|
| 1. |
Sesungguhnya
Kami telah membuka bagi perjuanganmu (wahai Muhammad) satu jalan kemenangan
yang jelas nyata,
|
| 2. |
Kemenangan
yang dengan sebabnya Allah mengampunkan salah dan silapmu yang telah lalu
dan yang terkemudian, dan menyempurnakan nikmatNya kepadamu, serta menambahkanmu
hidayah ke jalan yang lurus (dalam mengembangkan Islam dan melaksanakan
hukum-hukumnya).
|
| 3. |
Dan dengan
sebabnya Allah memberikanmu pertolongan (untuk mencapai kejayaan) dengan
sepunuh-penuh dan sehandal-handal pertolongan (yang tidak ada bandingannya).
|
| 4. |
(Tuhan
yang membuka jalan kemenangan itu) Dia lah yang menurunkan semangat tenang
tenteram ke dalam hati orang-orang yang beriman (semasa mereka meradang
terhadap angkara musuh) supaya mereka bertambah iman dan yakin beserta
dengan iman dan keyakinan mereka yang sedia ada; pada hal Allah menguasai
tentera langit dan bumi (untuk menolong mereka); dan Allah adalah Maha
Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
|
| 5. |
(Allah
melakukan yang demikian) supaya ia memasukkan orang-orang yang beriman
- lelaki dan perempuan - ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa
sungai; dengan keadaan kekal mereka di dalamnya, serta menghapuskan dosa-dosa
mereka; dan adalah yang demikian itu pada sisi Allah merupakan kejayaan
yang besar (untuk mereka);
|
| 6. |
Dan supaya
Ia menyeksa orang-orang munafik - lelaki dan perempuan, dan orang-orang
musyrik - lelaki dan perempuan, yang menyangka terhadap Allah dengan sangkaan
yang buruk (bahawa Ia akan mengecewakan RasulNya). Atas merekalah tertimpanya
bala bencana yang dibawa oleh peredaran zaman; dan (selain itu) Allah murkai
mereka dan melaknatkan mereka serta menyediakan untuk mereka neraka Jahannam;
sedang neraka Jahannam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.
|
| 7. |
Dan Allah
menguasai tentera langit dan bumi (untuk menyeksa orang-orang yang derhaka);
dan Allah adalah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
|
| 8. |
Sesungguhnya
Kami telah mengutusmu (wahai Muhammad) sebagai Rasul yang menjadi saksi
(yang diterima keterangannya), dan sebagai pembawa berita gembira (kepada
orang-orang yang beriman), serta pemberi amaran (kepada orang-orang yang
ingkar).
|
| 9. |
(Kami mengutusmu
wahai Muhammad) supaya engkau dan umatmu beriman kepada Allah dan RasulNya,
dan supaya kamu kuatkan ugamaNya serta memuliakanNya, dan supaya kamu beribadat
kepadaNya pada waktu pagi dan petang.
|
| 10. |
Sesungguhnya
orang-orang yang memberi pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad
- untuk berjuang menentang musuh), mereka hanyasanya memberikan pengakuan
taat setia kepada Allah; Allah mengawasi keadaan mereka memberikan taat
setia itu (untuk membalasnya). Oleh itu, sesiapa yang tidak menyempurnakan
janji setianya maka bahaya tidak menyempurnakan itu hanya menimpa dirinya;
dan sesiapa yang menyempurnakan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah,
maka Allah akan memberi kepadanya pahala yang besar.
|
| 11. |
Orang-orang
"A'raab" (kaum Arab Badwi) yang ketinggalan tidak turut (bersama-sama denganmu
ke Hudaibiyah), akan berkata kepadamu (wahai Muhammad): "Kami telah dihalangi
oleh urusan menjaga keselamatan harta benda dan anak isteri kami; oleh
itu, pohonkanlah ampun kepada Allah untuk kami". Mereka berkata dengan
lidahnya apa yang tidak ada dalam hatinya. Katakanlah (wahai Muhammad:
"Jika demikian sebab ketinggalan kamu) maka adakah sesiapa yang berkuasa
mempertahankan kamu daripada terkena atau menerima sesuatu ketetapan dari
Allah jika Ia tetapkan kamu ditimpa bahaya atau beroleh manfaat? (Tidak
ada sesiapapun, dan apa yang kamu katakan itu bukanlah menjadi sebab) bahkan
Allah adalah Maha Mendalam pengetahuanNya tentang sebab ketinggalan yang
kamu lakukan itu (dan Ia akan membalasnya).
