|
| 76. |
Katakanlah
(wahai Muhammad): "Patutkah kamu menyembah sesuatu yang lain dari Allah,
yang tidak berkuasa memberi mudarat kepada kamu dan tidak juga berkuasa
memberi manfaat? Padahal Allah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui".
|
| 77. |
Katakanlah:
"Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampau dalam ugama kamu secara yang
tidak benar, dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum yang telah
sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia, dan juga (sekarang)
mereka telah tersesat (jauh) dari jalan yang betul"
|
| 78. |
Orang-orang
kafir Yahudi dari Bani Israil telah dilaknat (di dalam Kitab-kitab Zabur
dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa ibni Maryam. Yang demikian
itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh.
|
| 79. |
Mereka
sentiasa tidak berlarang-larangan (sesama sendiri) dari perbuatan mungkar
(derhaka dan ceroboh), yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya
apa yang mereka telah lakukan.
|
| 80. |
Engkau
melihat banyak dari mereka menjadikan orang-orang kafir (musyrik) teman
rapat mereka. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka sediakan
bagi diri mereka (pada hari akhirat kelak) iaitu kemurkaan Allah menimpa
mereka, dan mereka pula tetap kekal di dalam azab (neraka).
|
| 81. |
Sekirany
mereka beriman kepada Allah dan kepada Nabi serta apa yang diturunkan kepadanya,
nescaya mereka tidak menjadikan orang-orang (musyrik) sebagai teman rapat,
akan tetapi kebanyakan dari mereka adalah orang-orang fasik.
|
| 82. |
Demi sesungguhnya
engkau (wahai Muhammad) akan dapati manusia yang keras sekali permusuhannya
kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang
musyrik. Dan demi sesungguhnya engkau akan dapati orang-orang yang dekat
sekali kasih mesranya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang
yang berkata: "Bahawa kami ini ialah orang-orang Nasrani" yang demikian
itu, disebabkan ada di antara mereka pendita-pendita dan ahli-ahli ibadat,
dan kerana mereka pula tidak berlaku sombong.
|
| 83. |
Dan apabila
mereka mendengar Al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah (Muhammad,
s.a.w), engkau melihat mata mereka mencucurkan air mata disebabkan apa
yang mereka ketahui (melalui Kitab mereka) dari kebenaran (Al-Quran), sambil
mereka berkata: "Wahai Tuhan kami, kami beriman (kepada Nabi Muhammad dan
Kitab Suci Al-Quran), oleh itu tetapkanlah kami bersama-sama orang-orang
yang menjadi saksi (yang mengakui kebenaran Nabi Muhammad s.a.w).
|
| 84. |
"Dan tidak
ada sebab bagi kami tidak beriman kepada Allah dan kepada kebenaran (Al-Quran)
yang sampai kepada kami, padahal kami ingin (dengan sepenuh-penuh harapan),
supaya Tuhan kami memasukkan kami (ke dalam Syurga) bersama-sama orang-orang
yang soleh"
|
| 85. |
Lalu Allah
memberikan pahala kepada mereka disebabkan (pengakuan iman yang ikhlas)
yang telah mereka ucapkan, (iaitu mereka dibalas dengan) Syurga yang mengalir
di bawahnya beberapa sungai; mereka pula tetap kekal di dalamnya. Dan yang
demikian itu, adalah balasan orang-orang yang berusaha berbuat kebaikan.
|
| 86. |
Dan (sebaliknya)
orang-orang yang kafir serta mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, mereka
itulah ahli neraka.
|
| 87. |
Wahai orang-orang
yang beriman! Janganlah kamu haramkan benda-benda yang baik-baik yang telah
dihalalkan oleh Allah bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas (pada
apa yang telah ditetapkan halalnya itu); kerana sesungguhnya Allah tidak
suka kepada orang-orang yang melampaui batas.
|
| 88. |
Dan makanlah
dari rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu, iaitu yang halal lagi
baik, dan bertaqwalah kepada Allah yang kepadaNya sahaja kamu beriman.
|
| 89. |
Kamu tidak
dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan
(untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah olehNya dengan sebab sumpah
yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya
ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana
yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk
mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat
(menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari.
Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah.
