|
| 1. |
Segala
yang ada di langit dan di bumi tetap mengucap tasbih kepada Allah; dan
Dia lah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
|
| 2. |
Dia lah
yang telah mengeluarkan orang-orang kafir di antara Ahli Kitab - dari kampung
halaman mereka pada julung-julung kali mereka berhimpun hendak memerangi
Rasulullah. Kamu (wahai umat Islam) tidak menyangka bahawa mereka akan
keluar (disebabkan bilangannya yang ramai dan pertahanannya yang kuat),
dan mereka pula menyangka bahawa benteng-benteng mereka akan dapat menahan
serta memberi perlindungan kepada mereka (dari azab) Allah. Maka Allah
menimpakan (azabNya) kepada mereka dari arah yang tidak terlintas dalam
fikiran mereka, serta dilemparkanNya perasaan cemas takut ke dalam hati
mereka, (lalu) mereka membinasakan rumah-rumah mereka dengan tangan mereka
sendiri (dari dalam) sambil tangan orang-orang yang beriman (yang mengepung
mereka berbuat demikian dari luar). Maka insaflah dan ambilah pelajaran
(dari peristiwa itu) wahai orang-orang yang berakal fikiran serta celik
mata hatinya.
|
| 3. |
Dan kalaulah
tidak kerana Allah telah menetapkan pengusiran (yang demikian buruknya)
terhadap mereka, tentulah Ia akan menyeksa mereka di dunia; dan mereka
pula akan beroleh azab seksa neraka pada hari akhirat kelak.
|
| 4. |
(Mereka
ditimpakan azab) yang demikian, kerana mereka mereka menentang (perintah)
Allah dan RasulNya. Dan (ingatlah), sesiapa yang menentang (perintah) Allah,
maka sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya.
|
| 5. |
Mana-mana
jua pohon kurma (kepunyaan musuh) yang kamu tebang atau kamu biarkan tegak
berdiri seperti keadaannya yang asal, maka yang demikian adalah dengan
izin Allah (kerana Ia hendak memberi kemenangan kepada orang-orang mukmin),
dan kerana Ia hendak menimpakan kehinaan kepada orang-orang yang fasik.
|
| 6. |
Dan apajua
yang Allah kurniakan kepada RasulNya dari peninggalan harta benda mereka
(yang telah diusir itu, maka kamu tidak berhak mendapatnya), kerana kamu
tidak memecut seekor kuda pun dan tidak menunggang seekor unta pun (untuk
berperang mengalahkan mereka); tetapi Allah memberikan kekuasaan kepada
Rasul-rasulNya mengalahkan sesiapa yang dikehendakiNya (dengan tidak payah
berperang); dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
|
| 7. |
Apa yang
Allah kurniakan kepada RasulNya (Muhammad) dari harta penduduk negeri,
bandar atau desa dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah,
dan bagi Rasulullah, dan bagi kaum kerabat (Rasulullah), dan anak-anak
yatim, dan orang-orang miskin, serta orang-orang musafir (yang keputusan).
(Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara
orang-orang kaya dari kalangan kamu. Dan apa jua perintah yang dibawa oleh
Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua
yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan bertaqwalah
kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi
orang-orang yang melanggar perintahNya).
|
| 8. |
(Pemberian
itu hendaklah diuntukkan) kepada orang-orang fakir yang berhijrah, yang
telah diusir keluar dari kampung halamannya dan harta bendanya (kerana
berpegang teguh kepada ajaran Islam), untuk mencari limpah kurnia dari
Allah dan keredaanNya, serta menolong (ugama) Allah dan RasulNya; mereka
itulah orang-orang yang benar (imannya dan amalnya).
|
| 9. |
Dan orang-orang
(Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi
orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati
mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang
berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah
itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan
kekurangan dan amat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta
memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah
orang-orang yang berjaya.
|
| 10. |
Dan orang-orang
(Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: "Wahai
Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului
kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad
dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami!
Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu".
|
| 11. |
Tidakkah
engkau melihat dan merasa hairan (wahai Muhammad) terhadap sikap orang-orang
munafik itu? Mereka tergamak berkata kepada saudara-saudara mereka yang
kafir dari kalangan (kaum Yahudi) ahli Kitab: "Sesungguhnya, kalau kamu
dihalau keluar sudah tentu kami akan keluar bersama-sama kamu, dan kami
tidak akan tunduk taat kepada sesiapapun untuk menentang kamu selama-lamanya;
dan kalau kamu diperangi, sudah tentu kami akan membela kamu!" Padahal
Allah mengetahui dan menyaksikan bahawa sebenarnya mereka adalah pendusta.
|
| 12. |
Demi sesungguhnya!
