|
| 1. |
Segala
yang ada di langit dan yang ada di bumi sentiasa mengucap tasbih kepada
Allah Yang Menguasai (sekalian alam), Yang Maha Suci, Yang Maha Kuasa,
lagi Maha Bijaksana.
|
| 2. |
Dia lah
yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin,
seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan
kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya),
dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka
Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum
syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu
adalah dalam kesesatan yang nyata.
|
| 3. |
Dan juga
(telah mengutuskan Nabi Muhammad kepada) orang-orang yang lain dari mereka,
yang masih belum (datang lagi dan tetap akan datang) menghubungi mereka;
dan (ingatlah), Allah jualah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
|
| 4. |
(Pengutusan
Nabi Muhammad s.a.w, kepada umat manusia seluruhnya) itu (yang menjadi
rahmat) adalah limpah kurnia Allah, diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya;
dan sememangnya Allah mempunyai limpah kurnia yang besar.
|
| 5. |
(Sifat-sifat
Nabi Muhammad itu telahpun diterangkan dalam Kitab Taurat tetapi orang-orang
Yahudi tidak juga mempercayainya, maka) bandingan orang-orang (Yahudi)
yang ditanggungjawab dan ditugaskan (mengetahui dan melaksanakan hukum)
Kitab Taurat, kemudian mereka tidak menyempurnakan tanggungjawab dan tugas
itu, samalah seperti keldai yang memikul bendela Kitab-kitab besar (sedang
ia tidak mengetahui kandungannya). Buruk sungguh bandingan kaum yang mendustakan
ayat-ayat keterangan Allah; dan (ingatlah), Allah tidak memberi hidayah
petunjuk kepada kaum yang zalim.
|
| 6. |
Katakanlah
(wahai Muhammad): "Wahai orang-orang yang berugama Yahudi, kalau kamu anggap
bahawa kamulah sahaja orang-orang yang dikasihi Allah tidak termasuk umat-umat
manusia yang lain, maka bercita-citalah hendakkan mati (dengan meminta
kepada Allah supaya kamu dimatikan sekarang juga), jika betul kamu orang-orang
yang benar!"
|
| 7. |
Dan (sudah
tentu) mereka tidak akan bercita-cita hendakkan mati itu selama-lamanya,
dengan sebab dosa-dosa yang mereka telah lakukan; dan Allah sentiasa mengetahui
akan orang-orang yang zalim itu.
|
| 8. |
Katakanlah
(wahai Muhammad): "Sebenarnya maut yang kamu melarikan diri daripadanya
itu, tetaplah ia akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada
Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Ia memberitahu
kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya)".
|
| 9. |
Wahai orang-orang
yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang
pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati
Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli
(pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui
(hakikat yang sebenarnya),
|
| 10. |
Kemudian
setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk
menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari
limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala
keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).
|
| 11. |
Dan apabila
mereka mengetahui kedatangan barang-barang dagangan (yang baharu tiba)
atau (mendengar) sesuatu hiburan, mereka bersurai (lalu pergi) kepadanya
dengan meninggalkan engkau berdiri (di atas mimbar - berkhutbah). Katakanlah
(wahai Muhammad:" Pahala - balasan) yang ada di sisi Allah, lebih baik
dari hiburan dan barang-barang dagangan itu; dan Allah sebaik-baik pemberi
rezeki.
|