|
| 1. |
Katakanlah
(wahai Muhammad): "Telah diwahyukan kepadaku, bahawa sesungguhnya: satu
rombongan jin telah mendengar (Al-Quran yang aku bacakan), lalu mereka
(menyampaikan hal itu kepada kaumnya dengan) berkata: `Sesungguhnya kami
telah mendengar Al-Quran (sebuah Kitab Suci) yang susunannya dan kandungannya
sungguh menakjubkan!
|
| 2. |
`Kitab
yang memberi panduan ke jalan yang betul, lalu kami beriman kepadanya,
dan kami tidak sekali-kali akan mempersekutukan sesuatu makhluk dengan
Tuhan kami.
|
| 3. |
`Dan (ketahuilah
wahai kaum kami!) Bahawa sesungguhnya: tertinggilah kebesaran dan keagungan
Tuhan kita daripada beristeri atau beranak.
|
| 4. |
`Dan (dengan
ajaran Al-Quran nyatalah) bahawa sesungguhnya: (ketua) yang kurang akal
pertimbangannya dari kalangan kita telah mengatakan terhadap Allah kata-kata
yang melampaui kebenaran;
|
| 5. |
`Dan bahawa
sesungguhnya (nyatalah kesalahan) kita menyangka bahawa manusia dan jin
tidak sekali-kali akan berani mengatakan sesuatu yang dusta terhadap Allah.
|
| 6. |
`Dan bahawa
sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia,
menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua
golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin
bertambah sombong dan jahat.
|
| 7. |
`Dan bahawa
sesungguhnya (tidaklah benar) manusia menyangka sebagaimana yang kamu sangka,
bahawa Allah tidak sekali-kali mengutuskan sebarang Rasul (atau tidak akan
membangkitkan manusia pada hari kiamat).
|
| 8. |
`Dan bahawa
sesungguhnya kami telah berusaha mencari berita langit, lalu kami dapati
langit itu penuh dengan pengawal-pengawal yang sangat kuat kawalannya,
dan (dengan rejaman-rejaman) api yang menyala.
|
| 9. |
`Padahal
sesungguhnya kami dahulu biasa menduduki tempat-tempat (perhentian) di
langit untuk mendengar (percakapan penduduknya); maka sekarang sesiapa
yang cuba mendengar, akan mendapati api yang menyala yang menunggu merejamnya.
|
| 10. |
`Dan bahawa
sesungguhnya kami tidak mengetahui adakah (dengan adanya kawalan langit
yang demikian) hendak menimpakan bala bencana kepada penduduk bumi, atau
pun Tuhan mereka hendak melimpahkan kebaikan kepada mereka?
|
| 11. |
`Dan bahawa
sesungguhnya (memang maklum) ada di antara kita golongan yang baik keadaannya,
dan ada di antara kita yang lain dari itu; kita masing-masing adalah menurut
jalan dan cara yang berlainan.
|
| 12. |
`Dan bahawa
sesungguhnya kita (sekarang) mengetahui, bahawa kita tidak sekali-kali
akan dapat melepaskan diri dari balasan Allah (walau di mana sahaja kita
berada) di bumi, dan kita juga tidak sekali-kali akan dapat melarikan diri
dari balasanNya (walau ke langit sekalipun).
|
| 13. |
`Dan bahawa
sesungguhnya kami, ketika mendengar petunjuk (Al-Quran), kami beriman kepadanya
(dengan tidak bertangguh lagi); kerana sesiapa yang beriman kepada Tuhannya,
maka tidaklah ia akan merasa bimbang menanggung kerugian (mengenai amalnya
yang baik), dan juga tidak akan ditimpakan sebarang kesusahan.
|
| 14. |
`Dan bahawa
sesungguhnya (dengan datangnya Al-Quran, nyatalah) ada di antara kita golongan
yang berugama Islam, dan ada pula golongan yang (kufur derhaka dengan)
menyeleweng dari jalan yang benar; maka sesiapa yang menurut Islam (dengan
beriman dan taat), maka merekalah golongan yang bersungguh-sungguh mencari
dan menurut jalan yang benar,
|
| 15. |
` Adapun
orang-orang yang menyeleweng dari jalan yang benar, maka mereka menjadi
bahan bakaran bagi neraka Jahannam. '
|
| 16. |
(Nabi Muhammad
diwahyukan menerangkan lagi): "Dan bahawa sesungguhnya! Kalaulah mereka
(manusia dan jin) itu berjalan betul di atas jalan (Islam), sudah tentu
Kami (akan memberikan mereka sebab-sebab kemewahan, terutama) menurunkan
hujan lebat kepada mereka.
|
| 17. |
"(Pemberian
yang demikian) untuk Kami menguji (dan menzahirkan bawaan dan keadaan)
mereka dalam menikmati apa yang Kami berikan itu (adakah mereka bersyukur
dan tetap betul menurut Islam); dan (ingatlah), sesiapa yang berpaling
dari mengingati Tuhannya, (dengan berlaku ingkar - derhaka, maka) Tuhan
akan memasukkannya ke dalam azab yang memuncak beratnya.
|
| 18. |
"Dan bahawa
sesungguhnya masjid-masjid itu untuk (ibadat kepada) Allah semata-mata;
maka janganlah kamu seru dan sembah sesiapapun bersama-sama Allah.
|
| 19. |
"Dan bahawa
sesungguhnya, ketika hamba Allah (Nabi Muhammad) berdiri mengerjakan ibadat
kepadaNya, mereka hampir-hampir menindih satu sama lain mengerumuninya".
|
| 20. |
Katakanlah
(wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku hanyalah beribadat kepada Tuhanku semata-mata,
dan aku tidak mempersekutukanNya dengan sesiapapun".
|
| 21. |
Katakanlah
lagi; " Sesungguhnya aku tidak berkuasa mendatangkan sebarang mudarat dan
tidak juga berkuasa mendatangkan sebarang kebaikan bagi kamu.
|
| 22. |
Katakanlah
lagi; "Sesungguhnya aku, tidak sekali-kali akan dapat diberi perlindungan
oleh sesiapapun dari (azab) Allah (jika aku menderhaka kepadaNya), dan
aku tidak sekali-kali akan mendapat tempat perlindungan selain daripadaNya,
|
| 23. |
"(Aku diberi
kuasa) hanya menyampaikan (wahyu) dari Allah dan perintah-perintahNya (yang
ditugaskan kepadaku menyampaikannya); dan sesiapa yang menderhaka kepada
Allah dan ingkarkan bawaan RasulNya, maka sesungguhnya disediakan baginya
neraka Jahannam; kekalah mereka di dalamnya selama-lamanya.".
|
| 24. |
(Golongan
yang kufur ingkar itu tetap memandang engkau lemah dan kurang penyokong
wahai Muhammad), sehingga apabila mereka melihat (azab) yang dijanjikan
kepada mereka, maka (pada saat itu) mereka akan mengetahui siapakah orangnya
yang lemah penolong-penolongnya, dan sedikit jumlah bilangannya.
|
| 25. |
(Kalau
ditanya bilakah azab itu? Maka) katakanlah: "Aku tidak mengetahui sama
ada (azab) yang dijanjikan kepada kamu itu sudah dekat, atau Tuhanku menentukan
bagi kedatangannya satu tempoh yang lanjut.
|