|
| 12. |
"(Itu bukanlah
sebabnya) bahkan sebabnya kamu telah menyangka bahawa Rasulullah dan orang-orang
yang beriman (yang pergi berperang akan binasa semuanya dan) tidak akan
kembali lagi kepada akan isteri dan keluarga masing-masing selama-lamanya;
dan sangkaan yang demikian itu diperelokkan (oleh Syaitan) di dalam hati
kamu (serta menerimanya); dan lagi kamu telah menyangka berbagai-bagai
sangkaan yang buruk (terhadap ugama Allah yang dibawa oleh RasulNya); dan
(dengan itu) menjadilah kamu kaum yang rosak binasa".
|
| 13. |
Dan (ingatlah
bahawa) sesiapa yang tidak beriman kepada Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya
Kami sediakan bagi orang-orang kafir itu api neraka yang menjulang-julang.
|
| 14. |
Dan (ingatlah
juga bahawa) kuasa pemerintahan langit dan bumi adalah hak kepunyaan Allah,
Ia berkuasa mengampunkan sesiapa yang dikehendakiNya, dan Ia juga berkuasa
menyeksa sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah adalah Maha Pengampun,
lagi Maha Mengasihani.
|
| 15. |
Orang-orang
(munafik) yang tidak turut berjuang (bersama-sama kamu) akan berkata semasa
kamu pergi (mengepong musuh serta) mendapat harta rampasan perang: Biarkanlah
kami turut serta dengan kamu!" Mereka (dengan itu) hendak mengubah janji
Allah (yang menentukan hanya orang-orang yang turut hadir di Hudaibiyah
sahaja yang berhak mendapat harta rampasan perang itu). Katakanlah (wahai
Muhammad): "Kamu tidak dibenarkan sama sekali turut serta dengan kami;
demikianlah Allah menegaskan (larangan itu) semenjak dahulu lagi". Mereka
akan berkata pula: "(Bukan Tuhan yang melarang) bahkan kamu dengki kepada
kami", (apa yang mereka katakan itu tidaklah benar), bahkan mereka tidak
faham kecuali sedikit sahaja; (mereka hanya faham tentang kehidupan dan
kesenangan dunia semata-mata).
|
| 16. |
Katakanlah
(wahai Muhammad) kepada orang-orang yang tidak turut berjuang (bersama-samamu)
dari kalangan kaum-kaum Arab Badwi: "Kamu akan diajak menentang satu kaum
(penceroboh) yang sangat kuat gagah supaya kamu memeranginya, atau mereka
menurut perintah Islam (secara damai). Jika kamu taat (menjalankan perintah
Allah ini), Allah akan mengurniakan kamu dengan balasan yang baik (di dunia
dan akhirat), dan kalau kamu berpaling ingkar seperti keingkaran dahulu,
nescaya Allah akan menyeksa kamu dengan azab yang tidak terperi sakitnya".
|
| 17. |
Tidaklah
menjadi salah kepada orang buta, dan tidaklah menjadi salah kepada orang
tempang, dan tidaklah menjadi salah kepada orang sakit (tidak turut berperang,
kerana masing-masing ada uzurnya). Dan (ingatlah), sesiapa yang taat kepada
Allah dan RasulNya, akan dimasukkanNya ke dalam Syurga yang mengalir di
bawahnya beberapa sungai; dan sesiapa yang berpaling ingkar, akan diseksaNya
dengan azab yang tidak terperi sakitnya.
|
| 18. |
Demi sesungguhnya!
