|
| 1. |
Qaaf. Demi
Al-Quran yang melimpah-limpah kemuliaan dan kebaikannya (bahawa sesungguhnya
Muhammad adalah Rasul yang diutus memberi peringatan dan amaran).
|
| 2. |
(Kaum musyrik
Makkah bukan sahaja mengingkari kerasulannya) bahkan mereka merasa hairan
kerana datang kepada mereka, dari kalangan mereka sendiri, seorang Rasul
pemberi peringatan dan amaran (mengenai perkara hidup semula sesudah mati);
lalu orang-orang yang kafir itu berkata: "Ini adalah satu perkara yang
menakjubkan!
|
| 3. |
"Adakah
(kita akan kembali hidup) sesudah kita mati dan menjadi tanah? Itu adalah
cara kembali yang jauh (dari kemungkinan, kerana jasad yang telah hancur
tidak dapat diketahui lagi)".
|
| 4. |
(Apa yang
mereka katakan itu tidaklah benar, kerana) Kami sedia mengetahui apa yang
dimakan oleh bumi sedikit demi sedikit dari (tubuh orang mati) mereka,
serta ada di sisi Kami sebuah Kitab yang menyimpan (catitan segala perkara
yang berlaku).
|
| 5. |
(Mereka
tidak mahu berfikir betul) bahkan mereka (terburu-buru) mendustakan kebenaran
apabila sahaja sampainya kepada mereka; oleh sebab itu, mereka berada dalam
keadaan yang serba kacau.
|
| 6. |
(Kalaulah
mereka menyangka Kami tidak berkuasa mengembalikan mereka hidup semula)
maka tidakkah mereka memandang ke langit yang ada di sebelah atas mereka
(dengan tidak bertiang) bagaimana Kami membinanya (dengan rapi) serta Kami
menghiasinya (dengan bintang-bintang), dan dengan keadaan tidak ada padanya
retak-renggang? -
|
| 7. |
Dan juga
(keadaan) bumi ini, (bagaimana) Kami bentangkan dia sebagai hamparan, dan
Kami letakkan padanya gunung-ganang yang terdiri kukuh, serta Kami tumbuhkan
padanya pelbagai jenis tanaman yang indah subur?
|
| 8. |
(Kami adakan
semuanya itu) untuk menjadi perhatian dan peringatan, (yang menunjukkan
jalan kebenaran), kepada tiap-tiap seorang hamba Allah yang mahu kembali
kepadaNya (dengan taat dan berbakti).
|
| 9. |
Dan juga
Kami telah menurunkan dari langit air (hujan) yang banyak faedahnya, lalu
Kami tumbuhkan dengan air itu pokok-pokok tanaman (buah-buahan) dan biji-bijian
yang dituai;
|
| 10. |
Serta pohon-pohon
kurma yang tinggi menjulang, yang mengeluarkan mayang, berlapis-lapis,
lagi lebat putiknya;
|
| 11. |
(Semuanya
itu) sebagai rezeki bagi hamba-hamba Kami. Dan lagi Kami telah hidupkan
dengan air itu bumi yang mati; demikianlah pula keadaan keluarnya (orang-orang
yang mati dari kubur setelah dibangkitkan hidup semula).
|
| 12. |
Sebelum
mereka (yang menentang Nabi Muhammad) itu - kaum Nabi Nuh, dan "Ashaabur-Rassi"
serta Thamud (kaum Nabi Soleh), telah juga mendustakan Rasul masing-masing,
|
| 13. |
Dan juga
Aad (kaum Nabi Hud), dan Firaun, serta kaum Nabi Lut,
|
| 14. |
Dan juga
penduduk "Aikah", serta kaum " Tubba' "; tiap-tiap satu kaum itu telah
mendustakan Rasul-rasul (yang diutus kepadanya), lalu mereka ditimpa azab
yang Aku janjikan.
|
| 15. |
(Setelah
mereka melihat dan memerhatikan makhluk-makhluk yang Kami ciptakan itu)
maka adakah Kami telah lemah dengan ciptaan yang pertama itu (sehingga
Kami tidak dapat mengadakannya semula? Tidak! Dan merekapun tidak mengingkari
kekuasaan Kami). Bahkan mereka berada dalam keadaan keliru dan ragu-ragu
tentang ciptaan makhluk-makhluk (hidup semula) dalam bentuk yang baharu.
|
| 16. |
Dan demi
sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa
yang dibisikkan oleh hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya
daripada urat lehernya,
|
| 17. |
Semasa
dua malaikat (yang mengawal dan menjaganya) menerima dan menulis segala
perkataan dan perbuatannya; yang satu duduk di sebelah kanannya, dan yang
satu lagi di sebelah kirinya.
|
| 18. |
Tidak ada
sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya)
melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima
dan menulisnya).
|
| 19. |
Dan (apabila
sampai ajal seseorang) datanglah "Sakaratulmuat" membawa kebenaran (yang
telah dijanjikan, serta dikatakan kepada yang mengingkarinya sebelum itu):
"Inilah perkara yang engkau selalu mengelak diri daripadanya!"
|
| 20. |
Dan lagi
(apabila sampai saat yang ditentukan) ditiuplah sangkakala (untuk menghidupkan
semula makhluk-makhluk yang telah mati); saat itu ialah hari berlakunya
amaran yang telah diberikan.
|
| 21. |
Dan (setelah
itu) datanglah tiap-tiap orang (ke Padang Mahsyar), disertai (dua malaikat:
yang satu menjadi) pembawa, dan (yang satu lagi menjadi) saksi;
|
| 22. |
(Serta
dikatakan kepadanya): "Demi sesungguhnya! Engkau di dunia dahulu berada
dalam keadaan lalai tentang (perkara hari) ini, maka kami hapuskan kelalaian
yang menyelubungimu itu, lalu pandanganmu pada hari ini menjadi tajam (dapat
menyaksikan dengan jelasnya perkara-perkara hari akhirat)".
|
| 23. |
Dan berkatalah
malaikat yang sentiasa ada bersama-samanya: "Inilah (Kitab catitan iman
dan amal) orang yang terletak dalam jagaanku, siap sedia (untuk dibicarakan)".
|
| 24. |
(Setelah
tiap-tiap orang dibicarakan, Allah berfirman kepada kedua malaikat yang
menjadi pembawa dan saksi itu): "Humbankanlah oleh kamu berdua, ke dalam
neraka Jahannam tiap-tiap orang yang tetap degil dalam kekufurannya; -
|
| 25. |
"Yang sering
menghalangi jenis kebajikan, yang melanggar hukum ugama, lagi yang meragukan
kebenaran,
|