|
| 1. |
Wahai Nabi!
Mengapa engkau haramkan (dengan bersumpah menyekat dirimu daripada menikmati)
apa yang dihalalkan oleh Allah bagimu, (kerana) engkau hendak mencari keredaan
isteri-isterimu? (Dalam pada itu, Allah ampunkan kesilapanmu itu) dan Allah
sememangnya Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
|
| 2. |
Sesungguhnya
Allah telah menetapkan bagi kamu (wahai Nabi dan umatmu, untuk) melepaskan
diri dari sumpah kamu (dengan membayar denda - kaffarah); dan Allah ialah
Pelindung yang mentadbirkan keadaan kamu, dan Ia Maha Mengetahui, lagi
Maha Bijaksana.
|
| 3. |
Dan (ingatlah),
ketika Nabi memberitahu suatu perkara secara rahsia kepada salah seorang
dari isteri-isterinya. Kemudian apabila isterinya itu menceritakan rahsia
yang tersebut (kepada seorang madunya), dan Allah menyatakan pembukaan
rahsia itu kepada Nabi, (maka Nabi pun menegur isterinya itu) lalu menerangkan
kepadanya sebahagian (dari rahsia yang telah dibukanya) dan tidak menerangkan
yang sebahagian lagi (supaya isterinya itu tidak banyak malunya). Setelah
Nabi menyatakan hal itu kepada isterinya, isterinya bertanya: "Siapakah
yang memberi tahu hal ini kepada tuan? " Nabi menjawab: "Aku diberitahu
oleh Allah Yang Maha Mengetahui, lagi Amat Mendalam PengetahuanNya (tentang
segala perkara yang nyata dan yang tersembunyi) ".
|
| 4. |
Jika kamu
berdua bertaubat kepada Allah (wahai isteri-isteri Nabi, maka itulah yang
sewajibnya), kerana sesungguhnya hati kamu berdua telah cenderung (kepada
perkara yang menyusahkan Nabi); dan jika kamu berdua saling membantu untuk
(melakukan sesuatu yang) menyusahkannya, (maka yang demikian itu tidak
akan berjaya) kerana sesungguhnya Allah adalah Pembelanya; dan selain dari
itu Jibril serta orang-orang yang soleh dari kalangan orang-orang yang
beriman dan malaikat-malaikat - juga menjadi penolongnya.
|
| 5. |
Boleh jadi,
jika Nabi menceraikan kamu, Tuhannya akan menggantikan baginya isteri-isteri
yang lebih baik daripada kamu, - yang menurut perintah, yang ikhlas imannya,
yang taat, yang bertaubat, yang tetap beribadat, yang berpuasa, - (meliputi)
yang janda dan yang anak dara.
|
| 6. |
Wahai orang-orang
yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang
bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan
dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak
menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka,
dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan. |
| 7. |
Malaikat
itu akan berkata kepada orang-orang yang dimasukkan ke dalam neraka): "Hai
orang-orang yang kufur ingkar! Janganlah kamu menyatakan uzur (dengan meminta
ampun) pada hari ini, (kerana masanya telah terlambat). Kamu hanyalah dibalas
dengan balasan apa yang kamu telah kerjakan".
|
| 8. |
Wahai orang-orang
yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan " Taubat Nasuha", mudah-mudahan
Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu
ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah
tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengannya;
cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan
di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata (ketika
orang-orang munafik meraba-raba dalam gelap-gelita): "Wahai Tuhan kami!
Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami, dan limpahkanlah keampunan kepada
kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu".
|
| 9. |
Wahai Nabi!
Berjihadlah (menentang) orang-orang kafir dan orang-orang munafik, serta
bertindak keras terhadap mereka. Dan (sebenarnya) tempat mereka ialah neraka
Jahannam, dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.
|
| 10. |
Allah mengemukakan
satu misal perbandingan (yang menyatakan tidak ada manfaatnya) bagi orang-orang
kafir (berhubung rapat dengan orang-orang mukmin selagi mereka tidak beriman
dengan sebenar-benarnya), iaitu: perihal isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi
Lut; mereka berdua berada di bawah jagaan dua orang hamba yang soleh dari
hamba-hamba Kami (yang sewajibnya mereka berdua taati); dalam pada itu
mereka berlaku khianat kepada suami masing-masing; maka kedua-dua suami
mereka (yang berpangkat Nabi itu) tidak dapat memberikan sebarang pertolongan
kepada mereka dari (azab) Allah, dan (sebaliknya) dikatakan kepada mereka
berdua (pada hari pembalasan): "Masuklah kamu berdua ke dalam neraka bersama-sama
orang-orang yang masuk (ke situ)".
|
| 11. |
Dan Allah
mengemukakan satu misal perbandingan (yang menyatakan tidak ada mudaratnya)
kepada orang-orang mukmin (berhubung rapat dengan orang-orang kafir kalau
tidak terjejas keadaan imannya), iaitu: perihal isteri Firaun, ketika ia
berkata: "Wahai Tuhanku! Binalah untukku sebuah rumah di sisiMu dalam Syurga,
dan selamatkanlah daku dari Firaun dan perbuatannya (yang kufur dan buas),
serta selamatkanlah daku dari kaum yang zalim";
|
| 12. |
Dan juga
(satu misal perbandingan lagi, iaitu): Maryam binti Imran (ibu Nabi Isa
seorang perempuan) yang telah memelihara kehormatan dan kesuciannya (dari
disentuh oleh lelaki; tetapi oleh sebab Kami telah takdirkan dia mendapat
anak) maka Kami perintahkan Jibril meniup masuk ke dalam kandungan tubuhnya
dari roh (ciptaan) Kami; dan (sekalipun Maryam itu hidup di antara kaum
kafir) ia mengakui kebenaran Kalimah-kalimah Tuhannya serta Kitab-kitabNya;
dan ia menjadi dari orang-orang yang tetap taat.
|