|
| 26. |
Dan demi
sesungguhnya! Kami telah meneguhkan kedudukan mereka (dengan kekuasaan
dan kemewahan) yang tidak Kami berikan kamu menguasainya (wahai kaum musyrik
Makkah), dan Kami telah jadikan bagi mereka pendengaran dan penglihatan
serta hati; dalam pada itu, pendengaran dan penglihatan serta hati mereka
tidak memberikan faedah sedikitpun kepada mereka, kerana mereka sentiasa
mengingkari ayat-ayat keterangan Allah; dan (dengan yang demikian) mereka
diliputi oleh azab yang mereka telah ejek-ejek itu.
|
| 27. |
Dan demi
sesungguhnya! Kami telah binasakan negeri-negeri yang ada di sekeliling
(negeri) kamu (wahai kaum musyrik Makkah), dan Kami telah menerangkan tanda-tanda
(kekuasaan Kami) dengan berbagai cara, supaya mereka kembali (bertaubat).
|
| 28. |
Maka sepatutnya
mereka dibela oleh segala yang mereka sembah yang lain dari Allah sebagai
penyembahan untuk mendekatkan diri (kepada Allah)? (Tetapi tidak), bahkan
segala yang mereka sembah itu telah hilang lenyap dari mereka. Dan demikianlah
akibat penyelewengan mereka dan kepercayaan yang mereka telah ada-adakan.
|
| 29. |
Dan (ingatkanlah
peristiwa) semasa Kami menghalakan satu rombongan jin datang kepadamu (wahai
Muhammad) untuk mendengar Al-Quran; setelah mereka menghadiri bacaannya,
berkatalah (setengahnya kepada yang lain): "Diamlah kamu dengan sebulat-bulat
ingatan untuk mendengarnya!" Kemudian setelah selesai bacaan itu, kembalilah
mereka kepada kaumnya (menyiarkan ajaran Al-Quran itu dengan) memberi peringatan
dan amaran.
|
| 30. |
Mereka
berkata: "Wahai kaum kami! Sesungguhnya kami telah mendengar Kitab (Al-Quran)
yang diturunkan (oleh Allah) sesudah Nabi Musa, yang menegaskan kebenaran
Kitab-kitab Suci yang terdahulu daripadanya, lagi, memandu kepada kebenaran
(tauhid) dan ke jalan yang lurus (ugama Islam)
|
| 31. |
"Wahai
kaum kami! Sahutlah (seruan) Rasul (Nabi Muhammad) yang mengajak ke jalan
Allah, serta berimanlah kamu kepadanya, supaya Allah mengampunkan sebahagian
dari dosa-dosa kamu, dan menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak
terperi sakitnya.
|
| 32. |
"Dan sesiapa
tidak menyahut (seruan) Rasul yang mengajaknya ke jalan Allah, maka ia
tidak akan dapat melepaskan diri (dari balasan azab walau ke mana sahaja
ia melarikan diri) di bumi, dan ia tidak akan beroleh sesiapapun - yang
lain dari Allah - sebagai pelindung-pelindung yang membelanya; mereka (yang
demikian sifatnya) adalah dalam kesesatan yang nyata". |
| 33. |
Masihkah
mereka ingkar dan tidak mahu memikir serta mengetahui bahawa sesungguhnya
Allah yang telah menciptakan langit dan bumi dengan tidak mengalami kesukaran
dalam menciptakannya - berkuasa menghidupkan makhluk-makhluk yang telah
mati? Sudah tentu berkuasa! Sesungguhnya Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
|
| 34. |
Dan (ingatlah)
hari orang-orang yang kafir didedahkan kepada neraka, (lalu dikatakan kepada
mereka): "Bukankah (azab) neraka ini benar?" Mereka menjawab: "Ya, benar,
demi Tuhan kami!" (Setelah itu) dikatakan lagi (kepada mereka): "Maka sekarang
rasalah azab seksa dengan sebab kamu kufur ingkar di dunia dahulu. "
|
| 35. |
(Jika demikian
akibat orang-orang kafir yang menentangmu wahai Muhammad) maka bersabarlah
engkau sebagaimana sabarnya Rasul-rasul "Ulil-Azmi" (yang mempunyai keazaman
dan ketabahan hati) dari kalangan Rasul-rasul (yang terdahulu daripadamu);
dan janganlah engkau meminta disegerakan azab untuk mereka (yang menentangmu
itu). Sesungguhnya keadaan mereka semasa melihat azab yang dijanjikan kepada
mereka, merasai seolah-olah mereka tidak tinggal (di dunia) melainkan sekadar
satu saat sahaja dari siang hari. (Penerangan yang demikian) cukuplah menjadi
pelajaran (bagi orang-orang yang mahu insaf). Maka (ingatlah) tidak dibinasakan
melainkan kaum yang fasik - derhaka.
|