|
| 1. |
Haa, Miim.
|
| 2. |
Turunnya
Al-Quran ini, dari Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
|
| 3. |
Sesungguhnya
pada langit dan bumi terdapat tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah)
bagi orang-orang yang beriman.
|
| 4. |
Dan pada
kejadian diri kamu sendiri, serta (pada kejadian) segala binatang yang
dibiakkanNya, terdapat juga tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah)
bagi orang-orang yang meyakininya.
|
| 5. |
Dan (pada)
pertukaran malam dan siang silih berganti, dan juga (pada) rezeki yang
diturunkan oleh Allah dari langit, lalu Ia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan
di bumi sesudah matinya, serta (pada) peredaran angin, (semuanya itu mengandungi)
tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah, kekuasaanNya, kebijaksanaanNya,
serta keluasan rahmatNya) bagi kaum yang mahu menggunakan akal fikiran.
|
| 6. |
Itulah
ayat-ayat penerangan Allah yang kami bacakan kepadamu (wahai Muhammad)
kerana menegakkan kebenaran; maka dengan perkataan yang manakah lagi mereka
hendak beriman, sesudah penerangan Allah dan tanda-tanda kekuasaanNya (mereka
tidak mahu memahami dan menelitinya)?
|
| 7. |
Kecelakaanlah
bagi tiap-tiap pendusta yang berdosa, -
|
| 8. |
Yang mendengar
ayat-ayat penerangan Allah sentiasa dibacakan kepadanya, kemudian dia terus
berlagak sombong (enggan menerimanya), seolah-olah ia tidak mendengarnya;
oleh itu gembirakanlah dia dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
|
| 9. |
Dan apabila
sampai ke pengetahuannya sesuatu dari ayat-ayat penerangan Kami, ia menjadikannya
ejek-ejekan; mereka yang demikian keadaannya, akan beroleh azab yang menghina.
|
| 10. |
Di hadapan
mereka (di akhirat kelak) ada neraka Jahannam (yang disediakan untuk mereka),
dan apa jua yang mereka usahakan, tidak dapat menyelematkan mereka sedikit
pun; demikian juga yang mereka sembah atau puja selain Allah, tidak dapat
memberikan sebarang perlindungan; dan (kesudahannya) mereka akan beroleh
azab seksa yang besar.
|
| 11. |
Al-Quran
ini ialah hidayah petunjuk yang cukup lengkap; dan orang-orang yang kufur
ingkar akan ayat-ayat penerangan Tuhannya, mereka akan beroleh azab dari
jenis azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
|
| 12. |
Allah yang
memudahkan laut bagi kegunaan kamu, supaya kapal-kapal belayar padanya
dengan perintahNya, dan supaya kamu mencari rezeki dari limpah kurniaNya,
dan juga supaya kamu bersyukur.
|
| 13. |
Dan Ia
memudahkan untuk (faedah dan kegunaan) kamu, segala yang ada di langit
dan yang ada di bumi, (sebagai rahmat pemberian) daripadaNya; sesungguhnya
semuanya itu mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kemurahan dan kekuasaanNya)
bagi kaum yang memikirkannya dengan teliti.
|
| 14. |
Katakanlah
(wahai Muhammad) kepada orang-orang yang beriman: hendaklah mereka memaafkan
(kejahatan dan gangguan) orang-orang yang tidak menaruh ingatan kepada
hari-hari (pembalasan yang telah ditentukan) Allah; (disuruh berbuat demikian),
kerana Allah akan memberi kepada satu-satu puak: balasan yang patut dengan
apa yang mereka telah usahakan.
|
| 15. |
(Tiap-tiap
balasan berdasarkan kaedah): Sesiapa yang mengerjakan amal soleh, maka
faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri; dan sesiapa yang berbuat
kejahatan, maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri; kemudian kamu akan
dikembalikan kepada Tuhan kamu.
|
| 16. |
Dan demi
sesungguhnya, Kami telah memberi kepada Bani Israil Kitab Taurat, dan pangkat
kehakiman serta pangkat kenabian; dan Kami telah kurniakan mereka benda-benda
yang baik-baik, serta Kami lebihkan (nenek moyang) mereka di atas orang-orang
yang ada pada zamannya.
|
| 17. |
Dan lagi
Kami telah berikan mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata mengenai
perkara ugama; maka mereka tidak berselisihan (dalam perkara ugama itu)
melainkan setelah sampai kepada mereka ajaran-ajaran yang memberi mereka
mengetahui (apa yang baik dan yang sebaliknya; berlakunya yang demikian)
kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Sesungguhnya Tuhanmu
akan menghukum di antara mereka pada hari kiamat tentang apa yang mereka
perselisihkan itu.
|
| 18. |
Kesudahannya
Kami jadikan engkau (wahai Muhammad dan utuskan engkau) menjalankan satu
Syariat (yang cukup lengkap) dari hukum-hukum ugama; maka turutlah Syariat
itu, dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui
(perkara yang benar).
|
| 19. |
Sesungguhnya
mereka tidak sekali-kali akan dapat menyelamatkanmu sedikitpun dari (azab)
Allah (kalau engkau menurut mereka); dan sesungguhnya orang-orang yang
zalim itu setengahnya menjadi penolong dan penyokong bagi setengahnya yang
lain (dalam perkara yang salah); dan (sebaliknya) Allah menjadi penolong
dan pelindung bagi orang-orang yang bertaqwa (yang engkaulah pemimpinnya).
|
| 20. |
Al-Quran
ini menjadi panduan-panduan yang membuka matahati manusia, dan menjadi
hidayah petunjuk serta membawa rahmat bagi kaum yang meyakini (kebenarannya).
|
| 21. |
Patutkah
orang-orang yang melakukan kejahatan menyangka bahawa Kami akan menjadikan
mereka seperti orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dengan menyamakan
keadaan (mereka semua) semasa mereka hidup dan semasa mereka mati? Buruk
sungguh apa yang mereka hukumkan itu.
|
| 22. |
Dan (ingatlah),
Allah menciptakan langit dan bumi dengan cara yang sungguh layak dan berhikmat
(untuk membuktikan keesaanNya dan keadilanNya), dan supaya tiap-tiap diri
diberi balasan dengan apa yang mereka telah kerjakan (baik atau jahat),
sedang mereka tidak dikurangkan balasannya sedikitpun.
|
| 23. |
Dengan
yang demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang
menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipatuhinya, dan ia pula disesatkan
oleh Allah kerana diketahuiNya (bahawa ia tetap kufur ingkar), dan dimeteraikan
pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas
penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk
kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu,
mengapa kamu (wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf?
|
| 24. |
Dan mereka
berkata: "Tiadalah hidup yang lain selain daripada hidup kita di dunia
ini. Kita mati dan kita hidup (silih berganti); dan tiadalah yang membinasakan
kita melainkan edaran zaman". Pada hal mereka tidak mempunyai sebarang
pengetahuan tentang hal itu; mereka hanyalah menurut sangkaan semata-mata.
|
| 25. |
Dan apabila
dibacakan kepada mereka ayat-ayat keterangan Kami yang jelas nyata (mengenai
soal hidup semula sesudah mati), tidaklah ada hujah mereka (untuk menolak
kebenarannya) selain daripada berkata: "Bawakanlah datuk nenek kami (hidup
semula) kalau betul kami orang-orang yang benar!"
|