|
| 101. |
(Dia lah)
yang menciptakan langit dan bumi. Bagaimanakah Ia mempunyai anak sedang
Ia tidak mempunyai isteri? Ia pula yang menciptakan tiap-tiap sesuatu,
dan Dia lah Yang Maha Mengetahui akan segala-galanya.
|
| 102. |
Yang demikian
(sifat-sifatNya dan kekuasaanNya) ialah Allah Tuhan kamu, tiada Tuhan (yang
berhak disembah) melainkan Dia, yang menciptakan tiap-tiap sesuatu, maka
beribadatlah kamu kepadaNya. Dan (ingatlah) Dia lah yang mentadbirkan segala-galanya.
|
| 103. |
Ia tidak
dapat dilihat dan diliputi oleh penglihatan mata, sedang Ia dapat melihat
(dan mengetahui hakikat) segala penglihatan (mata), dan Dia lah Yang Maha
Halus (melayan hamba-hambaNya dengan belas kasihan), lagi Maha Mendalam
pengetahuanNya.
|
| 104. |
(Katakanlah
wahai Muhammad): "Sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan-keterangan
(dalil-dalil dan bukti) dari Tuhan kamu; oleh itu sesiapa melihat (kebenaran
itu serta menerimanya) maka faedahnya terpulang kepada dirinya sendiri,
dan sesiapa buta (dan enggan menerimanya) maka bahayanya tertimpalah ke
atas dirinya sendiri. Dan tiadalah aku berkewajipan menjaga dan mengawasi
kamu".
|
| 105. |
Dan demikianlah
Kami menerangkan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu (dengan berbagai
cara, untuk menimbulkan keingkaran mereka) dan supaya mereka (yang ingkar
itu menuduhmu dengan) berkata: "Engkau telah mempelajarinya (dari orang-orang
lain) ", dan supaya kami menerangkan (Al-Quran) itu kepada orang-orang
yang (mahu) mengetahui.
|
| 106. |
Ikutlah
apa yang telah diwahyukan kepadamu dari Tuhanmu, tiada Tuhan (yang berhak
disembah) melainkan Dia, dan berpalinglah dari orang-orang musyrik.
|
| 107. |
Dan kalau
Allah menghendaki, nescaya mereka tidak mempersekutukanNya; dan Kami tidak
menjadikan engkau (wahai Muhammad) penjaga dan pengawal mereka, dan engkau
pula bukanlah wakil yang menguruskan hal-hal mereka (kerana semuanya itu
terserah kepada Allah semata-mata).
|
| 108. |
Dan janganlah
kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana
mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan
pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat
akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali
mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.
|
| 109. |
Dan mereka
pula bersumpah dengan nama Allah, dengan menegaskan sumpah mereka bersungguh-sungguh,
bahawa sesungguhnya jika datang kepada mereka sesuatu mukjizat (sebagaimana
yang mereka minta itu), tentulah mereka akan beriman kepadanya. Katakanlah
(wahai Muhammad): "Bahawa soal mendatangkan mukjizat-mukjizat itu hanyalah
Allah yang menentukannya, dan kamu tidak menyedari (wahai orang-orang Islam),
bahawa apabila mukjizat-mukjizat (yang mereka minta) itu datang, mereka
juga tidak akan beriman.
|
| 110. |
Dan kami
palingkan hati mereka dan pemandangan mereka sebagaimana mereka telah tidak
(mahu) beriman kepada (ayat-ayat Kami ketika datang kepada mereka) pada
awal mulanya, dan Kami biarkan mereka meraba-raba di dalam kesesatannya
dengan bingung.
|
| 111. |
Dan jika
Kami turunkan malaikat pun kepada mereka, dan orang-orang yang mati (hidup
semula lalu) berkata-kata dengan mereka, dan kami himpunkan pula tiap-tiap
sesuatu di hadapan mereka (untuk menjadi saksi tentang kebenaran Nabi Muhammad),
nescaya mereka tidak juga akan beriman, kecuali jika dikehendaki Allah;
tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat yang sebenar).
|
| 112. |
Dan demikianlah
Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari Syaitan-syaitan manusia
dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain kata-kata
dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya. Dan jika
Tuhanmu menghendaki, tentulah mereka tidak melakukannya. Oleh itu, biarkanlah
mereka dan apa yang mereka ada-adakan (dari perbuatan yang kufur dan dusta)
itu.
|
| 113. |
Dan juga
supaya hati orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat cenderung
kepada bisikan itu, dan supaya disetujui oleh mereka, dan juga supaya mereka
(terus) melakukan apa yang mereka lakukan itu.
