|
| 1. |
Wahai orang-orang
yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian. Dihalalkan
bagi kamu (memakan) binatang-binatang ternak (dan sebagainya), kecuali
apa yang akan dibacakan (tentang haramnya) kepada kamu. (Halalnya binatang-binatang
ternak dan sebagainya itu) tidak pula bererti kamu boleh menghalalkan perburuan
ketika kamu dalam keadaan berihram. Sesungguhnya Allah menetapkan hukum
apa yang Ia kehendaki.
|
| 2. |
Wahai orang-orang
yang beriman, janganlah kamu ingat halal membuat sesuka hati mengenai syiar-syiar
ugama Allah, dan mengenai bulan-bulan yang dihormati, dan mengenai binatang-binatang
yang dihadiahkan (ke Makkah untuk korban), dan mengenai kalong-kalong binatang
hadiah itu, dan mengenai orang-orang yang menuju ke Baitullah Al-Haraam,
yang bertujuan mencari limpah kurnia dari Tuhan mereka (dengan jalan perniagaan)
dan mencari keredaanNya (dengan mengerjakan ibadat Haji di Tanah Suci);
dan apabila kamu telah selesai dari ihram maka bolehlah kamu berburu. Dan
jangan sekali-kali kebencian kamu kepada suatu kaum kerana mereka pernah
menghalangi kamu dari masjid Al-Haraam itu - mendorong kamu menceroboh.
Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa,
dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan
pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha
Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).
|
| 3. |

Diharamkan
kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah
(yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang
yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan
yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang
mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat
kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan yang disembelih atas nama berhala;
dan (diharamkan juga) kamu merenung nasib dengan undi batang-batang anak
panah. Yang demikian itu adalah perbuatan fasik. Pada hari ini, orang-orang
kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) dari ugama kamu (setelah
mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya). Sebab itu janganlah kamu
takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar
kepadaKu. Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan
Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu
menjadi ugama untuk kamu. Maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan
benda-benda yang diharamkan) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan
dosa (maka bolehlah ia memakannya), kerana sesungguhnya Allah maha Pengampun,
lagi Maha Mengasihani.
|
| 4. |
Mereka
bertanya kepadamu (wahai Muhammad): "Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi
mereka?" Bagi menjawabnya katakanlah: "Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang
lazat-lazat serta baik, dan (buruan yang ditangkap oleh) binatang-binatang
pemburu yang telah kamu ajar (untuk berburu) mengikut cara pelatih-pelatih
binatang pemburu. Kamu mengajar serta melatihnya (adab peraturan berburu)
sebagaimana yang telah diajarkan Allah kepada kamu. Oleh itu makanlah dari
apa yang mereka tangkap untuk kamu dan sebutlah nama Allah atasnya (ketika
kamu melepaskannya berburu); dan bertaqwalah kepada Allah (dengan memelihara
diri dari memakan yang diharamkan Allah); Sesungguhnya Allah Maha Cepat
hitungan hisabNya"
|
| 5. |
Pada masa
ini dihalalkan bagi kamu (memakan makanan) yang lazat-lazat serta baik-baik.
Dan makanan (sembelihan) orang-orang yang diberikan Kitab itu adalah halal
bagi kamu, dan makanan (sembelihan) kamu adalah halal bagi mereka (tidak
salah kamu memberi makan kepada mereka). Dan (dihalalkan kamu berkahwin)
dengan perempuan-perempuan yang menjaga kehormatannya - di antara perempuan-perempuan
yang beriman, dan juga perempuan-perempuan yang menjaga kehormatannya dari
kalangan orang-orang yang diberikan Kitab dahulu daripada kamu apabila
kamu beri mereka maskahwinnya, sedang kamu (dengan cara yang demikian),
bernikah bukan berzina, dan bukan pula kamu mengambil mereka menjadi perempuan-perempuan
simpanan. Dan sesiapa yang ingkar (akan syariat Islam) sesudah ia beriman,
maka sesungguhnya gugurlah amalnya (yang baik) dan adalah ia pada hari
akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.
|
| 6. |
Wahai orang-orang
yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu
berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua
belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu,
dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali; dan jika kamu junub
(berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib; dan jika kamu sakit
(tidak boleh kena air), atau dalam pelayaran, atau salah seorang dari kamu
datang dari tempat buang air, atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak
mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum
dengan tanah - debu yang bersih, iaitu: sapulah muka kamu dan kedua belah
tangan kamu dengan tanah - debu itu. Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung
sesuatu kesusahan (kepayahan), tetapi Ia berkehendak membersihkan (mensucikan)
kamu dan hendak menyempurnakan nikmatNya kepada kamu, supaya kamu bersyukur.
