|
| 26. |
Allah berfirman:
"Sesungguhnya negeri itu diharamkan kepada mereka memasukinya - selama
empat puluh tahun, mereka akan merayau-rayau dengan bingungnya (di sepanjang
masa yang tersebut) di padang pasir (Sinai); maka janganlah engkau berdukacita
terhadap kaum yang fasik itu".
|
| 27. |
Dan bacakanlah
(wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil
dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan
satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima
korban salah seorang di antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban)
dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil):" Sesungguhnya aku akan membunuhmu!".
(Habil) menjawab: "Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang
yang bertaqwa;
|
| 28. |
"Demi sesungguhnya!
Jika engkau hulurkan tanganmu kepadaku untuk membunuhku, aku tidak sekali-kali
akan menghulurkan tanganku kepadamu untuk membunuhmu. Kerana sesungguhnya
aku takut kepada Allah, Tuhan Yang mentadbirkan sekalian alam;
|
| 29. |
"Sesungguhnya
aku mahu supaya engkau kembali dengan (membawa) dosa (membunuhku) dan dosamu
sendiri. Maka dengan itu menjadilah engkau dari ahli neraka, dan itulah
dia balasan orang-orang yang zalim".
|
| 30. |
Maka nafsu
jahat (Qabil) mendorongnya (sehingga ia tergamak) membunuh saudaranya,
lalu ia membunuhnya. Oleh itu menjadilah dia dari golongan orang-orang
yang rugi.
|
| 31. |
Kemudian
Allah hantarkan seekor burung gagak (menyuruhnya) mengorek-ngorek di bumi
supaya, diperlihatkan kepada (Qabil) bagaimana cara menimbus mayat saudaranya.
(Qabil) berkata: "Wahai celakanya aku! Alangkah lemah serta bodohnya aku,
aku tidak tahu berbuat seperti burung gagak ini, supaya aku dapat menimbuskan
mayat saudaraku?". Kerana itu menjadilah ia dari golongan orang-orang yang
menyesal.
|
| 32. |
Dengan
sebab (kisah pembunuhan kejam) yang demikian itu kami tetapkan atas Bani
Israil, bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada
alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan
di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya; dan
sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah
dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya. Dan demi sesungguhnya,
telah datang kepada mereka Rasul-rasul kami dengan membawa keterangan yang
cukup terang; kemudian, sesungguhnya kebanyakan dari mereka sesudah itu,
sungguh-sungguh menjadi orang-orang yang melampaui batas (melakukan kerosakan)
di muka bumi.
|
| 33. |
Hanyasanya
balasan orang-orang yang memerangi Allah dan RasulNya serta melakukan bencana
kerosakan di muka bumi ialah dengan dibalas bunuh (kalau mereka membunuh
sahaja dengan tidak merampas), atau dipalang (kalau mereka membunuh dan
merampas), atau dipotong tangan dan kaki mereka bersilang (kalau mereka
merampas sahaja), atau dibuang negeri (kalau mereka hanya mengganggu ketenteraman
umum). Hukuman yang demikian itu adalah suatu kehinaan di dunia bagi mereka,
dan di akhirat kelak mereka beroleh azab seksa yang amat besar.
|
| 34. |
Kecuali
orang-orang yang bertaubat sebelum kamu dapat menangkapnya, (mereka terlepas
dari hukuman itu). Maka ketahuilah, bahawasanya Allah Maha Pengampun, lagi
Maha Mengasihani.
|
| 35. |
Wahai orang-orang
yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan carilah yang boleh menyampaikan
kepadaNya (dengan mematuhi perintahNya dan meninggalkan laranganNya); dan
berjuanglah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam) supaya kamu beroleh
kejayaan.
|
| 36. |
Sesungguhnya
orang-orang yang kafir, kalau (tiap-tiap seorang dari) mereka mempunyai
segala yang ada di muka bumi atau sebanyak itu lagi bersamanya, untuk mereka
menjadikannya penebus diri mereka dari azab seksa hari kiamat, nescaya
tebusan itu tidak akan diterima dari mereka; dan mereka akan beroleh azab
seksa yang tidak terperi sakitnya.
|
| 37. |
Mereka
sentiasa berharap hendak keluar dari api neraka itu, padahal mereka tidak
sekali-kali akan dapat keluar daripadanya; dan bagi mereka azab seksa yang
tetap kekal.
|
| 38. |
Dan orang
lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah
tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan,
(juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah
Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
|
| 39. |
Maka sesiapa
yang bertaubat sesudah ia melakukan kejahatan (curi) itu dan memperbaiki
amal usahanya, sesungguhnya Allah menerima taubatnya; kerana Allah Maha
Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
|
| 40. |
Tidakkah
engkau mengetahui bahawa Allah menguasai pemerintahan langit dan bumi?