Jika orang-orang (Yahudi) itu dihalau keluar (dari Madinah), mereka (yang
munafik) ini tidak akan keluar bersama-samanya; dan demi sesungguhnya,
jika orang-orang (Yahudi) itu diperangi, mereka (yang munafik) ini tidak
akan membelanya; dan demi sesungguhnya, jika ditakdirkan mereka membelanya
sekalipun, sudah tentu mereka (semuanya - Yahudi dan munafik) akan melarikan
diri; kemudian mereka tidak akan mendapat pertolongan, -
|
| 13. |
(Kerana)
sesungguhnya kamu - dalam hati mereka, - sangat ditakuti lebih dari Allah;
yang demikian itu, kerana mereka ialah kaum yang tidak memgerti (akan kekuasaan
Allah dan kebesaranNya).
|
| 14. |
(Orang-orang
Yahudi dan orang-orang munafik) dengan keadaan bersatu padu sekalipun,
tidak berani memerangi kamu melainkan di kampung-kampung yang berbenteng
kukuh, atau dari sebalik tembok. (Sebabnya): permusuhan di antara mereka
sesama sendiri amatlah keras; engkau menyangka mereka bersatu padu, sedang
hati mereka berpecah belah (disebabkan berlainan kepercayaan mereka). Yang
demikian itu, kerana mereka adalah kaum yang tidak memahami (perkara yang
sebenarnya yang memberi kebaikan kepada mereka).
|
| 15. |
(Keadaan
kaum Yahudi itu) samalah seperti orang-orang (dari suku Yahudi) yang terdahulu
sedikit dari mereka, yang telah merasai akibat yang buruk (di dunia) dengan
sebab bawaan kufur mereka; dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang
tidak terperi sakitnya (pada hari akhirat kelak).
|
| 16. |
(Sikap
kaum munafik dengan kaum Yahudi) itu samalah seperti (sikap) Syaitan ketika
ia berkata kepada manusia: "Berlaku kufurlah engkau!" Setelah orang itu
berlaku kufur (dan tetap terkena azab), berkatalah Syaitan kepadanya: "Sesungguhnya
aku adalah berlepas diri daripadamu, kerana sebenarnya aku takut kepada
Allah, Tuhan yang menguasai seluruh alam!"
|
| 17. |
Maka kesudahan
keduanya, bahawa mereka ditempatkan di dalam neraka, kekal mereka di dalamnya.
Dan yang demikian itulah balasan makhluk-makhluk yang zalim.
|
| 18. |
Wahai orang-orang
yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan
meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan
apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat).
Dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah
Amat Meliputi PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan.
|
| 19. |
Dan janganlah
kamu menjadi seperti orang-orang yang telah melupakan (perintah-perintah)
Allah, lalu Allah menjadikan mereka melupakan (amal-amal yang baik untuk
menyelamatkan) diri mereka. Mereka itulah orang-orang yang fasik - derhaka.
|
| 20. |
Tidaklah
sama ahli neraka dan ahli Syurga; ahli Syurgalah orang-orang yang beroleh
kemenangan (mendapat segala yang diingini).
|
| 21. |
Sekiranya
Kami turunkan Al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau melihat
gunung itu khusyuk serta pecah belah kerana takut kepada Allah. Dan (ingatlah),
misal-misal perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya
mereka memikirkannya.
|
| 22. |
Dia lah
Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan Dia; Yang Mengetahui perkara yang
ghaib dan yang nyata; Dia lah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
|
| 23. |
Dia lah
Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan Dia; Yang Menguasai (sekalian alam);
Yang Maha Suci; Yang Maha Selamat Sejahtera (dari segala kekurangan); Yang
Maha Melimpahkan Keamanan; Yang Maha Pengawal serta Pengawas; Yang Maha
Kuasa; Yang Maha Kuat (menundukkan segala-galanya); Yang Melengkapi segala
KebesaranNya. Maha Suci Allah dari segala yang mereka sekutukan denganNya.
|
| 24. |
Dia lah
Allah, Yang Menciptakan sekalian makhluk; Yang Mengadakan (dari tiada kepada
ada); Yang Membentuk rupa (makhluk-makhlukNya menurut yang dikehendakiNya);
bagiNyalah nama-nama yang sebaik-baiknya dan semulia-mulianya; bertasbih
kepadaNya segala yang ada di langit dan di bumi; dan Dia lah Yang tiada
bandingNya, lagi Maha Bijaksana.
|