|
| 101. |
Wahai orang-orang
yang beriman! Janganlah kamu bertanyakan (kepada Nabi) perkara-perkara
yang jika diterangkan kepada kamu akan menyusahkan kamu, dan jika kamu
bertanya mengenainya ketika diturunkan Al-Quran, tentulah akan diterangkan
kepada kamu. Allah maafkan (kamu) dari (kesalahan bertanyakan) perkara-perkara
itu (yang tidak dinyatakan di dalam Al-Quran); kerana Allah Maha pengampun,
lagi Maha penyabar.
|
| 102. |
Sesungguhnya
perkara-perkara yang serupa itu pernah ditanyakan (kepada Nabi mereka)
oleh suatu kaum dahulu sebelum kamu, kemudian mereka menjadi kafir dengan
sebab pertanyaan itu (kerana setelah diterangkan, mereka tidak menerimanya).
|
| 103. |
Allah tidak
sekali-kali mensyariatkan Bahirah, tidak juga Saa'ibah, tidak juga Wasilah
dan tidak juga Haam. Akan tetapi orang-orang kafir itu sentiasa mengada-adakan
perkara dusta terhadap Allah; dan kebanyakan mereka tidak menggunakan akal
fikirannya
|
| 104. |
Dan apabila
dikatakan kepada mereka: "Marilah menurut kepada apa yang telah diturunkan
oleh Allah (Al-Quran), dan kepada RasulNya (yang menyampaikannya)", mereka
menjawab: "Cukuplah bagi kami apa yang kami dapati datuk nenek kami mengerjakannya".
Adakah (mereka akan menurut juga) sekalipun datuk nenek mereka tidak mengetahui
apa-apa dan tidak pula mendapat hidayah petunjuk?
|
| 105. |
Wahai orang-orang
yang beriman! Jagalah sahaja diri kamu (dari melakukan sesuatu yang dilarang
oleh Allah). Orang-orang yang sesat tidak akan mendatangkan mudarat kepada
kamu apabila kamu sendiri telah mendapat hidayah petunjuk (taat mengerjakan
suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya). Kepada Allah jualah tempat
kembali kamu semuanya, kemudian Ia akan menerangkan kepada kamu (balasan)
apa yang kamu telah lakukan.
|
| 106. |
Wahai orang-orang
yang beriman! Apabila salah seorang di antara kamu hampir mati, ketika
(ia mahu) berwasiat, hendaklah wasiatnya itu disaksikan oleh dua orang
yang adil di antara kamu, atau dua orang lain (yang bukan seugama) dengan
kamu, jika kamu dalam pelayaran di muka bumi lalu kamu ditimpa bencana
sakit yang membawa maut. Kalau kamu ragu-ragu tentang kejujuran kedua saksi
itu, hendaklah) kamu tahan mereka sesudah selesai sembahyang, kemudian
mereka (disuruh) bersumpah dengan nama Allah (dengan berkata: "Demi Allah)
kami tidak akan menjual sumpah kami untuk mendapat sesuatu harta benda,
walaupun orang itu dari kaum kerabat, dan kami tidak menyembunyikan (keterangan
yang kami ketahui) sebagai saksi (sebagaimana yang diperintahkan oleh)
Allah, (kerana jika kami menyembunyikannya) tentulah kami dengan itu termasuk
dalam golongan orang-orang yang berdosa".
|
| 107. |
Kemudian
jika didapati bahawa kedua saksi itu (sesudah bersumpah) ada melakukan
dosa (kerana berdusta atau mengkhianati dalam perkara yang mereka menjadi
saksi itu), maka hendaklah dua orang yang lain menggantikan tempat mereka
dari waris-waris si mati lebih dekat, yang lebih berhak (menuntut dan memberi
keterangan yang sebenarnya), kemudian mereka bersumpah dengan nama Allah
(dengan berkata): "Demi sesungguhnya, persaksian kami lebih berhak diterima
daripada persaksian kedua saksi itu (yang telah nyata berdusta), dan kami
tidak melampaui batas, (kerana jika kami berbuat demikian) tentulah kami
dengan itu termasuk dalam golongan orang-orang yang zalim.
|
| 108. |
(Hukum-hukum
dan peraturan menjadi saksi) yang tersebut itu adalah jalan yang lebih
dekat untuk mereka memberi keterangan persaksian menurut cara yang sebenarnya,
atau untuk mereka merasa takut akan ditolak sumpah mereka (kepada waris-waris
si mati) sesudah mereka bersumpah (yang akan mendedahkan kecurangan mereka).
Oleh itu bertaqwalah kepada Allah, dan dengarlah dengan patuh (segala perintahNya),
dan (ingatlah) Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang fasik.