Ia menyeksakan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan dan hukum SyariatNya),
dan mengampunkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan dan hukum
SyariatNya). Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
|
| 41. |

Wahai Rasul
Allah! Janganlah engkau menanggung dukacita disebabkan orang-orang yang
segera menceburkan diri dalam kekufuran, iaitu dari orang-orang yang berkata
dengan mulutnya: "Kami tetap beriman", padahal hatinya tidak beriman; demikian
juga dari orang-orang Yahudi, mereka orang-orang yang sangat suka mendengar
berita-berita dusta; mereka sangat suka mendengar perkataan golongan lain
(pendita-pendita Yahudi) yang tidak pernah datang menemuimu; mereka ini
mengubah serta meminda perkataan-perkataan (dalam Kitab Taurat) itu dari
tempat-tempatnya yang sebenar. Mereka berkata: "Jika disampaikan kepada
kamu hukum seperti ini maka terimalah dia, dan jika tidak disampaikannya
kepada kamu, maka jagalah diri baik-baik". Dan sesiapa yang dikehendaki
Allah kesesatannya, maka engkau tidak berkuasa sama sekali (menolak) sesuatu
apapun (yang datang) dari Allah untuknya. Mereka ialah orang-orang yang
Allah tidak mahu membersihkan hati mereka; bagi mereka kehinaan di dunia,
dan di akhirat kelak mereka beroleh azab seksa yang besar.
|
| 42. |
Mereka
sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang
haram (rasuah dan sebagainya). Oleh itu kalau mereka datang kepadamu, maka
hukumlah di antara mereka (dengan apa yang telah diterangkan oleh Allah),
atau berpalinglah dari mereka; dan kalau engkau berpaling dari mereka maka
mereka tidak akan dapat membahayakanmu sedikitpun; dan jika engkau menghukum
maka hukumlah di antara mereka dengan adil; kerana sesungguhnya Allah mengasihi
orang-orang yang berlaku adil.
|
| 43. |
Dan (sungguh
menghairankan), bagaimana mereka meminta keputusan hukum kepadamu, padahal
di sisi mereka ada Kitab Taurat yang mengandungi hukum Allah, kemudian
mereka berpaling pula sesudah itu (dari hukumanmu)? Dan (sebenarnya) mereka
itu bukanlah orang-orang yang beriman.
|
| 44. |
Sesungguhnya
Kami telah menurunkan Kitab Taurat, yang mengandungi petunjuk dan cahaya
yang menerangi; dengan Kitab itu nabi-nabi yang menyerah diri (kepada Allah)
menetapkan hukum bagi orang-orang Yahudi, dan (dengannya juga) ulama mereka
dan pendita-penditanya (menjalankan hukum Allah), sebab mereka diamanahkan
memelihara dan menjalankan hukum-hukum dari Kitab Allah (Taurat) itu, dan
mereka pula adalah menjadi penjaga dan pengawasnya (dari sebarang perubahan).
Oleh itu janganlah kamu takut kepada manusia tetapi hendaklah kamu takut
kepadaKu (dengan menjaga diri dari melakukan maksiat dan patuh akan perintahKu);
dan janganlah kamu menjual (membelakangkan) ayat-ayatKu dengan harga yang
sedikit (kerana mendapat rasuah, pangkat dan lain-lain keuntungan dunia);
dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh
Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang kafir.
|
| 45. |
Dan kami
telah tetapkan atas mereka di dalam kitab Taurat itu, bahawa jiwa dibalas
dengan jiwa, dan mata dibalas dengan mata, dan hidung dibalas dengan hidung,
dan telinga dibalas dengan telinga, dan gigi dibalas dengan gigi, dan luka-luka
hendaklah dibalas (seimbang). Tetapi sesiapa yang melepaskan hak membalasnya,
maka menjadilah ia penebus dosa baginya; dan sesiapa yang tidak menghukum
dengan apa yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang
yang zalim.
|
| 46. |
Dan Kami
utuskan Nabi Isa Ibni Maryam mengikuti jejak langkah mereka (Nabi-nabi
Bani Israil), untuk membenarkan Kitab Taurat yang diturunkan sebelumnya;
dan Kami telah berikan kepadanya Kitab Injil, yang mengandungi petunjuk
hidayah dan cahaya yang menerangi, sambil mengesahkan benarnya apa yang
telah ada di hadapannya dari Kitab Taurat, serta menjadi petunjuk dan nasihat
pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.
|
| 47. |
Dan hendaklah
Ahli Kitab Injil menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah
di dalamnya; dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan
oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang fasik.
|
| 48. |
Dan Kami
turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran,
untuk mengesahkan benarnya Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan sebelumnya
dan untuk memelihara serta mengawasinya. Maka jalankanlah hukum di antara
mereka (Ahli Kitab) itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepadamu),
dan janganlah engkau mengikut kehendak hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng)
dari apa yang telah datang kepadamu dari kebenaran. Bagi tiap-tiap umat
yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu Syariat dan jalan
ugama (yang wajib diikuti oleh masing-masing). Dan kalau Allah menghendaki
nescaya Ia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam ugama yang satu),
tetapi Ia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan
kepada kamu. Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan (beriman
dan beramal soleh). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, maka
Ia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya.
|
| 49. |
Dan hendaklah
engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan
oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan
berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang
telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan
menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa
mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan
dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik.
|
| 50. |
Sesudah
itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyah? Padahal
- kepada orang-orang yang penuh keyakinan - tidak ada sesiapa yang boleh
membuat hukum yang lebih pada daripada Allah.
|