|
| 1. |
Wahai orang
yang berselimut!.
|
| 2. |
Bangunlah
sembahyang Tahajjud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak
dapat tidak untuk berehat),
|
| 3. |
Iaitu separuh
dari waktu malam, atau kurangkan sedikit dari separuh itu,
|
| 4. |
Ataupun
lebihkan (sedikit) daripadanya; dan bacalah Al-Quran dengan "Tartil".
|
| 5. |
(Sayugialah
engkau dan pengikut-pengikutmu membiasakan diri masing-masing dengan ibadat
yang berat kepada hawa nafsu, kerana) sesungguhnya Kami akan menurunkan
kepadamu wahyu (Al-Quran yang mengandungi perintah-perintah) yang berat
(kepada orang-orang yang tidak bersedia menyempurnakannya).
|
| 6. |
Sebenarnya
sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa), dan lebih
tetap betul bacaannya.
|
| 7. |
(Kami galakkan
engkau dan umatmu beribadat pada waktu malam), kerana sesungguhnya engkau
pada siang hari mempunyai urusan-urusan yang panjang kira bicaranya;
|
| 8. |
Dan sebutlah
(dengan lidah dan hati) akan nama Tuhanmu (terus menerus siang dan malam),
serta tumpukanlah (amal ibadatmu) kepadaNya dengan sebulat-bulat tumpuan.
|
| 9. |
Dia lah
Tuhan yang menguasai timur dan barat; tiada Tuhan melainkan Dia; maka jadikanlah
Dia Penjaga yang menyempurnakan urusanmu.
|
| 10. |
Dan bersabarlah
terhadap apa yang dikatakan oleh mereka (yang menentangmu), dan jauhkanlah
dirimu dari mereka dengan cara yang baik.
|
| 11. |
Dan biarkanlah
Aku sahaja membalas orang-orang yang mendustakan (bawaanmu) itu, orang-orang
yang berada dalam kemewahan, dan berilah tempoh kepada mereka sedikit masa;
|
| 12. |
Kerana
sesungguhnya di sisi Kami disediakan (untuk mereka) belenggu-belenggu dan
neraka yang menjulang-julang,
|
| 13. |
Serta makanan
yang menjadikan pemakannya tercekik, dan azab seksa yang tidak terperi
sakitnya.
|
| 14. |
(Azab itu
tetap berlaku) pada hari bumi dan gunung-ganang bergoncang (serta hancur
lebur), dan menjadilah gunung-ganang itu timbunan pasir yang mudah bersepah.
|
| 15. |
Sesungguhnya
Kami telah mengutus kepada kamu (wahai umat Muhammad), seorang Rasul yang
menjadi
saksi terhadap kamu (tentang orang yang mematuhi atau menolak seruannya),
sebagaimana Kami telah mengutus kepada Firaun seorang Rasul.
|
| 16. |
Maka Firaun
menderhaka kepada Rasul itu, lalu Kami menyeksakannya dengan azab seksa
yang seberat-beratnya.
|
| 17. |
(Sekiranya
kamu tidak ditimpa azab di dunia), maka bagaimana kamu dapat menjaga dan
menyelamatkan diri kamu - kalau kamu kufur ingkar - (dari azab) hari yang
huru-haranya menyebabkan kanak-kanak menjadi tua beruban?
|
| 18. |
Langit
(yang demikian besarnya) akan pecah belah dengan sebab kedahsyatan hari
itu. (Ingatlah), janji Allah adalah perkara yang tetap dilakukanNya.
|
| 19. |
Sesungguhnya
(keterangan-keterangan yang mengandungi amaran) ini menjadi peringatan
oleh itu sesiapa yang mahukan kebaikan dirinya dapatlah ia mengambil jalan
yang membawa kepada Tuhannya (dengan iman dan taat).
|
| 20. |


Sesungguhnya
Tuhanmu (wahai Muhammad) mengetahui bahawasanya engkau bangun (sembahyang
Tahajjud) selama kurang dari dua pertiga malam, dan selama satu perduanya,
dan selama satu pertiganya; dan (demikian juga dilakukan oleh) segolongan
dari orang-orang yang bersama-samamu (kerana hendak menepati perintah yang
terdahulu); padahal Allah jualah yang menentukan dengan tepat kadar masa
malam dan siang. Ia mengetahui bahawa kamu tidak sekali-kali akan dapat
mengira dengan tepat kadar masa itu, lalu Ia menarik balik perintahNya
yang terdahulu (dengan memberi kemudahan) kepada kamu; oleh itu bacalah
mana-mana yang mudah kamu dapat membacanya dari Al-Quran (dalam sembahyang).
Ia juga mengetahui bahawa akan ada di antara kamu orang-orang yang sakit;
dan yang lainnya orang-orang yang musafir di muka bumi untuk mencari rezeki
dari limpah kurnia Allah; dan yang lainnya lagi orang-orang yang berjuang
pada jalan Allah (membela ugamaNya). Maka bacalah mana-mana yang sudah
kamu dapat membacanya dari Al-Quran; dan dirikanlah sembahyang serta berikanlah
zakat; dan berilah pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (ikhlas).
Dan (ingatlah), apa jua kebaikan yang kamu kerjakan sebagai bekalan untuk
diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasannya pada sisi Allah, -sebagai
balasan yang sebaik-baiknya dan yang amat besar pahalanya. Dan mintalah
ampun kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
|