Dan jagalah - peliharalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada
kamu ayat-ayatNya (hukum-hukum ugamaNya) supaya kamu bersyukur.
|
| 90. |
Wahai orang-orang
yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala,
dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor
(keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya
kamu berjaya.
|
| 91. |
Sesungguhnya
Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian
di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada
mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah
kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu
atau kamu masih berdegil)?
|
| 92. |
Dan taatlah
kamu kepada Allah serta taatlah kepada Rasul Allah, dan awaslah (janganlah
sampai menyalahi perintah Allah dan RasulNya). Oleh itu, jika kamu berpaling
(enggan menurut apa yang diperintahkan itu), maka ketahuilah, bahawa sesungguhnya
kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan (perintah-perintah) dengan jelas
nyata.
|
| 93. |
Tidak ada
dosa bagi orang-orang yang beriman serta mengerjakan amal yang soleh pada
apa yang telah mereka makan dahulu, apabila mereka bertaqwa dan beriman
serta mengerjakan amal yang soleh, kemudian mereka tetap bertaqwa dan beriman,
kemudian mereka tetap bertaqwa dan berbuat kebajikan; kerana Allah mengasihi
orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.
|
| 94. |
Wahai orang-orang
yang beriman! Demi sesungguhnya Allah akan menguji kamu (semasa kamu berihram)
dengan sesuatu dari binatang buruan yang mudah ditangkap oleh tangan kamu
dan (mudah terkena) tikaman lembing-lembing kamu, supaya Allah ketahui
wujudnya sesiapa yang takut kepadaNya semasa ia tidak melihatNya semasa
ia tidak dilihat orang. Oleh itu, sesiapa yang melampaui batas sesudah
yang demikian maka baginya azab yang tidak terperi sakitnya.
|
| 95. |
Wahai orang-orang
yang beriman! Janganlah kamu membunuh binatang-binatang buruan ketika kamu
sedang berihram. Dan sesiapa di antara kamu yang membunuhnya dengan sengaja,
maka dendanya (menggantinya) dengan binatang ternak yang sama dengan binatang
buruan yang dibunuh itu, yang ditetapkan hukumnya oleh dua orang yang adil
di antara kamu, sebagai hadiah yang disampaikan ke Kaabah (untuk disembelih
dan dibahagikan kepada fakir miskin di Tanah Suci), atau bayaran kaffarah,
iaitu memberi makan orang-orang miskin, atau berpuasa sebanyak bilangan
cupak yang diberikan kepada orang miskin; supaya dapat ia merasai kesan
yang buruk dari perbuatannya. Allah maafkan apa yang telah lalu; dan sesiapa
yang mengulangi (kesalahan itu) maka Allah akan menyeksanya; dan (ingatlah)
Allah Maha Kuasa, lagi Berkuasa membalas dengan azab seksa.
|
| 96. |
Dihalalkan
bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut, sebagai
bekalan bagi kamu (untuk dinikmati kelazatannya) dan juga bagi orang-orang
yang dalam pelayaran; tetapi diharamkan atas kamu memburu binatang buruan
darat selama kamu sedang berihram. Oleh itu, bertaqwalah kepada Allah,
yang kepadaNya kamu akan dihimpunkan.
|
| 97. |
Allah menjadikan
Kaabah, rumah yang mulia itu, sebagai tempat tumpuan manusia (untuk menjalankan
ibadat dan hal-hal hidup), demikian juga bulan-bulan yang mulia, dan binatang-binatang
korban, dan kalong-kalong binatang korban itu. Yang demikian itu, supaya
kamu ketahui bahawa sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada di langit
dan apa yang ada di bumi, dan bahawa sesungguhnya Allah Maha mengetahui
akan tiap-tiap sesuatu.
|
| 98. |
Ketahuilah
oleh kamu, bahawasanya Allah Maha berat azab seksaNya (kepada orang yang
kufur dan derhaka), dan bahawasanya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani
(bagi orang yang mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya).
|
| 99. |
Tidak ada
kewajipan yang ditugaskan kepada Rasulullah selain daripada menyampaikan
(perintah-perintah Allah) sahaja; dan Allah sentiasa mengetahui apa yang
kamu lahirkan dan apa yang kamu sembunyikan.
|
| 100. |
Katakanlah
(wahai Muhammad): "Tidak sama yang buruk dengan yang baik, walaupun banyaknya
yang buruk itu menarik hatimu. Oleh itu bertaqwalah kepada Allah wahai
orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu berjaya.
|