|
| 1. |
Wahai orang-orang
yang beriman! Janganlah kamu mengambil musuhKu dan musuh kamu menjadi teman
rapat, dengan cara kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita rahsia orang-orang
mukmin) dengan sebab hubungan baik dan kasih mesra yang ada di antara kamu
dengan mereka, sedang mereka telah kufur ingkar terhadap kebenaran (Islam)
yang sampai kepada kamu; mereka pula telah mengeluarkan Rasulullah (s.a.w)
dan juga mengeluarkan kamu (dari Tanah Suci Makkah) disebabkan kamu beriman
kepada Allah Tuhan kamu. (Janganlah kamu berbuat demikian) jika betul kamu
keluar untuk berjihad pada jalanKu dan untuk mencari keredaanKu. (Tidak
ada sebarang faedahnya) kamu mengadakan hubungan kasih mesra dengan mereka
secara rahsia, sedang Aku amat mengetahui akan apa yang kamu rahsiakan
dan apa yang kamu zahirkan. Dan (ingatlah), sesiapa di antara kamu yang
melakukan perkara yang demikian, maka sesungguhnya telah sesatlah ia dari
jalan yang betul.
|
| 2. |
Jika mereka
dapat menguasai kamu, nescaya mereka menjadi musuh yang membahayakan kamu,
dan mereka akan membebaskan tangan mereka dan lidah mereka terhadap kamu
dengan kejahatan, serta mereka suka kalaulah kamu juga menjadi kafir (seperti
mereka).
|
| 3. |
Kaum kerabat
kamu dan anak-anak kamu (yang tidak menurut kamu beriman) tidak sekali-kali
akan mendatangkan sebarang faedah kepada kamu pada hari kiamat; Allah akan
memisahkan di antara kamu semua (pada hari itu). Dan (ingatlah), Allah
Maha Melihat segala yang kamu kerjakan.
|
| 4. |
Sesungguhnya
adalah bagi kamu pada bawaan Nabi Ibrahim (a.s) dan pengikut-pengikutnya
- contoh ikutan yang baik, semasa mereka berkata kepada kaumnya (yang kufur
ingkar): "Sesungguhnya kami berlepas diri daripada kamu dan daripada apa
yang kamu sembah yang lain dari Allah; kami kufur ingkarkan (segala penyembahan)
kamu dan (dengan ini) nyatalah perasaan permusuhan dan kebencian di antara
kami dengan kamu selama-lamanya, sehingga kamu menyembah Allah semata-mata",
tetapi janganlah dicontohi perkataan Nabi Ibrahim kepada bapanya (katanya):
"Aku akan memohon kepada Tuhanku mengampun dosamu, dan aku tidak berkuasa
menahan (azab seksa) dari Allah sedikit juapun daripada menimpamu". (Berdoalah
wahai orang-orang yang beriman sebagaimana Nabi Ibrahim dan pengikut-pengikutnya
berdoa ketika mereka memusuhi kaumnya yang kafir, dengan berkata): "Wahai
Tuhan kami! Kepada Engkaulah sahaja kami berserah diri, dan kepada Engkaulah
kami rujuk bertaubat, serta kepada Engkaulah jua tempat kembali!
|
| 5. |
"Wahai
Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan pendirian dan keyakinan kami terpesong
kerana penindasan orang-orang kafir, dan ampunkanlah dosa kami wahai Tuhan
kami; sesungguhnya Engkaulah sahaja Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana".
|
| 6. |
Demi sesungguhnya!
Adalah bagi kamu pada bawaan Nabi Ibrahim dan pengikut-pengikutnya itu
contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredaan
Allah dan (balasan baik) hari akhirat. Dan sesiapa yang berpaling daripada
mencontohi mereka, (maka padahnya akan menimpa dirinya sendiri), kerana
sesungguhnya Allah Dia lah Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.
|
| 7. |
Semoga
Allah akan mengadakan perasaan kasih sayang antara kamu dengan orang-orang
yang kamu musuhi dari kerabat kamu itu (dengan jalan menjadikan mereka
insaf dan memeluk Islam). Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa (atas tiap-tiap
sesuatu), dan Allah Maha pengampun, lagi Maha Mengasihani.
|
| 8. |
Allah tidak
melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang
yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu
dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang
berlaku adil.
|
| 9. |
Sesungguhnya
Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang
yang memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung
halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah),
sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang
yang zalim.
|
| 10. |

Wahai orang-orang
yang beriman! Apabila orang-orang perempuan yang mengaku beriman datang
berhijrah kepada kamu, maka ujilah (iman) mereka: Allah lebih mengetahui
akan iman mereka: dengan yang demikian, sekiranya kamu mengetahui bahawa
mereka beriman, maka janganlah kamu mengembalikan mereka kepada orang-orang
yang kafir. Mereka tidak halal bagi orang-orang kafir itu (sebagai isteri),
dan orang-orang kafir itu pula tidak halal bagi mereka (sebagai suami).
Dan berilah kepada suami-suami (yang kafir) itu apa yang mereka telah belanjakan.
Dan tidaklah menjadi salah kamu berkahwin dengan mereka (perempuan-perempuan
yang berhijrah itu) apabila kamu memberi kepada mereka maskahwinnya. Dan
janganlah kamu (wahai orang-orang Islam) tetap berpegang kepada akad perkahwinan
kamu dengan perempuan-perempuan yang (kekal dalam keadaan) kafir, dan mintalah
balik maskahwin yang kamu telah berikan, dan biarkanlah mereka (suami-suami
yang kafir itu) meminta balik apa yang mereka telah belanjakan. Demikianlah
hukum Allah; Ia hukumkan di antara kamu (dengan adil). Dan (ingatlah),
Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
|
| 11. |
Dan sekiranya
kamu tidak dapat menerima balik sesuatu dari maskahwin isteri-isteri kamu
(yang menjadi murtad serta) melarikan diri ke pihak orang-orang kafir,
kemudian kamu menyerang puak yang kafir itu serta mendapat harta rampasan
maka berikanlah kepada orang-orang (Islam) yang lari isterinya itu ganti
maskahwinnya sebanyak yang mereka telah bayar. Dan bertaqwalah kamu kepada
Allah yang kamu beriman kepadaNya.
|
| 12. |
Wahai Nabi!
Apabila orang-orang perempuan yang beriman datang kepadamu untuk memberi
pengakuan taat setia, bahawa mereka tidak akan melakukan syirik kepada
Allah dengan sesuatu pun, dan mereka tidak akan mencuri, dan mereka tidak
akan berzina, dan mereka tidak akan membunuh anak-anaknya, dan mereka tidak
akan melakukan sesuatu perkara dusta yang mereka ada-adakan dari kemahuan
hati mereka, dan mereka tidak akan menderhaka kepadamu dalam sesuatu perkara
yang baik, - maka terimalah pengakuan taat setia mereka dan pohonkanlah
kepada Allah mengampuni dosa mereka; sesungguhnya Allah Maha Pengampun,
lagi Maha Mengasihani.
|
| 13. |
Wahai orang-orang
yang beriman! Janganlah kamu jadikan teman rapat mana-mana kaum yang dimurkai
Allah, mereka telah berputus asa daripada mendapat kebaikan akhirat, sebagaimana
berputus asanya orang-orang kafir yang ada di dalam kubur.
|