|
| 114. |
(Katakanlah
wahai Muhammad): "Patutkah aku (terpedaya dengan kata-kata dusta Syaitan-syaitan
itu sehingga aku) hendak mencari hakim selain dari Allah, padahal Dia lah
yang menurunkan kepada kamu kitab Al-Quran yang jelas nyata kandungannya
satu persatu (tentang yang benar dan yang salah)?" Dan orang-orang yang
Kami berikan kitab, mengetahui bahawa Al-Quran itu adalah diturunkan dari
Tuhanmu dengan sebenar-benarnya. Oleh itu, jangan sekali-kali engkau menjadi
(salah seorang) dari golongan yang ragu-ragu.
|
| 115. |
Dan telah
sempurnalah Kalimah Tuhanmu (Al-Quran, meliputi hukum-hukum dan janji-janjiNya)
dengan benar dan adil; tiada sesiapa yang dapat mengubah sesuatupun dari
Kalimah-kalimahNya; dan Dia lah yang sentiasa Mendengar, lagi sentiasa
Mengetahui.
|
| 116. |
Dan jika
engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan
menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan
semata-mata, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta.
|
| 117. |
Sesungguhnya
Tuhanmu, Dia lah yang lebih mengetahui akan sesiapa yang sesat dari jalannya,
dan Dia lah yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat petunjuk.
|
| 118. |
Maka makanlah
dari (sembelihan binatang-binatang halal) yang disebut nama Allah ketika
menyembelihnya, jika betul kamu beriman kepada ayat-ayatNya.
|
| 119. |
Dan tidak
ada sebab bagi kamu, (yang menjadikan) kamu tidak mahu makan dari (sembelihan
binatang-binatang halal) yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya,
padahal Allah telah menerangkan satu persatu kepada kamu apa yang diharamkanNya
atas kamu, kecuali apa yang kamu terpaksa memakannya? Dan sesungguhnya
kebanyakan manusia hendak menyesatkan dengan hawa nafsu mereka dengan tidak
berdasarkan pengetahuan. Sesungguhnya Tuhanmu, Dia lah yang lebih mengetahui
akan orang-orang yang melampaui batas.
|
| 120. |
Dan tinggalkanlah
kamu dosa yang nyata dan yang tersembunyi. Kerana sesungguhnya orang-orang
yang berusaha melakukan dosa, mereka akan dibalas dengan apa yang mereka
telah lakukan.
|
| 121. |
Dan janganlah
kamu makan dari (sembelihan binatang-binatang halal) yang tidak disebut
nama Allah ketika menyembelihnya, kerana sesungguhnya yang sedemikian itu
adalah perbuatan fasik (berdosa); dan sesungguhnya Syaitan-syaitan itu
membisikkan kepada pengikut-pengikutnya, supaya mereka membantah (menghasut)
kamu; dan jika kamu menurut hasutan mereka (untuk menghalalkan yang haram
itu), sesungguhnya kamu tetap menjadi orang-orang musyrik.
|
| 122. |
Dan adakah
orang yang mati (hatinya dengan kufur), kemudian Kami hidupkan dia semula
(dengan hidayah petunjuk), dan Kami jadikan baginya cahaya (iman) yang
menerangi (sehingga dapatlah ia membezakan antara yang benar dengan yang
salah, dan dapatlah) ia berjalan dengan suluhan cahaya itu dalam masyarakat
manusia, (adakah orang yang demikian keadaannya) sama seperti yang tinggal
tetap di dalam gelap-gelita (kufur), yang tidak dapat keluar sama sekali
daripadanya? Demikianlah (sebagaimana iman itu diperlihatkan keelokannya
kepada orang-orang yang beriman), diperlihatkan pula pada pandangan orang-orang
yang kafir itu akan keelokan apa yang mereka telah lakukan (dari perbuatan
kufur dan segala jenis maksiat).
|
| 123. |
Dan demikianlah
Kami adakan dalam tiap-tiap negeri orang-orang besar yang jahat supaya
mereka melakukan tipu daya di negeri itu, padahal tiadalah mereka memperdayakan
selain dari dirinya sendiri (kerana merekalah yang akan menerima akibatnya
yang buruk), sedang mereka tidak menyedarinya. |
| 124. |
Dan apabila
datang kepada mereka sesuatu keterangan, mereka berkata: "Kami tidak akan
beriman sehingga kami juga diberi (wahyu) sama seperti yang telah diberikan
kepada pesuruh-pesuruh Allah". Allah lebih mengetahui di mana (dan kepada
siapakah yang sepatutnya) Ia berikan jawatan Rasul (dan wahyu) yang diberikanNya
itu. Orang-orang yang melakukan perbuatan yang salah itu akan ditimpa kehinaan
di sisi Allah, dan azab seksa yang amat berat, disebabkan perbuatan tipu
daya yang mereka lakukan.
|
| 125. |
Maka sesiapa
yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya Ia
melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam; dan sesiapa
yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Ia menjadikan dadanya
sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah ia sedang mendaki naik ke
langit (dengan susah payahnya). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada
orang-orang yang tidak beriman.
|