|
| 1. |
Telah hampir
saat (kedatangan hari kiamat) dan terbelahlah bulan.
|
| 2. |
Dan kalau
mereka (kaum musyrik Mekah) melihat sesuatu mukjizat, mereka berpaling
ingkar sambil berkata: (Ini ialah) sihir yang terus menerus berlaku.
|
| 3. |
Dan (telah
menjadi adat) mereka mendustakan (Nabi Muhammad dan mukjizat-mukjizat yang
dibawanya) serta menurut hawa nafsu mereka, sedang tiap-tiap perkara tetap
(menurut keadaan yang ditentukan oleh Allah).
|
| 4. |
Dan sesungguhnya!
Telah sampai kepada mereka (dengan perantaraan Al-Quran), sebahagian dari
kisah-kisah dan berita (umat-umat yang telah lalu), yang mengandungi perkara-perkara
yang cukup untuk mencegah mereka (dari perbuatan kufur itu). |
| 5. |
(Yang demikian
ialah) pengajaran yang cukup sempurna; dalam pada itu, segala peringatan
dan amaran tidak akan mendatangkan faedah (kepada mereka yang ingkar).
|
| 6. |
Oleh itu,
berpalinglah dari mereka (wahai Muhammad dan janganlah dihiraukan). (Ingatlah)
masa (malaikat) penyeru menyeru (mereka pada hari kiamat) kepada perkara
yang tidak diingini (oleh orang yang bersalah);
|
| 7. |
(Pada saat
itu) masing-masing dengan keadaan menundukkan pandangannya kerana ketakutan
keluar dari kubur seperti belalang yang terbang bertebaran.
|
| 8. |
Masing-masing
dengan cepatnya menuju kepada penyeru itu. (Pada saat yang demikian), orang-orang
yang kafir berkata: Hari ini ialah hari yang amat sukar!
|
| 9. |
Sebelum
mereka, kaum Nabi Nuh juga telah mendustakan (Rasulnya); iaitu mereka mendustakan
hamba Kami (Nabi Nuh) serta mereka menuduhnya dengan berkata: Dia seorang
gila dan dia telah diancam (dan dihalang daripada menjalankan dakwah agama).
|
| 10. |
Lalu dia
berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: Sesungguhnya aku ini dikalahkan
(oleh kaumku yang ingkar), oleh itu menangkanlah daku (terhadap mereka)!
|
| 11. |
Maka Kami
bukakan pintu-pintu langit, dengan menurunkan hujan yang mencurah-curah.
|
| 12. |
Dan Kami
jadikan bumi memancarkan mata air-mata air (di sana sini), lalu bertemulah
air (langit dan bumi) itu untuk (melakukan) satu perkara yang telah ditetapkan.
|
| 13. |
Dan Kami
bawa naik Nabi Nuh (berserta pengikut-pengikutnya) di atas (bahtera yang
dibina) dari keping-keping papan dan paku;
|
| 14. |
Yang belayar
laju dengan pemeliharaan dan pengawasan Kami; (Kami melakukan yang demikian
dan menimpakan taufan itu) sebagai balasan bagi orang-orang yang kufur
ingkar!
|
| 15. |
Dan demi
sesungguhnya! Kami telah jadikan bahtera itu sebagai satu tanda yang menjadi
pengajaran, maka adakah orang yang mahu beringat dan insaf?
|
| 16. |
Oleh itu,
perhatikanlah bagaimana buruknya azabKu dan kesan amaran-amaranKu.
|
| 17. |
Dan demi
sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk menjadi peringatan dan
pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran
(daripadanya)?
|
| 18. |
(Demikian
juga) kaum Aad telah mendustakan Rasulnya (lalu mereka dibinasakan); maka
perhatikanlah, bagaimana buruknya azabku dan kesan amaran-amaranKu!
|
| 19. |
Sesungguhnya
Kami telah menghantarkan kepada mereka angin ribut yang kencang, pada hari
nahas yang berlanjutan; -
|
| 20. |
Yang menumbangkan
manusia gugur bergelimpangan, seolah-olah mereka batang-batang pohon kurma
yang terbongkar.
|
| 21. |
Maka perhatikanlah,
bagaimana buruknya azabKu dan kesan amaran-amaranKu!
|
| 22. |
Dan demi
sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk peringatan dan pengajaran,
maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?
|
| 23. |
(Demikian
juga) kaum Thamud telah mendustakan peringatan dan amaran (yang disampaikan
oleh Rasul mereka, Nabi Soleh).
|
| 24. |
Lalu mereka
berkata: Patutkah kita menurut manusia dari jenis kita, lagi yang berseorangan?
Jika demikian, sesungguhnya kita berada dalam keadaan sesat dan gila!
|
| 25. |
Tidaklah
patut wahyu peringatan itu diturunkan kepadanya (padahal orang-orang yang
lebih layak ada) di antara kita. Bahkan dialah seorang pendusta, lagi sombong
angkuh.
|