|
| 1. |
Sesungguhnya
Allah telah mendengar (dan memperkenan) aduan perempuan yang bersoal jawab
denganmu (wahai Muhammad) mengenai suaminya, sambil ia berdoa merayu kepada
Allah (mengenai perkara yang menyusahkannya), sedang Allah sedia mendengar
perbincangan kamu berdua. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha
Melihat.
|
| 2. |
Orang-orang
yang "ziharkan" isterinya dari kalangan kamu (adalah orang-orang yang bersalah,
kerana) isteri-isteri mereka bukanlah ibu-ibu mereka. Ibu-ibu mereka tidak
lain hanyalah perempuan-perempuan yang melahirkan mereka. Dan sesungguhnya
mereka (dengan melakukan yang demikian) memperkatakan suatu perkara yang
mungkar dan dusta. Dan (ingatlah), sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi
Maha Pengampun.
|
| 3. |
Dan orang-orang
yang "ziharkan" isterinya, kemudian mereka berbalik dari apa yang mereka
ucapkan (bahawa isterinya itu haram kepadanya), maka hendaklah (suami itu)
memerdekakan seorang hamba sebelum mereka berdua (suami isteri) bercampur.
Dengan hukum yang demikian, kamu diberi pengajaran (supaya jangan mendekati
perkara yang mungkar itu). Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya
akan apa yang kamu lakukan.
|
| 4. |
Kemudian,
sesiapa yang tidak dapat (memerdekakan hamba), maka hendaklah ia berpuasa
dua bulan berturut-turut sebelum mereka (suami isteri) itu bercampur. Akhirnya
sesiapa yang tidak sanggup berpuasa, maka hendaklah ia memberi makan enam
puluh orang miskin. Ditetapkan hukum itu untuk membuktikan iman kamu kepada
Allah dan RasulNya (dengan mematuhi perintahNya serta menjauhi adat Jahiliyah).
Dan itulah batas-batas hukum Allah; dan bagi orang-orang yang kafir disediakan
azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
|
| 5. |
Sesungguhnya
orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan RasulNya, mereka tetap
ditimpa kehinaan sebagaimana orang-orang yang terdahulu dari mereka ditimpa
kehinaan; kerana sesungguhnya Kami telah menurunkan keterangan-keterangan
yang jelas nyata. Dan bagi orang-orang yang kafir disediakan azab seksa
yang menghina,
|
| 6. |
Semasa
mereka semuanya dibangkitkan hidup semula oleh Allah (pada hari kiamat),
lalu diterangkan kepada mereka segala yang mereka telah kerjakan. Allah
telah menghitung amal-amal mereka itu satu persatu, sedang mereka telah
melupakannya. Dan (ingatlah), Allah menjadi Saksi akan tiap-tiap sesuatu.
|
| 7. |
Tidakkah
engkau memikirkan, bahawa sesungguhnya Allah mengetahui segala yang ada
di langit dan yang ada di bumi? Tiada berlaku bisikan antara tiga orang
melainkan Dia lah yang keempatnya, dan tiada (berlaku antara) lima orang
melainkan Dia lah yang keenamnya, dan tiada yang kurang dari bilangan itu
dan tiada yang lebih ramai, melainkan Ia ada bersama-sama mereka di mana
sahaja mereka berada. Kemudian Ia akan memberi tahu kepada mereka - pada
hari kiamat - apa yang mereka telah kerjakan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui
akan tiap-tiap sesuatu.
|
| 8. |
Tidakkah
engkau memerhatikan (wahai Muhammad) akan orang-orang (Yahudi) yang telah
dilarang daripada perbuatan berbisik-bisik, kemudian mereka berbalik melakukan
perbuatan yang telah dilarang itu serta mereka berbisik-bisik berkenaan
dengan melakukan dosa dan pencerobohan serta kederhakaan kepada Rasulullah?
Dan lagi apabila mereka datang kepadamu, mereka memberi salam hormat bukan
dengan lafaz salam hormat yang diberikan Allah kepadamu; dan mereka berkata
sesama sendiri: "(Kalau benar Muhammad utusan Tuhan, maka) sepatutnya kami
diseksa oleh Allah disebabkan (kata-kata buruk) yang kami ucapkan itu?"
