|
| 1. |
Apabila
orang-orang munafik datang kepadamu (wahai Muhammad), mereka berkata: "Kami
mengakui bahawa sesungguhnya engkau - sebenar-benarnya Rasul Allah". Dan
Allah sememangnya mengetahui bahawa engkau ialah RasulNya, serta Allah
menyaksikan bahawa sesungguhnya pengakuan mereka adalah dusta.
|
| 2. |
Mereka
menjadikan sumpahnya (atau akuannya) sebagai perisai (untuk menyelamatkan
dirinya dan harta bendanya daripada dibunuh atau dirampas), lalu mereka
menghalang (dirinya dan orang lain) dari menurut jalan Allah. Sesungguhnya
amatlah buruk apa yang mereka telah kerjakan.
|
| 3. |
(Perbuatan
buruk) yang demikian kerana mereka mengaku beriman (di hadapan orang-orang
Islam) kemudian mereka tetap kafir sesama sendiri, maka dengan sebab itu
dimeteraikan atas hati mereka; lalu mereka tidak dapat memahami (yang mana
benar dan yang mana salah).
|
| 4. |
Dan apabila
engkau melihat mereka, engkau tertarik hati kepada tubuh badan mereka (dan
kelalukannya); dan apabila mereka berkata-kata, engkaujuga (tertarik hati)
mendengar tutur katanya (kerana manis dan fasih. Dalam pada itu) mereka
adalah seperti batang-batang kayu yang tersandar (tidak terpakai kerana
tidak ada padanya kekuatan yang dikehendaki). Mereka (kerana merasai bersalah,
sentiasa dalam keadaan cemas sehingga) menyangka tiap-tiap jeritan (atau
riuh rendah yang mereka dengar) adalah untuk membahayakan mereka. Mereka
itulah musuh yang sebenar-benarnya maka berjaga-jagalah engkau terhadap
mereka. Semoga Allah membinasa dan menyingkirkan mereka dari rahmatNya.
(Pelik sungguh!) Bagaimana mereka dipalingkan (oleh hawa nafsunya - dari
kebenaran)?
|
| 5. |
Dan apabila
dikatakan kepada mereka: " Marilah (bertaubat) supaya Rasulullah meminta
ampun (kepada Allah) untuk kamu", mereka (enggan sambil) menggeleng-gelengkan
kepalanya; dan engkau melihat mereka berpaling (dari bertaubat) serta mereka
berlaku sombong angkuh.
|
| 6. |
(Tidak
ada faedahnya) kepada mereka, sama ada engkau meminta ampun untuk mereka
atau engkau tidak meminta ampun, Allah tidak sekali-kali akan mengampunkan
mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang
fasik.
|
| 7. |
Merekalah
yang mengatakan (kepada orang-orang Islam di Madinah yang menolong Rasulullah
dan orang-orang Muhajirin): "Janganlah kamu membelanjakan harta kamu kepada
orang-orang yang ada bersama-sama Rasulullah supaya mereka bersurai (meninggalkannya)".
Padahal bagi Allah jualah perbendaharaan langit dan bumi, (tiada sesiapapun
yang dapat memberi atau menyekat sebarang pemberian melainkan dengan kehendakNya);
akan tetapi orang-orang yang munafik itu tidak memahami (hakikat yang sebenarnya).
|
| 8. |
Mereka berkata
lagi: " Demi sesungguhnya! Jika kita kembali ke Madinah (dari medan perang),
sudah tentu orang-orang yang mulia lagi kuat (pihak kita) akan mengusir
keluar dari Madinah orang-orang yang hina lagi lemah (pihak Islam)". Padahal
bagi Allah jualah kemuliaan dan kekuatan itu dan bagi RasulNya serta bagi
orang-orang yang beriman; akan tetapi golongan yang munafik itu tidak mengetahui
(hakikat yang sebenarnya). |
| 9. |
Wahai orang-orang
yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu
dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintahNya).
Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang
yang rugi.
|
| 10. |
Dan belanjakanlah
(dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum
seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada
saat itu) akan merayu dengan katanya: " Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya
kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku - ke suatu masa yang sedikit
sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari
orang-orang yang soleh ".
|
| 11. |
Dan (ingatlah),
Allah tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu
yang bernyawa) apabila sampai ajalnya; dan Allah Amat Mendalam PengetahuanNya
mengenai segala yang kamu kerjakan.
|