|
| 7. |
Dan kenanglah
nikmat Allah (yang telah dikurniakanNya) kepada kamu serta ingatlah perjanjianNya
yang telah diikatNya dengan kamu, ketika kamu berkata: "Kami dengar dan
kami taat (akan perintah-perintah Allah dan RasulNya)" Dan bertaqwalah
kamu kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala
(isi hati) yang ada di dalam dada.
|
| 8. |
Wahai orang-orang
yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan
keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali
kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan
keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap
adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya
Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.
|
| 9. |
Allah menjanjikan
kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka akan beroleh
keampunan dan pahala yang besar.
|
| 10. |
Dan orang-orang
yang kafir serta mendustakan ayat-ayat Kami (Al-Quran), merekalah ahli
neraka.
|
| 11. |
Wahai orang-orang
yang beriman, kenanglah nikmat Allah (yang telah dikurniakanNya) kepada
kamu ketika kaum (kafir yang memusuhi kamu) hendak menghulurkan tangannya
(untuk menyerang kamu), lalu Allah menahan tangan mereka daripada (menyerang)
kamu. Oleh itu, bertaqwalah kamu kepada Allah; dan kepada Allah jualah
(sesudah bertaqwa itu) hendaklah orang-orang yang beriman berserah diri.
|
| 12. |
Dan demi
sesungguhnya! Allah telah mengambil perjanjian setia Bani Israil (supaya
mereka menjunjung perintahNya dan menjauhi laranganNya), dan Kami telah
utuskan dari kalangan mereka dua belas ketua (untuk memimpin golongan masing-masing);
dan Allah berfirman (kepada mereka): "Bahawa Aku adalah beserta kamu (memerhati
segala-galanya). Demi sesungguhnya jika kamu dirikan sembahyang, serta
kamu tunaikan zakat, dan kamu beriman dengan segala Rasul (utusanku) serta
menolong bantu mereka (dalam menegakkan ugama Allah), dan kamu pinjamkan
Allah (dengan sedekah dan berbuat baik pada jalanNya) secara pinjaman yang
baik (bukan kerana riak dan mencari keuntungan dunia), sudah tentu Aku
akan ampunkan dosa-dosa kamu, dan Aku akan masukkan kamu ke dalam Syurga
yang mengalir di bawahnya beberapa sungai. Oleh itu, sesiapa yang kufur
ingkar di antara kamu sesudah yang demikian, maka sesungguhnya sesatlah
ia dari jalan yang betul"
|
| 13. |
Maka dengan
sebab mereka mencabuli perjanjian setia mereka, Kami laknatkan mereka,
dan Kami jadikan hati mereka keras membatu (tidak mahu menerima kebenaran).
Mereka sentiasa mengubah Kalimah-kalimah (yang ada di dalam kitab Taurat
dengan memutarnya) dari tempat-tempatnya (dan maksudnya) yang sebenar,
dan mereka melupakan (meninggalkan) sebahagian dari apa yang diperingatkan
mereka mereka dengannya. Dan engkau (wahai Muhammad) sentiasa dapat melihat
perbuatan khianat yang mereka lakukan, kecuali sedikit dari mereka (yang
tidak berlaku khianat). Oleh itu, maafkanlah mereka (jika mereka sedia
bertaubat) dan janganlah dihiraukan, kerana sesungguhnya Allah suka kepada
orang-orang yang berusaha supaya baik amalannya.
|
| 14. |
Dan di
antara orang-orang yang berkata:" Bahawa kami ini orang-orang Nasrani",
Kami juga telah mengambil perjanjian setia mereka, maka mereka juga melupakan
(meninggalkan) sebahagian dari apa yang diperingatkan mereka dengannya,
lalu Kami tanamkan perasaan permusuhan dan kebencian di antara mereka,
sampai ke hari kiamat; dan Allah akan memberitahu mereka dengan apa yang
telah mereka kerjakan.
|
| 15. |
Wahai Ahli
Kitab! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Rasul Kami (Muhammad, s.a.w)
dengan menerangkan kepada kamu banyak dari (keterangan-keterangan dan hukum-hukum)
yang telah kamu sembunyikan dari Kitab Suci, dan ia memaafkan kamu (dengan
tidak mendedahkan) banyak perkara (yang kamu sembunyikan). Sesungguhnya
telah datang kepada kamu cahaya kebenaran (Nabi Muhammad) dari Allah, dan
sebuah Kitab (Al-Quran) yang jelas nyata keterangannya.