Cukuplah untuk mereka neraka Jahannam, yang mereka akan dibakar di dalamnya;
maka itulah seburuk-buruk tempat kembali.
|
| 9. |
Wahai orang-orang
yang beriman! Apabila kamu berbisik-bisik sesama sendiri, maka janganlah
kamu berbisik-bisik untuk melakukan dosa dan pencerobohan serta perbuatan
derhaka kepada Rasulullah; dan (sebaliknya) berbisiklah untuk berbuat kebajikan
dan bertaqwa. Dan hendaklah kamu tetap bertaqwa kepada Allah yang kepadaNya
kamu semua akan dihimpunkan (pada hari kiamat untuk dihitung amal kamu
dan menerima balasan).
|
| 10. |
Sesungguhnya
perbuatan berbisik (dengan kejahatan) itu adalah dari (hasutan) Syaitan,
untuk menjadikan orang-orang yang beriman berdukacita; sedang bisikan itu
tidak akan dapat membahayakan mereka sedikitpun melainkan dengan izin Allah;
dan kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman berserah diri.
|
| 11. |
Wahai orang-orang
yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk
kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah
melapangkan (segala halnya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun
maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman
di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan ugama (dari
kalangan kamu) - beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya
tentang apa yang kamu lakukan.
|
| 12. |
Wahai orang-orang
yang beriman! Apabila kamu hendak mengadap dan bertanyakan sesuatu kepada
Rasulullah, maka hendaklah kamu bersedekah (kepada fakir miskin) sebelum
kamu mengadapnya; (pemberian sedekah) itu adalah lebih baik bagi kamu dan
lebih bersih. Dalam pada itu, kalau kamu tidak ada benda yang hendak disedekahkan,
(kamu dibenarkan juga mengadapnya mengenai perkara yang tak dapat dielak),
kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
|
| 13. |
Adakah
kamu takut (akan kemiskinan) kerana kerap kali kamu memberi sedekah sebelum
kamu mengadap? Kalau kamu tidak melakukan (perintah) itu, dan Allah pun
memaafkan kamu (kerana kamu tidak mampu), maka dirikanlah sembahyang dan
berikanlah zakat (sebagaimana yang sewajibnya), serta taatlah kamu kepada
Allah dan RasulNya. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya
akan segala amalan yang kamu lakukan.
|
| 14. |
Tidakkah
engkau melihat (bagaimana jahatnya) orang-orang yang bersahabat karib dengan
kaum yang telah dimurkai Allah (dengan sebab kekufuran dan khianatnya)?
Mereka itu bukanlah dari golongan kamu dan bukan pula dari golongan kaum
yang tersebut itu (kerana mereka ialah golongan munafik); dan lagi mereka
selalu bersumpah dengan dusta, sedang mereka mengetahui (bahawa mereka
adalah berdusta).
|
| 15. |
Allah telah
menyediakan bagi mereka azab seksa yang berat; sesungguhnya amatlah buruk
apa yang mereka telah lakukan.
|
| 16. |
Mereka
menjadikan sumpahnya sebagai perisai (untuk menyelamatkan diri dan harta
bendanya daripada dirampas atau dibunuh), maka dengan yang demikian dapatlah
mereka menghalang (dirinya dan orang lain) dari jalan Allah; oleh itu mereka
beroleh azab seksa yang menghina.
|
| 17. |
harta benda
mereka dan anak pinak mereka tidak sekali-kali akan dapat memberikan sebarang
pertolongan kepada mereka dari azab Allah. Merekalah ahli neraka, mereka
tetap kekal di dalamnya.
|
| 18. |
(Setelah
nyata kepada orang-orang munafik itu bahawa harta benda dan anak pinaknya
tidak dapat memberikan pertolongan), ketika mereka semuanya dibangkitkan
oleh Allah (pada hari kiamat), maka mereka bersumpah kepadaNya (bahawa
mereka adalah orang-orang mukmin) sebagaimana biasanya mereka bersumpah
kepada kamu; dan mereka menyangka bahawa (dengan berbuat demikian) mereka
akan mendapat sesuatu (yang berfaedah kepada mereka). Ketahuilah! Bahawa
sesungguhnya merekalah golongan pendusta.
|
| 19. |
Syaitan telah
menguasai dan mempengaruhi mereka, sehingga menyebabkan mereka lupa mengingati
(ajaran dan amaran) Allah; mereka itulah puak Syaitan. Ketahuilah! Bahawa
puak Syaitan itu sebenarnya orang-orang yang rugi. |
| 20. |
Sesungguhnya
orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan RasulNya, mereka termasuk
dalam golongan yang amat hina.
|
| 21. |
Allah telah
menetapkan: "Sesungguhnya Aku dan Rasul-rasulKu tetap mengalahkan (golongan
yang menentang) ". Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha kuasa.
|
| 22. |
Engkau
tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat,
tergamak berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah
dan RasulNya, sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa
mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka, ataupun keluarga
mereka. Mereka (yang setia) itu, Allah telah menetapkan iman dalam hati
mereka, dan telah menguatkan mereka dengan semangat pertolongan daripadaNya;
dan Dia akan memasukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya
beberapa sungai, mereka tetap kekal di dalamnya. Allah reda akan mereka
dan mereka reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya. Merekalah penyokong-penyokong
(ugama) Allah. Ketahuilah! Sesungguhnya penyokong-penyokong (ugama) Allah
itu ialah orang-orang yang berjaya.
|