|
| 1. |
Wahai orang-orang
yang beriman! Janganlah kamu memandai-mandai (melakukan sesuatu perkara)
sebelum (mendapat hukum atau kebenaran) Allah dan RasulNya; dan bertaqwalah
kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
|
| 2. |
Wahai orang-orang
yang beriman! Janganlah kamu mengangkat suara kamu melebihi suara Nabi,
dan janganlah kamu menyaringkan suara (dengan lantang) semasa bercakap
dengannya sebagaimana setengah kamu menyaringkan suaranya semasa bercakap
dengan setengahnya yang lain. (Larangan yang demikian) supaya amal-amal
kamu tidak hapus pahalanya, sedang kamu tidak menyedarinya.
|
| 3. |
Sesungguhnya
orang-orang yang merendahkan suaranya semasa mereka berada di sisi Rasulullah
(s.a.w), - merekalah orang-orang yang telah dibersihkan Allah hati mereka
untuk bertaqwa; mereka beroleh keampunan dan pahala yang besar.
|
| 4. |
Sesungguhnya
orang-orang yang memanggilmu dari luar bilik-bilik (tempat ahlimu, wahai
Muhammad), kebanyakan mereka tidak mengerti (adab dan tata tertib).
|
| 5. |
Dan kalaulah
mereka bersabar menunggu sehingga engkau keluar menemui mereka, tentulah
cara yang demikian lebih baik bagi mereka; dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun,
lagi Maha Mengasihani.
|
| 6. |
Wahai orang-orang
yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita,
maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan
sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan
kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah
lakukan.
|
| 7. |
Dan ketahuilah!
Bahawasanya dalam kalangan kamu ada Rasulullah (maka janganlah kemahuan
atau pendapat kamu mendahului pentadbirannya); kalaulah ia menurut kehendak
kamu dalam kebanyakan perkara, tentulah kamu akan mengalami kesukaran;
akan tetapi (Rasulullah tidak menurut melainkan perkara yang diwahyukan
kepadanya, dan kamu wahai orang-orang yang beriman hendaklah bersyukur
kerana) Allah menjadikan iman suatu perkara yang kamu cintai serta di perhiaskannya
dalam hati kamu, dan menjadikan kekufuran dan perbuatan fasik serta perbuatan
derhaka itu: perkara-perkara yang kamu benci; mereka yang bersifat demikian
ialah orang-orang yang tetap menurut jalan yang lurus; -
|
| 8. |
(Mereka
dijadikan berkeadaan demikian) sebagai limpah kurnia dan nikmat pemberian
dari Allah; dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
|
| 9. |
Dan jika
dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara
keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah
puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia
kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut
hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya
Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.
|
| 10. |
Sebenarnya
orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara
dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah
supaya kamu beroleh rahmat.
|
| 11. |
Wahai orang-orang
yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan
puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik
daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh
dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang
dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu
menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil
antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan
yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka)
amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman.
Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya)
maka merekalah orang-orang yang zalim.
|
| 12. |
Wahai orang-orang
yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka
sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu
adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan
keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain.
Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati?
(Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya.
(Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu
kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.
|
| 13. |
Wahai umat
manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan,
dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya
kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).
Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya
di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya
Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan
dan amalan kamu).
|
| 14. |
Orang-orang
" A'raab" berkata: " Kami telah beriman". Katakanlah (wahai Muhammad):
"Kamu belum beriman, (janganlah berkata demikian), tetapi sementara iman
belum lagi meresap masuk ke dalam hati kamu berkatalah sahaja: ` kami telah
Islam '. Dan (ingatlah), jika kamu taat kepada Allah RasulNya (zahir dan
batin), Allah tidak akan mengurangkan sedikitpun dari pahala amal-amal
kamu, kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani".
|
| 15. |
Sesungguhnya
orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya
kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak
ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka
pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya).
|
| 16. |
Katakanlah
(kepada orang-orang "A'raab" itu wahai Muhammad): "Patutkah kamu hendak
memberitahu kepada Allah tentang ugama kamu (dengan berkata: ` kami telah
beriman ')? Padahal Allah mengetahui segala yang ada di langit dan yang
ada di bumi, dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu".
|
| 17. |
Mereka
mengira dirinya berbudi kepadamu (wahai Muhammad) dengan sebab mereka telah
Islam (tidak melawan dan tidak menentang). Katakanlah (kepada mereka):
"Janganlah kamu mengira keislaman kamu itu sebagai budi kepadaku, bahkan
(kalaulah sah dakwaan kamu itu sekalipun maka) Allah jualah yang berhak
membangkit-bangkitkan budiNya kepada kamu, kerana Dia lah yang memimpin
kamu kepada iman (yang kamu dakwakan itu), kalau betul kamu orang-orang
yang benar (pengakuan imannya).
|
| 18. |
"Sesungguhnya
Allah mengetahui segala rahsia langit dan bumi, dan Allah Maha Melihat
akan segala yang kamu kerjakan".
|