|
| 16. |
Dengan
(Al-Quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan
kepada sesiapa yang mengikut keredaanNya, dan (dengannya) Tuhan keluarkan
mereka dari gelap-gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang-benderang,
dengan izinNya; dan (dengannya juga) Tuhan menunjukkan mereka ke jalan
yang lurus.
|
| 17. |
Demi sesungguhnya,
kafirlah orang-orang yang berkata: "Bahawasanya Allah ialah Al-Masih Ibni
Maryam) katakanlah (wahai Muhammad): "(Dakwaan itu tidak benar) kerana
siapakah yang dapat menahan (seksa) dari Allah sedikit jua pun kalau Ia
mahu membinasakan Al-Masih Ibni Maryam beserta ibunya dan orang-orang yang
ada di muka bumi semuanya?" Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kuasa pemerintahan
langit dan bumi dan segala yang ada di antara keduanya. Ia menciptakan
apa jua yang dikehendakiNya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap
sesuatu.
|
| 18. |
Orang-orang
Yahudi dan Nasrani berkata: "Kami adalah anak-anak Allah dan yang amat
disayangiNya". Katakanlah (wahai Muhammad): "(Kalau betul demikian), maka
mengapakah Ia menyeksa kamu dengan sebab dosa-dosa kamu? (Sebenarnya bukanlah
sebagaimana yang kamu dakwakan) bahkan kamu semuanya adalah manusia biasa
di antara manusia-manusia lain yang diciptakanNya. Ia mengampunkan bagi
sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan serta hukum SyariatNya), demikian
juga Ia menyeksa sesiapa yang dikehendakiNya. Dan (ingatlah) bagi Allah
jualah kuasa pemerintahan langit dan bumi serta segala yang ada di antara
keduanya, dan kepada Allah jualah tempat kembali"
|
| 19. |
Wahai Ahli
Kitab! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Rasul kami (Muhammad, s.a.w)
yang menerangkan kepada kamu (akan syariat Islam) ketika terputusnya (kedatangan)
Rasul-rasul (yang diutus), supaya kamu tidak (berdalih) dengan berkata
(pada hari kiamat): "Tidak datang kepada kami seorang (Rasul) pun pembawa
berita gembira dan juga pembawa amaran (yang mengingatkan kami)". Kerana
sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang (rasul) pembawa berita gembira
dan juga pembawa amaran. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap
sesuatu.
|
| 20. |
Dan (ingatkanlah
mereka wahai Muhammad), ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: "Wahai
kaumku! Kenanglah nikmat Allah (Yang diberikan) kepada kamu ketika Ia menjadikan
dalam kalangan kamu beberapa orang Nabi, dan Ia menjadikan kamu bebas merdeka
(setelah kamu diperhamba oleh Firaun dan orang-orangnya), dan Ia memberikan
kepada kamu barang yang tidak pernah diberikan kepada seseorang pun dari
umat-umat (yang ada pada masa itu)".
|
| 21. |
(Nabi Musa
berkata lagi): "Wahai kaumku, masuklah ke Tanah Suci (Palestin) yang telah
diperintahkan oleh Allah untuk kamu (memasukinya); dan janganlah kamu berbalik
undur ke belakang, (kalau kamu undur) maka kamu kelak menjadi orang-orang
yang rugi (di dunia dan di akhirat)".
|
| 22. |
Mereka
menjawab: "Wahai Musa bahawasanya di negeri itu ada kaum yang gagah perkasa,
dan sesungguhnya kami tidak akan memasukinya sehingga mereka keluar daripadanya;
kemudian jika mereka keluar daripadanya, maka sesungguhnya kami akan masuk
(ke negeri itu)".
|
| 23. |
Berkatalah
dua lelaki di antara orang-orang yang takut (menyalahi perintah tuhan),
lagi yang telah diberi nikmat (taufik) oleh Allah kepada keduanya: "Seranglah
mereka melalui pintu itu, kerana apabila kamu memasukinya maka sudah tentu
kamulah orang-orang yang menang; dan kepada Allah jualah hendaklah kamu
berserah (setelah kamu bertindak menyerang), jika benar kamu orang-orang
yang beriman"
|
| 24. |
Mereka
(menolak dengan) berkata: "Wahai Musa, sesungguhnya kami tidak akan memasuki
negeri itu selama-lamanya selagi kaum itu masih berada di dalamnya; oleh
itu pergilah engkau bersama Tuhanmu dan perangilah mereka. Sebenarnya kami
di sinilah duduk menunggu".
|
| 25. |
Nabi Musa
(merayu kepada Allah), katanya: "Wahai Tuhan! Sesungguhnya aku tidak dapat
menguasai selain daripada diriku sendiri dan saudaraku (Harun); oleh itu
pisahkanlah antara kami dengan kaum yang fasik itu".
|