|
| 1. |
Wahai Nabi!
Apabila kamu - (engkau dan umatmu) - hendak menceraikan isteri-isteri (kamu),
maka ceraikanlah mereka pada masa mereka dapat memulakan idahnya, dan hitunglah
masa idah itu (dengan betul), serta bertaqwalah kepada Allah, Tuhan kamu.
Janganlah kamu mengeluarkan mereka dari rumah-rumah kediamannya (sehingga
selesai idahnya), dan janganlah pula (dibenarkan) mereka keluar (dari situ),
kecuali (jika) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan itulah aturan-aturan
hukum Allah (maka janganlah kamu melanggarnya); dan sesiapa yang melanggar
aturan-aturan hukum Allah maka sesungguhnya ia telah berlaku zalim kepada
dirinya. (Patuhilah hukum-hukum itu, kerana) engkau tidak mengetahui boleh
jadi Allah akan mengadakan, sesudah itu, sesuatu perkara (yang lain).
|
| 2. |
Kemudian,
apabila mereka (hampir) habis tempoh idahnya, maka bolehlah kamu pegang
mereka (rujuk) dengan cara yang baik, atau lepaskan mereka dengan cara
yang baik; dan adakanlah dua orang saksi yang adil di antara kamu (semasa
kamu merujukkan atau melepaskannya); dan hendaklah kamu (yang menjadi saksi)
menyempurnakan persaksian itu kerana Allah semata-mata. Dengan hukum-hukum
yang tersebut diberi peringatan dan pengajaran kepada sesiapa yang beriman
kepada Allah dan hari akhirat; dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan
mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan
mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya),
|
| 3. |
Serta memberinya
rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa
berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk
menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala
perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi
berlakunya tiap-tiap sesuatu.
|
| 4. |
Dan perempuan-perempuan
dari kalangan kamu yang putus asa dari kedatangan haid, jika kamu menaruh
syak (terhadap tempoh idah mereka) maka idahnya ialah tiga bulan; dan (demikian)
juga idah perempuan-perempuan yang tidak berhaid. Dan perempuan-perempuan
mengandung, tempoh idahnya ialah hingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya.
Dan (ingatlah), sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah memudahkan
baginya segala urusannya.
|
| 5. |
Peraturan-peraturan
yang demikian adalah hukum-hukum Allah yang diturunkan dan diterangkanNya
kepada kamu; dan (ingatlah), sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya
Allah menghapuskan kesalahan-kesalahannya, dan akan membesarkan pahala
balasannya.
|
| 6. |
Tempatkanlah
isteri-isteri (yang menjalani idahnya) itu di tempat kediaman kamu sesuai
dengan kemampuan kamu; dan janganlah kamu adakan sesuatu yang menyakiti
mereka (di tempat tinggal itu) dengan tujuan hendak menyusahkan kedudukan
mereka (supaya mereka keluar meninggalkan tempat itu). Dan jika mereka
berkeadaan sedang mengandung, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya sehingga
mereka melahirkan anak yang dikandungnya; kemudian jika mereka menyusukan
anak untuk kamu, maka berikanlah kepada mereka upahnya; dan berundinglah
di antara kamu (dalam hal menyusunya) dengan cara yang baik. Dan (sebaliknya)
jika kamu (dari kedua pihak) mengalami kesulitan, maka bolehlah perempuan
lain menyusukannya.
|
| 7. |
Hendaklah
orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang
di sempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang
diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang
melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang
yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan
sesudah berlakunya kesusahan.
|
| 8. |
Dan bukan
sedikit negeri-negeri yang penduduknya menderhaka terhadap perintah Tuhan
mereka dan Rasul-rasulNya, maka Kami hitung amal mereka satu persatu dengan
hitungan yang keras rapi, serta Kami seksakan mereka dengan azab yang tidak
pernah dikenal dahsyatnya.
|
| 9. |
Lalu mereka
merasai kesan yang buruk dari perbuatan derhakanya, dan menjadilah akibat
perbuatan mereka satu kerugian yang besar.
|
| 10. |
Allah menyediakan
bagi mereka azab seksa yang seberat-beratnya. Maka bertaqwalah kepada Allah
kepada wahai orang yang berakal sempurna dari kalangan orang yang beriman.
Sesungguhnya Allah telah menurunkan kepada kamu peringatan - |
| 11. |
(Dengan
mengutuskan) seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) yang membacakan kepada
kamu ayat-ayat Allah yang menerangkan kebenaran, supaya Allah mengeluarkan
orang-orang (yang sedia diketahuiNya akan) beriman dan beramal soleh -
dari gelap-gelita (kesesatan) kepada cahaya (hidayah petunjuk). Dan (ingatlah),
sesiapa yang beriman kepada Allah dan beramal soleh, akan dimasukkan oleh
Allah ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; kekalah
mereka di dalamnya selama-lamanya. Sesungguhnya Allah (dengan yang demikian)
telah mengurniakan kepadanya sebaik-baik pemberian.
|
| 12. |
Allah yang
menciptakan tujuh petala langit dan (Ia menciptakan) bumi seperti itu;
perintah Allah berlaku terus menerus di antara alam langit dan bumi. (Berlakunya
yang demikian) supaya kamu mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Maha Kuasa
atas tiap-tiap sesuatu, dan bahawa sesungguhnya Allah tetap meliputi ilmuNya
akan tiap-tiap sesuatu.
|