|
| 26. |
Katakanlah
(wahai Muhammad): "Allah yang menghidupkan kamu, kemudian Ia akan mematikan
kamu, setelah itu Ia akan menghimpunkan kamu (dalam keadaan hidup semula)
pada hari kiamat - (hari) yang tidak ada sebarang syak tentang kedatangannya;
akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (ketetapan itu)".
|
| 27. |
Dan bagi
Allah jualah kuasa pemerintahan langit dan bumi; dan ketika berlakunya
hari kiamat, pada saat itulah ruginya orang-orang yang berpegang kepada
perkara yang salah.
|
| 28. |
Dan (pada
hari kiamat) engkau akan melihat tiap-tiap umat berlutut (dalam keadaan
cemas dan menunggu panggilan); tiap-tiap umat diseru untuk menerima kitab
suratan amalnya (serta dikatakan kepada mereka): "Pada hari ini kamu akan
dibalas menurut apa yang kamu telah kerjakan!
|
| 29. |
"Inilah
surat (tulisan malaikat) Kami, ia memberi keterangan terhadap kamu dengan
yang benar, kerana sesungguhnya Kami telah (perintahkan malaikat) menulis
segala yang kamu telah lakukan (di dunia dahulu)!"
|
| 30. |
Adapun
orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka akan dimasukkan
oleh Tuhan mereka ke dalam rahmatNya; yang demikian itu ialah kemenangan
yang besar.
|
| 31. |
Adapun
orang-orang yang kafir, (maka mereka akan ditempelak dengan dikatakan kepada
mereka): "Bukankah ayat-ayatku telah disampaikan dan dibacakan kepada kamu,
lalu kamu berlaku sombong takbur (mengingkarinya), serta menjadi kaum yang
sentiasa melakukan kesalahan?
|
| 32. |
"Dan apabila
dikatakan (kepada kamu): ` Sesungguhnya janji Allah (membalas amal kamu)
adalah benar, dan hari kiamat tidak ada sebarang syak tentang kedatangannya
', kamu berkata: ` Kami tidak mengetahui apa dia hari kiamat itu; kami
hanya mengira (kemungkinannya) sebagai sangkaan jua, dan kami tidak sekali-kali
meyakininya '."
|
| 33. |
Dan (pada
ketika itu) ternyatalah kepada mereka balasan kejahatan-kejahatan yang
mereka telah lakukan, serta mereka diliputi oleh azab yang mereka ejek-ejek
itu!
|
| 34. |
Dan dikatakan
(kepada mereka): "Pada hari ini Kami tidak hiraukan kamu (menderita di
dalam azab seksa) sebagaimana kamu tidak hiraukan persediaan untuk menemui
hari kamu ini; dan tempat kamu ialah neraka, dan kamu tidak akan beroleh
sesiapapun yang dapat memberikan pertolongan.
|
| 35. |
"(Balasan
buruk) yang demikian ini ialah kerana kamu telah menjadikan ayat-ayat keterangan
Allah sebagai ejek-ejekan, dan kerana kamu telah membiarkan diri kamu diperdayakan
oleh kehidupan dunia". Maka pada hari itu mereka tidak akan dikeluarkan
dari neraka, dan mereka tidak diberi peluang untuk bertaubat (memperbaiki
kesalahannya).
|
| 36. |
(Demikianlah
ajaran dan peringatan Allah Yang Maha Adil) maka bagi Allah jualah tertentu
segala pujian, Tuhan yang mentadbirkan langit, dan Tuhan yang mentadbirkan
bumi, - Tuhan sekalian alam.
|
| 37. |
Dan bagiNyalah
keagungan dan kekuasaan di langit dan di bumi; dan dia lah Yang Maha Kuasa,
lagi Maha Bijaksana.
|