|
| 1. |
Segala
yang ada di langit dan yang ada di bumi sentiasa mengucap tasbih kepada
Allah; bagiNyalah kuasa pemerintahan, dan bagiNyalah segala pujian; dan
Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
|
| 2. |
Dia lah
yang mengaturkan kejadian kamu; maka ada sebahagian dari kamu yang kafir
dan ada sebahagian dari kamu yang beriman; dan Allah Maha Melihat akan
segala yang kamu kerjakan (serta membalas masing-masing).
|
| 3. |
Ia menciptakan
langit dan bumi dengan cara yang sungguh layak dan berhikmat, dan Ia menentukan
bentuk rupa kamu serta memperelokkan rupa kamu; dan kepadaNyalah tempat
kembali.
|
| 4. |
Ia mengetahui
segala yang ada di langit dan di bumi; dan Ia mengetahui segala yang kamu
rahsiakan serta yang kamu zahirkan; dan Allah sentiasa Mengetahui segala
(isi hati) yang terkandung di dalam dada;
|
| 5. |
Bukankah
telah sampai kepada kamu berita orang-orang kafir yang telah lalu? Lalu
mereka merasai kesan yang buruk dari perbuatan kufur mereka; dan mereka
(pada hari akhirat kelak) beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
|
| 6. |
(Balasan)
yang demikian itu, kerana sesungguhnya mereka pernah didatangi Rasul-rasul
(yang diutus kepada) mereka dengan membawa keterangan-keterangan yang jelas
nyata, maka mereka berkata:" Patutkah manusia (yang seperti kami - menjadi
Rasul untuk) memberi petunjuk kepada kami?" Lalu mereka kufur ingkar serta
berpaling (dari kebenaran); dan Allah pun menyatakan tidak berhajatNya
(kepada iman dan ketaatan mereka lalu membinasakan mereka); dan Allah sememangnya
Maha Kaya, lagi tetap Terpuji.
|
| 7. |
(Di antara
sebab-sebab kufur) orang-orang yang kafir (ialah kerana mereka) mengatakan
bahawa mereka tidak sekali-kali akan di bangkitkan (sesudah mati). Katakanlah:
"Bahkan, demi Tuhanku, kamu akan dibangkitkan, kemudian kamu akan diberitahu
tentang segala yang kamu telah kerjakan. Dan yang demikian itu adalah mudah
bagi Allah melaksanakannya.
|
| 8. |
Oleh itu,
berimanlah kamu kepada Allah dan kepada rasulNya serta kepada penerangan
cahaya Al-Quran - yang Kami turunkan. Dan (ingatlah), Allah Amat Mendalam
PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan.
|
| 9. |
(Ingatkanlah)
masa Allah menghimpunkan kamu pada hari perhimpunan (untuk menerima balasan),
- itulah hari masing-masing nampak kerugiannya. Dan (ingatlah), sesiapa
yang beriman kepada Allah serta mengerjakan amal soleh, nescaya Allah mengampunkan
dosa-dosanya dan memasukkannya ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya
beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; yang demikian
itulah kemenangan yang besar.
|
| 10. |
Dan orang-orang
yang kafir serta mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, merekalah ahli
neraka, kekalah mereka di dalamnya; dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.
|
| 11. |
Tidak ada
kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan
izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin
hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar);
dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
|
| 12. |
Dan taatlah
kamu kepada Allah serta taatlah kepada Rasulullah; maka kalau kamu berpaling
(enggan taat, kamulah yang akan menderita balasannya yang buruk), kerana
sesungguhnya kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan (perintah-perintah)
dengan jelas nyata.
|
| 13. |
Allah,
tiada Tuhan melainkan Dia; dan dengan yang demikian, kepada Allah jualah
orang-orang yang beriman wajib berserah diri.
|
| 14. |
Wahai orang-orang
yang beriman! Sesungguhnya ada di antara isteri-isteri kamu dan anak-anak
kamu yang menjadi musuh bagi kamu; oleh itu awaslah serta berjaga-jagalah
kamu terhadap mereka. Dan kalau kamu memaafkan dan tidak marahkan (mereka)
serta mengampunkan kesalahan mereka (maka Allah akan berbuat demikian kepada
kamu), kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
|
| 15. |
Sesungguhnya
harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan di
sisi Allah jualah pahala yang besar.
|
| 16. |
Oleh itu
bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu; dan dengarlah (akan pengajaran-pengajaranNya)
serta taatlah (akan perintah-perintahNya); dan belanjakanlah harta kamu
(serta buatlah) kebajikan untuk diri kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang
menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya,
maka merekalah orang-orang yang berjaya.
|
| 17. |
Dan kalau
kamu memberi pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas),
nescaya Allah akan melipat gandakan balasanNya kepada kamu serta mengampunkan
dosa-dosa kamu; dan Allah amat memberi penghargaan dan balasan kepada golongan
yang berbuat baik, lagi Maha Penyabar (untuk memberi peluang kepada golongan
yang bersalah supaya bertaubat).
|
| 18. |
Dia lah
yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, (dan Dia lah jua) yang
Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
|