|
| 1. |
Segala
yang ada di langit dan yang ada di bumi, tetap mengucap tasbih kepada Allah;
dan Dia lah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
|
| 2. |
Wahai orang-orang
yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya!
|
| 3. |
Amat besar
kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak
melakukannya.
|
| 4. |
Sesungguhnya
Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela ugamaNya, dalam
barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun
kukuh.
|
| 5. |
Dan (ingatlah
peristiwa) ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: " Wahai kaumku! Mengapa
kamu menyakiti daku, sedang kamu mengetahui bahawa sesungguhnya aku ini
Pesuruh Allah kepada kamu?" Maka ketika mereka menyeleweng (dari kebenaran
yang mereka sedia mengetahuinya), Allah selewengkan hati mereka (dari mendapat
hidayah petunjuk); dan sememangnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk
kepada kaum yang fasik - derhaka.
|
| 6. |
Dan (ingatlah
juga peristiwa) ketika Nabi Isa ibni Maryam berkata: "Wahai Bani Israil,
sesungguhnya aku ini Pesuruh Allah kepada kamu, mengesahkan kebenaran Kitab
yang diturunkan sebelumku, iaitu Kitab Taurat, dan memberikan berita gembira
dengan kedatangan seorang Rasul yang akan datang kemudian daripadaku -
bernama: Ahmad". Maka ketika ia datang kepada mereka membawa keterangan-keterangan
yang jelas nyata, mereka berkata: "Ini ialah sihir yang jelas nyata!"
|
| 7. |
Dan tidak
ada yang lebih zalim daripada orang yang mengada-adakan perkara dusta terhadap
Allah, sedang ia diajak kepada memeluk Islam; dan (ingatlah), Allah tidak
memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang zalim.
|
| 8. |
Mereka
sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) dengan mulut
mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang
kafir tidak suka (akan yang demikian).
|
| 9. |
Dia lah
yang telah mengutus RasulNya (Muhammad s.a.w) dengan membawa hidayah petunjuk
dan ugama yang benar (ugama Islam), supaya Ia memenangkannya dan meninggikannya
atas segala ugama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya.
|
| 10. |
Wahai orang-orang
yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan
kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?
|
| 11. |
Iaitu, kamu
beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan
ugama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang
lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). |
| 12. |
(Dengan
itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam
taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan
kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga " Adn ". Itulah kemenangan
yang besar.
|
| 13. |
Dan ada
lagi limpah kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan
yang cepat (masa berlakunya). Dan sampaikanlah berita yang mengembirakan
itu kepada orang-orang yang beriman.
|
| 14. |
Wahai orang-orang
yang beriman! Jadikanlah diri kamu pembela-pembela (ugama) Allah sebagaimana
(keadaan penyokong-penyokong) Nabi Isa ibni Maryam (ketika ia) berkata
kepada penyokong-penyokongnya itu: "Siapakah penolong-penolongku (dalam
perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan ugamaNya)?" Mereka menjawab:
"Kamilah pembela-pembela (ugama) Allah!" (Setelah Nabi Isa tidak berada
di antara mereka) maka sepuak dari kaum Bani Israil beriman, dan sepuak
lagi (tetap) kafir. Lalu Kami berikan pertolongan kepada orang-orang yang
beriman untuk mengalahkan musuhnya, maka menjadilah mereka orang-orang
yang menang.
|