|
| 126. |
Dan inilah
jalan Tuhanmu (ugama Islam) yang betul lurus. Sesungguhnya Kami telah menjelaskan
ayat-ayat keterangan (Kami) satu persatu, bagi kaum yang mahu beringat
- insaf.
|
| 127. |
Bagi merekalah
Syurga Darus-Salaam (tempat tinggal yang aman sejahtera) di sisi Tuhan
mereka, dan Dia lah Penolong mereka, disebabkan amal-amal (yang baik) yang
mereka telah kerjakan.
|
| 128. |
Dan (ingatlah)
hari (kiamat yang padanya) Allah akan himpunkan mereka semua, (lalu berfirman):
"Wahai sekalian jin (Syaitan-syaitan)! Sesungguhnya kamu telah banyak pengikut-pengikut
dari manusia". Dan berkatalah pula pengikut-pengikut mereka dari golongan
manusia: "Wahai Tuhan kami, sebahagian kami (manusia) telah bersenang-senang
(mendapat kemudahan) dengan sebahagian yang lain (Syaitan-syaitan), dan
kami telah sampailah kepada masa kami (hari kiamat) yang Engkau telah tentukan
bagi kami". (Allah berfirman): "Nerakalah tempat kediaman kamu, kekal kamu
di dalamnya, kecuali apa yang dikehendaki Allah". Sesungguhnya Tuhanmu
(wahai Muhammad) Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui.
|
| 129. |
Dan demikianlah
Kami jadikan sebahagian dari orang-orang yang zalim itu kawan rapat dengan
sebahagian yang lain, disebabkan apa yang mereka telah usahakan (dari perbuatan-perbuatan
kufur dan maksiat itu).
|
| 130. |
Wahai sekalian
jin dan manusia! Bukankah telah datang kepada kamu Rasul-rasul dari kalangan
kamu sendiri, yang menyampaikan kepada kamu ayat-ayatKu (perintah-perintahKu),
dan yang memberikan amaran kepada kamu tentang pertemuan kamu dengan hari
(kiamat) ini? Mereka menjawab: "Kami menjadi saksi mengakui akan (kesalahan)
diri kami sendiri (mendustakan Rasul-rasul itu)". Dan (sebabnya ialah)
mereka telah diperdayakan oleh (kemewahan) hidup di dunia dan (kerana itulah)
mereka menjadi saksi (pada hari akhirat) terhadap diri mereka sendiri:
(bahawa) sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang mengingkari (apa yang
telah disampaikan oleh Rasul-rasul itu).
|
| 131. |
Yang demikian
(kedatangan Rasul-rasul itu ialah), kerana Tuhanmu tidak membinasakan negeri-negeri
secara zalim sedang penduduknya leka lalai.
|
| 132. |
Dan bagi
tiap-tiap seorang (dari manusia atau jin), beberapa darjat (tingkatan balasan)
disebabkan (amal baik atau jahat) yang mereka telah kerjakan; dan (ingatlah)
Tuhanmu tiadalah lalai dari apa yang mereka lakukan.
|
| 133. |
Dan Tuhanmu
Maha Kaya, lagi Melimpah-limpah rahmatNya. Jika Ia kehendaki, nescaya Ia
binasakan kamu dan menggantikan sesudah (binasanya) kamu dengan sesiapa
yang dikehendakiNya, sebagaimana Ia telah menjadikan kamu dari keturunan
kaum yang lain.
|
| 134. |
Sesungguhnya
apa yang dijanjikan kepada kamu (hari kiamat dan balasannya) tetap akan
datang, dan kamu tidak akan dapat melepaskan diri (dari balasan itu).
|
| 135. |
Katakanlah
(wahai Muhammad): "Wahai kaumku (yang masih kafir), buatlah sedaya upaya
kamu (untuk menentang Islam), sesungguhnya aku juga tetap beramal (berusaha
dengan bersungguh-sungguh untuk mempertahankan Islam); kemudian kamu akan
ketahui siapakah yang akan beroleh kebaikan dan kejayaan di dunia ini.
Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu tidak akan berjaya.
|
| 136. |
Dan mereka
(orang-orang musyrik) memperuntukkan dari hasil tanaman dan binatang-binatang
ternak yang diciptakan oleh Allah itu, sebahagian bagi Allah (dan sebahagian
lagi untuk berhala-berhala mereka), lalu mereka berkata: Ini untuk Allah
- menurut anggapan mereka - dan ini untuk berhala-berhala kami." Kemudian
apa yang telah ditentukan untuk berhala-berhala mereka, maka ia tidak sampai
kepada Allah (kerana mereka tidak membelanjakannya pada jalan Allah), dan
apa yang telah ditentukan untuk Allah, sampai pula kepada berhala-berhala
mereka (kerana mereka membelanjakannya pada jalan itu). Amatlah jahatnya
apa yang mereka hukumkan itu.
|
| 137. |
Dan demikianlah
juga (jahatnya) ketua-ketua yang orang-orang musyrik itu jadikan sekutu
bagi Allah, menghasut kebanyakan dari mereka dengan kata-kata indah yang
memperlihatkan eloknya perbuatan membunuh anak-anak mereka, untuk membinasakan
mereka, dan untuk mengelirukan mereka nengenai ugama mereka. Dan kalau
Allah kehendaki, nescaya mereka tidak melakukannya. Oleh itu biarkanlah
mereka dan apa yang mereka ada-adakan itu.
|
| 138. |
Dan mereka
berkata lagi: "Ini adalah binatang-binatang ternak dan tanaman-tanaman
yang dilarang, yang tidak boleh seorang pun memakannya kecuali sesiapa
yang kami kehendaki", - menurut anggapan mereka; dan (sejenis lagi) binatang-binatang
ternak yang dilarang menunggangnya; dan (sejenis lagi) bintang-bintang
ternak yang tidak mereka sebutkan nama Allah ketika menyembelihnya; (semuanya
itu mereka lakukan dengan) berdusta terhadap Allah. Allah akan membalas
mereka disebabkan apa yang mereka telah ada-adakan itu.
|
| 139. |
Dan mereka
berkata lagi: "Apa yang ada dalam perut binatang-binatang ternak itu (jika
ia lahirkan hidup) adalah halal bagi lelaki-lelaki kami dan haram bagi
perempuan-perempuan kami". Dan jika ia (dilahirkan) mati, maka mereka (lelaki
perempuan) bersekutu padanya (bersama-sama memakannya). Allah akan membalas
mereka tentang apa yang mereka tetapkan (mengenai halal dan haram) itu.
Sesungguhnya Allah Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui.
|
| 140. |
Sesungguhnya
rugilah orang-orang yang membunuh anak-anak mereka kerana kebodohan, lagi
tidak berpengetahuan (sedang Allah yang memberi rezeki kepada sekalian
makhluknya), dan juga (rugilah orang-orang yang) mengharamkan apa yang
telah dikurniakan oleh Allah kepada mereka, dengan berdusta terhadap Allah.
Sesungguhnya sesatlah mereka, dan tiadalah mereka mendapat petunjuk.
|
| 141. |
Dan Dia
lah (Allah) yang menjadikan (untuk kamu) kebun-kebun yang menjalar tanamannya
dan yang tidak menjalar; dan pohon-pohon tamar (kurma) dan tanaman-tanaman
yang berlainan (bentuk, rupa dan) rasanya; dan buah zaiton dan delima,
yang bersamaan (warnanya atau daunnya) dan tidak bersamaan (rasanya). Makanlah
dari buahnya ketika ia berbuah, dan keluarkanlah haknya (zakatnya) pada
hari memetik atau menuainya; dan janganlah kamu melampau (pada apa-apa
jua yang kamu makan atau belanjakan); sesungguhnya Allah tidak suka kepada
orang-orang yang melampau.
|
| 142. |
Dan di
antara binatang-binatang ternak itu, ada yang dijadikan untuk pengangkutan,
dan ada yang untuk disembelih. Makanlah dari apa yang telah dikurniakan
oleh Allah kepada kamu, dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan;
kerana sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.