|
| 109. |
(Ingatlah)
hari (kiamat yang padanya) Allah menghimpunkan Rasul-rasulNya lalu bertanya:
"Apakah penerimaan yang diberikan kepada kamu (oleh umat-umat kamu dahulu,
ketika kamu menyampaikan seruan ugama Allah)?" Rasul-rasul itu menjawab:
"Tidak ada bagi kami pengetahuan yang sah tentang itu, (pengetahuan yang
tepat adalah tertentu bagiMu), kerana sesungguhnya Engkaulah sahaja yang
Maha Mengetahui akan segala perkara yang ghaib"
|
| 110. |
(Ingatlah)
ketika Allah berfirman: "Wahai Isa ibni Maryam! Kenanglah nikmatKu kepadamu
dan kepada ibumu, ketika Aku menguatkanmu dengan Ruhul-Qudus (Jibril),
iaitu engkau dapat berkata-kata dengan manusia (semasa engkau masih kecil)
dalam buaian dan sesudah dewasa; dan (ingatlah) ketika Aku mengajarmu menulis
membaca, dan hikmat pengetahuan, khasnya Kitab Taurat dan Kitab Injil;
dan (ingatlah) ketika engkau jadikan dari tanah seperti bentuk burung dengan
izinKu, kemudian engkau tiupkan padanya, lalu menjadilah ia seekor burung
dengan izinku; dan (ingatlah ketika) engkau menyembuhkan orang buta dan
orang sopak dengan izinku; dan (ingatlah) ketika engkau menghidupkan orang-orang
yang mati dengan izinKu; dan (ingatlah) ketika Aku menghalangi Bani Israil
daripada membunuhmu, ketika engkau datang kepada mereka dengan membawa
keterangan-keterangan (mukjizat), lalu orang-orang yang kafir di antara
mereka berkata: "Bahawa ini hanyalah sihir yang terang nyata"
|
| 111. |
Dan (ingatlah)
ketika Aku ilhamkan kepada orang-orang Hawariyyiin (sahabat-sahabat karib
nabi Isa): "Berimanlah kamu kepadaku dan kepada RasulKu!" Mereka menjawab:
"Kami telah beriman, dan saksikanlah, bahawa sesungguhnya kami orang-orang
Islam (yang menyerah diri kepada Allah)"
|
| 112. |
Dan (ingatlah)
ketika orang orang Hawariyyiin berkata: "Wahai Isa Ibni Maryam! Dapatkah
kiranya Tuhanmu berkenan menurunkan kepada kami satu hidangan dari langit?"
Nabi Isa menjawab: "Bertaqwalah kamu kepada Allah jika benar kamu orang-orang
yang beriman".
|
| 113. |
Mereka
berkata: "Kami hanya ingin hendak makan dari hidangan itu (untuk mengambil
berkat), dan supaya tenang tenteram hati kami, dan juga supaya kami ketahui
dengan yakin, bahawa sesungguhnya engkau telah berkata benar kepada kami,
dan supaya menjadilah kami orang-orang yang menyaksikannya sendiri"
|
| 114. |
Isa ibni
Maryam (pun berdoalah ke hadrat Allah dengan) berkata: Ya Allah, Tuhan
kami! Turunkanlah kiranya kepada kami satu hidangan dari langit, untuk
menjadi hari raya bagi kami, iaitu bagi kami yang ada hari ini dan bagi
orang-orang kami yang datang kemudian, dan sebagai satu tanda (mukjizat)
daripadamu (yang menunjukkan kebesaran dan kekuasaanMu); dan kurniakanlah
rezeki kepada kami, kerana Engkau jualah sebaik-baik Pemberi rezeki".
|
| 115. |
Allah berfirman:
"Sesungguhnya Aku akan menurunkan hidangan itu berulang-ulang kepada kamu,
kemudian sesiapa di antara kamu kufur ingkar sesudah (turunnya hidangan
itu), maka sesungguhnya Aku akan menyeksanya dengan azab sengsara yang
tidak pernah Aku seksakan seseorang pun dari sekalian makhluk".
|
| 116. |
Dan (ingatlah)
ketika Allah berfirman: "Wahai Isa ibni Maryam! Engkaukah yang berkata
kepada manusia: `Jadikanlah daku dan ibuku dua tuhan selain dari Allah?
' " Nabi `Isa menjawab: "Maha Suci Engkau (wahai Tuhan)! Tidaklah layak
bagiku mengatakan sesuatu yang aku tidak berhak (mengatakannya). Jika aku
ada mengatakannya, maka tentulah Engkau telah mengetahuinya. Engkau mengetahui
apa yang ada pada diriku, sedang aku tidak mengetahui apa yang ada pada
diriMu; kerana sesungguhnya Engkau jualah Yang Maha Mengetahui perkara-perkara
yang ghaib.
|
| 117. |
"Aku tidak
mengatakan kepada mereka melainkan apa yang Engkau perintahkan kepadaku
mengatakannya, iaitu: `Sembahlah kamu akan Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu
' dan adalah aku menjadi pengawas terhadap mereka (dengan membenarkan yang
benar dan menyalahkan yang salah) selama aku berada dalam kalangan mereka;
kemudian apabila Engkau sempurnakan tempohku, menjadilah Engkau sendiri
yang mengawasi keadaan mereka, dan Engkau jualah yang menjadi Saksi atas
tiap-tiap sesuatu.
|
| 118. |
"Jika Engkau
menyeksa mereka, (maka tidak ada yang menghalanginya) kerana sesungguhnya
mereka adalah hamba-hambaMu; dan jika Engkau mengampunkan mereka, maka
sesungguhnya Engkaulah sahaja yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana"
|
| 119. |
Allah berfirman:
"Inilah hari (kiamat) yang (padanya) orang-orang yang benar (pada tutur
kata dan amal perbuatan) mendapat manfaat dari kebenaran mereka; mereka
beroleh Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka
kekal di dalamnya selama-lamanya. Allah reda akan mereka dan mereka pula
reda akan Dia. Itulah kejayaan yang amat besar".
|
| 120. |
Allah jualah
yang menguasai alam langit dan bumi serta segala yang ada padanya; dan
Dia lah jua yang Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
|