51. Adz-Dzaariyaat : Part 1 of 3
( 60 Ayat : Ayat 1- 25 )

Part  | 2 | 3 | down


 
 
1. 


Demi angin yang menerbang dan menaburkan (debu, biji-bijian benih, dan lain-lainnya), dengan penerbangan dan penaburan yang sesungguh-sungguhnya, - 

2. 


Dan awan yang membawa dan mengangkut muatannya (ke tempat yang dikehendaki), - 

3. 


Dan kapal-kapal yang belayar laju dengan kemudahan yang diberikan kepadanya, - 

4. 


Dan malaikat-malaikat yang membahagi-bahagikan segala perkara yang mereka ditugaskan membahagikannya; 

5. 


(Sumpah demi sumpah) bahawa sesungguhnya segala yang dijanjikan kepada kamu (mengenai hari akhirat) tetap benar; 

6. 


Dan bahawa sesungguhnya balasan amal, tetap berlaku. 

7. 


Demi langit yang mempunyai jalan-jalan yang berbagai bentuk keadaannya, 

8. 


Sesungguhnya kamu berada dalam keadaan berlainan pendapat (mengenai ugama yang dibawa oleh Nabi Muhammad, s.a.w). 

9. 


Dipalingkan daripada (perselisihan) itu orang-orang yang telah dipalingkan Allah (dengan sebab keikhlasannya mencari kebenaran). 

10. 


Binasalah orang-orang yang sentiasa mengeluarkan pendapat dengan cara agak-agak sahaja, 

11. 


(Iaitu) orang-orang yang tenggelam alam kejahilan, serta lalaikan (hari pembalasan). 

12. 


Mereka bertanya (secara mengejek): "Bilakah datangnya hari pembalasan itu?" 

13. 


(Jawabnya: hari itu ialah) hari mereka diseksa (dengan dibakar) atas api neraka, - 

14. 


(Sambil dikatakan kepada mereka): "Rasalah azab seksa yang disediakan untuk kamu; inilah dia yang dahulu kamu minta disegerakan kedatangannya". 

15. 


Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa adalah ditempatkan di dalam beberapa taman Syurga, dengan matair-matair terpancar padanya. 

16. 


(Keadaan mereka di sana) sentiasa menerima nikmat dan rahmat yang diberikan kepadanya oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka di dunia dahulu adalah orang-orang yang berbuat kebaikan. 

17. 


Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja: masa dari waktu malam, untuk mereka tidur. 

18. 


Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun). 

19. 


Dan pada harta-harta mereka, (ada pula bahagian yang mereka tentukan menjadi) hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta). 

20. 


Dan pada bumi ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan dan kekuasaan Allah) bagi orang-orang (yang mahu mencapai pengetahuan) yang yakin, 

21. 


Dan juga pada diri kamu sendiri. Maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan (dalil-dalil dan bukti itu)? 

22. 


Dan di langit pula terdapat (sebab-sebab) rezeki kamu, dan juga terdapat apa yang telah (ditakdirkan dan) dijanjikan kepada kamu. 

23. 


Maka demi Tuhan langit dan bumi, sesungguhnya (apa yang tersebut) itu tetap benar, (tidak patut diragu-ragukan) sebagaimana (tidak sepatutnya diragukan) benarnya kamu dapat berkata-kata. 

24. 


Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal tetamu Nabi Ibrahim yang dimuliakan? 

25. 


Ketika mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata: "Salam sejahtera kepadamu!" Ia menjawab: Salam sejahtera kepada kamu! "(Sambil berkata dalam hati): mereka ini orang-orang yang tidak dikenal. 

Part 1 of 3 |  Part  | 2 | 3top