Allah reda akan orang-orang yang beriman, ketika mereka memberikan pengakuan
taat setia kepadamu (wahai Muhammad) di bawah naungan pohon (yang termaklum
di Hudaibiyah); maka (dengan itu) ternyata apa yang sedia diketahuiNya
tentang (kebenaran iman dan taat setia) yang ada dalam hati mereka, lalu
Ia menurunkan semangat tenang tenteram kepada mereka, dan membalas mereka
dengan kemenangan yang dekat masa datangnya;
|
| 19. |
Dan juga
dengan banyak harta rampasan perang, yang mereka akan dapat mengambilnya.
Dan (ingatlah), Allah adalah Maha kuasa, lagi Maha Bijaksana.
|
| 20. |
(Sebagai
memuliakan orang-orang yang memberi pengakuan taat setianya di Hudaibiyah,
Tuhan menujukan firmannya kepada mereka): Allah menjanjikan kepada kamu
harta rampasan yang banyak yang kamu akan mengambilnya, lalu Ia menyegerakan
untuk kamu harta rampasan perang ini, serta Ia telah menahan tangan manusia
(pihak musuh di situ) daripada menyerang kamu; (Allah melakukan yang demikian
supaya kamu beroleh manfaat) dan supaya menjadi tanda (yang membuktikan
kebenaran janjiNya) bagi orang-orang yang beriman, dan juga supaya Ia menambahkan
kamu hidayah ke jalan yang lurus.
|
| 21. |
Dan ada
lagi harta rampasan lain yang kamu belum dapat menguasainya, (tetapi) Allah
telah memelihara harta itu dengan kekuasaanNya (untuk kamu mendapatnya);
dan (ingatlah), Allah adalah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
|
| 22. |
Dan sekiranya
orang-orang kafir (dari penduduk Makkah) itu memerangi kamu (di Hudaibiyah),
tentulah mereka akan berpaling melarikan diri dengan kekalahan; kemudian
mereka tidak akan beroleh sesiapapun yang menjadi pelindung atau memberikan
pertolongan.
|
| 23. |
(Kekalahan
orang-orang yang menentang Rasul Allah sudah tetap menurut) "Sunnatullah"
(peraturan Allah) yang telah berlaku semenjak dahulu lagi; dan engkau tidak
akan mendapati sebarang perubahan bagi cara dan peraturan Allah itu.
|
| 24. |
Dan Dia
lah yang telah menahan tangan mereka (yang musyrik) daripada melakukan
perkara yang buruk terhadap kamu, dan tangan kamu daripada berbuat demikian
kepada mereka di kawasan Makkah, sesudah Ia menjadikan kamu dapat menewaskan
mereka. Dan (ingatlah), Allah adalah Maha Melihat akan segala yang kamu
kerjakan.
|
| 25. |
Mereka
itulah orang-orang yang kafir dan menghalang kamu daripada masuk ke masjid
Al-Haraam (Makkah Al-Mukarramah) serta (menyebabkan) binatang-binatang
korban (yang kamu bawa): tertahan dari sampai ke tempat sembelihannya.
Dan kalaulah tidak kerana kemungkinan kamu akan melakukan pembunuhan yang
tidak sengaja terhadap beberapa orang yang beriman, lelaki dan perempuan,
yang ada di antara orang-orang kafir itu, pada hal kamu tidak mengetahui
mereka beriman, yang akibatnya kamu akan menanggung kesusahan dan dukacita
disebabkan pembunuhan mereka, - (tentulah diizinkan kamu menyerang kaum
musyrik yang mengancam kamu itu). (Tetapi tidak diizinkan) kerana Allah
hendak memasukkan sesiapa yang dikehendakiNya ke dalam rahmatNya. Kalaulah
mereka (penduduk Makkah - yang beriman dan yang musyrik) itu berpisahan
(di antara satu puak dengan yang lain), tentulah Kami menyeksa orang-orang
yang kafir dari mereka dengan seksa (di dunia) yang tidak terperi sakitnya.
|