janganlah kamu
membunuh jiwa yang telah diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan
jalan yang hak (yang dibenarkan oleh Syarak). Dengan yang demikian itulah
Allah perintahkan kamu, supaya kamu memahaminya.
|
| 152. |
"Dan janganlah
kamu hampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal
dan mengembangkannya), sehingga ia baligh (dewasa, serta layak mengurus
hartanya dengan sendiri); dan sempurnakanlah segala sukatan dan timbangan
dengan adil". - Kami tidak memberatkan seseorang dengan kewajipan melainkan
sekadar kesanggupannya - "dan apabila kamu mengatakan sesuatu (semasa membuat
apa-apa keterangan) maka hendaklah kamu berlaku adil, sekalipun orang itu
ada hubungan kerabat (dengan kamu); dan perjanjian (perintah-perintah)
Allah hendaklah kamu sempurnakan. Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan
kamu, supaya kamu beringat (mematuhiNya)".
|
| 153. |
Dan bahawa
sesungguhnya inilah jalanKu (ugama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah
kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain
dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu
dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya
kamu bertaqwa.
|
| 154. |
Kemudian
(ketahuilah pula bahawa) Kami telah memberikan kepada Nabi Musa Kitab Taurat
untuk menyempurnakan (kemuliaan dan nikmat Kami) kepada orang yang telah
berbuat baik (menjalankan ajaran Kitab itu iaitu Nabi Musa), dan untuk
menerangkan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi petunjuk dan rahmat, supaya
mereka beriman kepada pertemuan dengan Tuhan mereka (pada hari akhirat
kelak).
|
| 155. |
Dan ini
sebuah Kitab (Al-Quran) yang Kami turunkan, yang ada berkatnya (banyak
manfaatnya). Oleh itu, hendaklah kamu menurutnya; dan bertaqwalah (kepada
Allah), mudah-mudahan kamu beroleh rahmat.
|
| 156. |
Supaya
kamu tidak mengatakan: "Bahawa Kitab (ugama) itu hanya diturunkan kepada
dua golongan (Yahudi dan Nasrani) dahulu sebelum kami, dan sesungguhnya
kami lalai (tidak faham) akan apa yang dibaca dan dipelajari oleh mereka".
|
| 157. |
Atau supaya
kamu (tidak) mengatakan: "Sesungguhnya kalau diturunkan Kitab kepada kami
tentulah kami mendapat petunjuk hidayah lebih daripada mereka". (Kamu tidak
akan dapat berdalih lagi) kerana sesungguhnya telah datang kepada kamu
keterangan (yang cukup) dari Tuhan kamu, dan petunjuk hidayah serta rahmatNya
(yang melimpah-limpah). Oleh itu, siapakah yang lebih zalim lagi daripada
orang yang mendustakan ayat-ayat keterangan Allah dan berpaling daripadanya?
Kami akan membalas orang-orang yang berpaling dari ayat-ayat keterangan
Kami (dengan) azab seksa yang seburuk-buruknya, disebabkan mereka sentiasa
berpaling (mengingkarinya).
|
| 158. |
Apakah
(yang ditunggu-tunggu oleh mereka yang tidak beriman itu?) mereka tidak
menunggu melainkan kedatangan malaikat (yang mencabut nyawa mereka), atau
kedatangan (azab) Tuhanmu, atau kedatangan sebahagian dari tanda-tanda
Tuhanmu (yang menjadi alamat hari kiamat). Pada hari datangnya sebahagian
dari tanda-tanda Tuhanmu itu, tidak berfaedah lagi iman seseorang yang
tidak beriman sebelum itu, atau yang tidak berusaha mengerjakan kebaikan
mengenai imannya. Katakanlah: "Tunggulah kamu (akan apa yang kamu berhak
mendapatnya), dan kami pun sebenarnya menunggu (akan apa yang telah dijanjikan
oleh Tuhan kepada kami)".
|
| 159. |
Bahawasanya
orang-orang yang mencerai-beraikan ugama mereka (dengan perselisihan-perselisihan
yang berdasarkan hawa nafsu), dan mereka menjadi berpuak-puak, tiadalah
engkau terkait sedikitpun dalam (perbuatan) mereka. Sesungguhnya perkara
mereka hanya terserah kepada Allah. Kemudian Ia akan menerangkan kepada
mereka (pada hari kiamat kelak), apa yang telah mereka lakukan (dan membalasnya).
|
| 160. |
Sesiapa
yang membawa amal kebaikan (pada hari kiamat), maka baginya (balasan) sepuluh
kali ganda (dari kebaikan) yang sama dengannya; dan sesiapa yang membawa
amal kejahatan, maka ia tidak dibalas melainkan (kejahatan) yang sama dengannya;
sedang mereka tidak dianiaya (sedikitpun).
|
| 161. |
Katakanlah
(wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku telah diberikan petunjuk hidayah oleh
Tuhanku ke jalan yang betul lurus, (kepada) ugama yang tetap teguh, iaitu
ugama Nabi Ibrahim yang ikhlas, dan tiadalah ia dari orang-orang musyrik".
|
| 162. |
Katakanlah:
"Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk
Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.
|
| 163. |
Tiada sekutu
bagiNya, dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan, dan aku (di
antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal pertama - (yang berserah
diri kepada Allah dan mematuhi perintahNya)".
|
| 164. |
Katakanlah:
"(Sesudah aku mentauhidkan Allah dan berserah diri kepadaNya) patutkah
aku mencari Tuhan selain Allah, padahal Dia lah Tuhan bagi tiap-tiap sesuatu?
Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan
orang itulah sahaja yang menanggung dosanya; dan seseorang yang boleh memikul
tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja);
kemudian kepada Tuhan kamulah tempat kamu kembali, lalu Ia menerangkan
kepada kamu akan apa yang kamu berselisihan padanya.
|
| 165. |
Dan Dia
lah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu
atas setengahnya yang lain beberapa darjat, kerana Ia hendak menguji kamu
pada apa yang telah dikurniakanNya kepada kamu. Sesungguhnya Tuhanmu amatlah
cepat azab seksaNya, dan sesungguhnya Ia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
|