|
| 26. |
Dan demi
sesungguhnya! Kami telah mengutus Nabi Nuh dan Nabi Ibrahim, dan Kami jadikan
pada keturunan keduanya orang-orang yang berpangkat Nabi dan menerima Kitab-kitab
ugama; maka sebahagian di antara mereka: orang yang beroleh hidayah petunjuk,
dan kebanyakan mereka orang-orang yang fasik - derhaka
|
| 27. |
Kemudian
Kami iringi sesudah - mereka: Rasul-rasul Kami silih berganti, dan Kami
iringi lagi dengan Nabi Isa ibni Maryam, serta Kami berikan kepadanya:
Kitab Injil; dan Kami jadikan dalam hati orang-orang yang mengikutnya perasaan
belas kasihan (sesama sendiri). Dan (perbuatan mereka beribadat secara)
"Rahbaniyyah" - merekalah sahaja yang mengadakan dan merekanya; Kami tidak
mewajibkannya atas mereka; (mereka berbuat demikian) kerana mencari keredaan
Allah; dalam pada itu mereka tidak menjaga dan memeliharanya menurut yang
sewajibnya. Oleh itu, orang-orang yang beriman (kepada Nabi Muhammad) di
antara mereka, kami berikan pahalanya, dan (sebaliknya) banyak di antara
mereka yang fasik - derhaka.
|
| 28. |
Wahai orang-orang
yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tetaplah beriman kepada
RasulNya (Muhammad), supaya Allah memberi kepada kamu dua bahagian dari
rahmatNya, dan menjadikan bagi kamu cahaya untuk kamu berjalan dengannya
(pada hari kiamat kelak), serta diampunkannya dosa kamu; dan (ingatlah),
Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
|
| 29. |
(Ditetapkan
pemberian yang demikian kepada kamu) supaya golongan ahli Kitab (Yahudi
dan Nasrani - yang menentang Islam) mengetahui, bahawa sesungguhnya mereka
tidak mempunyai sebarang kuasa untuk mendapat (atau menyekat) sesuatu dari
limpah kurnia Allah, dan bahawa sesungguhnya limpah kurnia itu terletak
dalam kekuasaan Allah, diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya.
Dan (ingatlah), Allah jualah yang mempunyai limpah kurnia yang besar.
|