|
| 26. |
Dan mereka
pula melarang orang ramai dari mendengar Al-Quran dan mereka juga menjauhkan
diri daripadanya, padahal mereka (dengan perbuatan yang demikian) hanyalah
membinasakan diri sendiri (dengan bala bencana dan azab yang disediakan
untuk mereka di dunia dan di akhirat kelak), sedang mereka tidak menyedarinya.
|
| 27. |
Dan sungguh
ngeri jika engkau melihat ketika mereka didirikan di tepi neraka (untuk
menyaksikan azabnya yang tidak terperi), lalu mereka berkata: "Wahai kiranya
kami dikembalikan ke dunia, dan kami tidak akan mendustakan lagi ayat-ayat
keterangan Tuhan kami, dan menjadilah kami dari golongan yang beriman".
|
| 28. |
(Mereka
mengatakan yang demikian bukanlah kerana hendak beriman) bahkan setelah
nyata kepada mereka apa yang mereka selalu sembunyikan dahulu; dan kalau
mereka dikembalikan ke dunia sekalipun, tentulah mereka akan mengulangi
lagi apa yang mereka dilarang dari melakukannya; dan sesungguhnya mereka
adalah tetap pendusta.
|
| 29. |
Dan tentulah
mereka akan berkata pula: "Tiadalah hidup yang lain selain dari hidup kita
di dunia ini, dan tiadalah kita akan dibangkitkan semula sesudah kita mati".
|
| 30. |
Dan sungguh
ngeri jika engkau melihat ketika mereka dihadapkan kepada Tuhan mereka,
lalu Allah berfirman: "Bukankah hari kiamat ini suatu perkara yang benar?
Mereka menjawab: "Benar, demi Tuhan kami!" Allah berfirman lagi: "Oleh
itu, rasalah azab seksa neraka dengan sebab kamu telah kufur ingkar".
|
| 31. |
Sesungguhnya
telah rugilah orang-orang yang mendustakan pertemuan mengadap Allah; sehingga
apabila hari kiamat datang secara mengejut kepada mereka, mereka berkata;
"Aduhai kesalnya kami atas apa yang telah kami cuaikan dalam dunia!" Sambil
mereka memikul dosa-dosa mereka di atas belakang mereka. Ingatlah, amatlah
buruk apa yang mereka pikul itu.
|
| 32. |
Dan tidak
(dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan
yang melalaikan: dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi
orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?
|
| 33. |
Sesungguhnya
Kami mengetahui bahawa apa yang mereka katakan itu akan menyebabkan engkau
(wahai Muhammad) berdukacita; (maka janganlah engkau berdukacita) kerana
sebenarnya mereka bukan mendustakanmu, tetapi orang-orang yang zalim itu
mengingkari ayat-ayat keterangan Allah (disebabkan kedegilan mereka semata-mata).
|
| 34. |
Dan demi
sesungguhnya, Rasul-rasul sebelummu pernah juga didustakan, maka mereka
sabar terhadap perbuatan orang-orang yang mendustakan mereka dan menyakiti
mereka, sehingga datanglah pertolongan Kami kepada mereka; dan sememangnyalah
tiada sesiapa pun yang dapat mengubah Kalimah-kalimah Allah (janji-janjiNya);
dan demi sesungguhnya, telah datang kepadamu sebahagian dari khabar berita
Rasul-rasul itu.
|
| 35. |
Dan jika
perbuatan mereka berpaling (daripada menerima apa yang engkau bawa wahai
Muhammad) terasa amat berat kepadamu; maka sekiranya engkau sanggup mencari
satu lubang di bumi (untuk menembusi ke bawahnya) atau satu tangga untuk
naik ke langit, supaya engkau dapat bawakan mukjizat kepada mereka, (cubalah
lakukan jika engkau sanggup). Dan sekiranya Allah menghendaki, tentulah
ia himpunkan mereka atas hidayah petunjuk. (Tetapi Allah tidak menghendakinya),
oleh itu janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang jahil.
|
| 36. |
Hanyasanya
orang-orang yang menyahut seruanmu itu ialah mereka yang mendengar (yang
mahu menurut kebenaran); sedang orang-orang yang mati Allah bangkitkan
mereka semula (pada hari kiamat kelak), kemudian mereka dikembalikan kepadaNya
untuk menerima balasan.
|
| 37. |
Dan mereka
(golongan kafir musyrik) berkata: "Alangkah eloknya kalau diturunkan kepada
Muhammad satu mukjizat dari Tuhannya?" Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya
Allah berkuasa menurunkan mukjizat", akan tetapi kebanyakan mereka tidak
mengetahui (balasan yang akan menimpa mereka kalau mereka enggan beriman).
|
| 38. |
Dan tidak
seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang
terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu.
Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian
mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan
menerima balasan).
|
| 39. |
Dan orang-orang
yang mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, mereka adalah bisu dan tuli,
di dalam gelap-gelita. Sesiapa yang Allah kehendaki: akan disesatkannya
(menurut peraturan tetapNya), dan sesiapa yang Ia kehendaki: akan dijadikannya
atas jalan yang betul lurus.
|
| 40. |
Katakanlah
(wahai Muhammad): "Khabarkanlah kepadaku, jika datang kepada kamu azab
Allah, atau datang kepada kamu hari kiamat, adakah kamu akan menyeru yang
lain dari Allah (untuk menolong kamu), jika betul kamu orang-orang yang
benar?"
|
| 41. |
Bahkan
Dia lah (Allah) yang kamu seru lalu Ia hapuskan bahaya yang kamu pohonkan
kepadaNya jika Ia kehendaki; dan kamu lupakan apa yang kamu sekutukan (dengan
Allah dalam masa kamu ditimpa bahaya itu).
|
| 42. |
Dan demi
sesungguhnya Kami telah utuskan Rasul-rasul kepada umat-umat yang dahulu
daripadamu (lalu mereka mendustakannya), maka Kami seksakan mereka dengan
kebuluran dan penyakit, supaya mereka berdoa (kepada Kami) dangan merendah
diri (serta insaf dan bertaubat).
|
| 43. |
Maka alangkah
eloknya kalau mereka berdoa kepada Kami dengan merendah diri (serta insaf
dan bertaubat) ketika mereka ditimpa azab Kami? Tetapi yang sebenarnya
hati mereka keras (tidak mahu menerima kebenaran), dan Syaitan pula memperelokkan
pada (pandangan) mereka apa yang mereka telah lakukan.
|
| 44. |
Kemudian
apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya,
Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan,
sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat
yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan
bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (dari mendapat
sebarang pertolongan).
|
| 45. |
Lalu kaum
yang zalim itu dibinasakan sehingga terputus keturunannya. Dan (dengan
itu bersyukurlah kerana musnahnya kezaliman, dengan menyebut): "Segala
puji tertentu bagi Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian
Alam".
|
| 46. |
Katakanlah
(wahai Muhammad): "Bagaimana fikiran kamu, jika Allah melenyapkan pendengaran
serta penglihatan kamu, dan Ia pula memeteraikan atas hati kamu? Siapakah
Tuhan selain Allah yang berkuasa mengembalikannya kepada kamu?" Lihatlah
bagaimana Kami berulang-ulang menerangkan tanda-tanda kebesaran Kami (dengan
berbagai cara), dalam pada itu, mereka tetap juga berpaling - ingkar.
|
| 47. |
Katakanlah:"
Bagaimana fikiran kamu, jika datang kepada kamu azab Allah dengan tiba-tiba,
atau dengan terang-terang (setelah diperlihatkan tanda-tanda yang menunjukkan
kedatangannya), siapakah yang akan binasa, selain dari kaum yang zalim?".
|
| 48. |
Dan tiadalah
Kami utuskan Rasul-rasul itu melainkan sebagai pembawa berita gembira dan
pembawa amaran; kemudian sesiapa yang beramal soleh, maka tidak ada kebimbangan
(dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka
tidak akan berdukacita.
|
| 49. |
Dan orang-orang
yang mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, mereka akan dikenakan azab
seksa dengan sebab mereka berlaku fasik.
|
| 50. |
Katakanlah
(wahai Muhammad); "Aku tidak mengatakan kepada kamu (bahawa) perbendaharaan
Allah ada di sisiku, dan aku pula tidak mengetahui perkara-perkara yang
ghaib; aku juga tidak mengatakan kepada kamu bahawasanya aku ini malaikat,
aku tidak menurut melainkan apa yang diwahyukan kepadaku". Bertanyalah
(kepada mereka): "Adakah sama orang yang buta dengan orang yang celik?
Tidakkah kamu mahu berfikir?"
|