|
| 143. |
(Binatang
ternak itu) delapan ekor - (empat) pasangan; dari kambing biri-biri dua
ekor (sepasang jantan betina), dan dari kambing biasa dua ekor (sepasang
jantan betina). Tanyalah (wahai Muhammad kepada orang-orang musyrik itu):
"Adakah yang diharamkan Allah itu, dua jantannya atau dua betinanya, atau
yang dikandung oleh rahim dua betinanya? Terangkanlah kepadaku dengan berdasarkan
ilmu pengetahuan (Syarak dari Allah yang menjadi dalil tentang haramnya),
jika betul kamu orang-orang yang benar".
|
| 144. |
Dan dari
unta dua ekor (sepasang jantan betina), dan dari lembu dua ekor (sepasang
jantan betina). Tanyalah (wahai Muhammad): "Adakah yang diharamkan Allah
itu dua jantannya atau dua betinanya, atau yang dikandung oleh rahim dua
betinanya? Ataupun kamu ada menyaksikan ketika Allah menyuruh serta menentukan
kepada kamu (atau kepada datuk nenek kamu) dengan yang demikian ini?" Oleh
itu, siapakah yang lebih zalim daripada orang yang berdusta terhadap Allah
untuk menyesatkan manusia dengan tidak berdasarkan ilmu pengetahuan? Sesungguhnya
Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim.
|
| 145. |
Katakanlah
(wahai Muhammad): "Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku,
sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau
benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi - kerana
sesungguhnya ia adalah kotor - atau sesuatu yang dilakukan secara fasik,
iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah". Kemudian
sesiapa yang terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya
dan tidak melampaui batas, maka sesungguhnya Tuhan mu Maha Pengampun, lagi
Maha Mengasihani.
|
| 146. |
Dan Kami
haramkan atas orang-orang Yahudi segala binatang yang berkuku, dan dari
lembu dan kambing pula Kami haramkan kepada mereka lemaknya, kecuali (lemak)
yang ada pada belakangnya atau yang menyelaputi perkakas dalam perutnya,
atau yang bercampur dengan tulang. Demikianlah Kami balas mereka dengan
sebab kederhakaan mereka; dan sesungguhnya Kamilah yang benar.
|
| 147. |
Kemudian
jika mereka mendustakanmu (wahai Muhammad) maka katakanlah: "Tuhan kamu
mempunyai rahmat yang luas melimpah-ruah, dan azab seksaNya tidak dapat
ditolak dari kaum yang berdosa".
|
| 148. |
Orang-orang
musyrik akan mengatakan: "Kalau Allah menghendaki tentulah kami dan datuk
nenek kami tidak mempersekutukanNya (dengan sesuatu yang lain), dan tidak
pula kami haramkan sesuatu apa pun". Demikianlah juga orang-orang yang
dahulu sebelum mereka telah mendustakan (Rasul-rasul) sehingga mereka merasai
azab seksa Kami. Katakanlah: Adakah kamu mempunyai (sesuatu keterangan
yang berdasarkan) ilmu supaya dapat kamu tunjukkan kepada kami? Tiadalah
kamu menurut melainkan sangkaan semata-mata, dan kamu pula tidak lain hanyalah
berdusta".
|
| 149. |
Katakanlah
(wahai Muhammad: "Kalau kamu sudah tidak ada sesuatu bukti) maka Allah
mempunyai bukti yang tegas nyata. Oleh itu, jika Ia menghendaki tentulah
Ia akan memberi hidayah petunjuk kepada kamu semuanya".
|
| 150. |
Katakanlah:
"Bawalah saksi-saksi kamu memberi keterangan bahawa Allah mengharamkan
(benda-benda yang kamu haramkan) ini". Kemudian jika mereka (tergamak)
menjadi saksi (secara dusta), maka janganlah engkau turut sama membenarkan
mereka mereka; dan janganlah engkau turut hawa nafsu orang-orang yang mendustakan
ayat-ayat keterangan Kami, dan orang-orang yang tidak beriman kepada hari
akhirat, sedang mereka pula menyamakan (sesuatu yang lain) dengan Tuhan
mereka.
|