|
| 76. |
Dan tidaklah
kami menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri.
|
| 77. |
Dan mereka
menyeru (ketua malaikat penjaga neraka, dengan berkata): "Wahai Malik!
Biarlah hendaknya Tuhanmu mematikan kami (kerana kami tidak tahan menderita)!"
Maalik menjawab: "Sesungguhnya kamu tetap kekal di dalam azab!"
|
| 78. |
(Bagi menyatakan
sebabnya mereka dibiarkan di dalam azab, Allah Taala berfirman): "Demi
sesungguhnya! Kami telah menyampaikan kebenaran kepada kamu (melalui Rasul
Kami), akan tetapi kebanyakan kamu (telah menentangnya, kerana kamu) tidak
suka kepada kebenaran itu".
|
| 79. |
Bahkan
mereka (yang kafir) itu telah mengambil keputusan menjalankan satu rancangan
(hendak membunuh Rasul Kami), maka Kami juga mengambil keputusan (menggagalkan
rancangan mereka).
|
| 80. |
Patutkah
mereka menyangka bahawa Kami tidak mendengar apa yang mereka sembunyikan
(di dalam hati) dan apa yang mereka perkatakan (dengan berbisik) sesama
sendiri? (Bukan sebagaimana yang mereka sangka) bahkan utusan-utusan Kami
(malaikat) yang menjaga mereka, ada menulis segala yang mereka lakukan.
|
| 81. |
Katakanlah
(Wahai Muhammad, kepada mereka yang musyrik itu): "Kalau betul Allah yang
maha pemurah, mempunyai anak (sebagaimana yang kamu dakwakan) maka akulah
orang yang awal pertama yang akan menyembah anak itu; (tetapi dakwaan kamu
itu tidak berasas)!"
|
| 82. |
Maha Suci
Allah Tuhan yang menciptakan langit dan bumi, - tuhan yang mempunyai Arasy
(yang melambangkan kebesarannya), - (Maha Sucilah Ia) dari apa yang mereka
katakan itu.
|
| 83. |
Oleh itu,
biarkanlah mereka (wahai Muhammad) tenggelam dalam kesesatan mereka dan
leka bermain-main (dalam dunia mereka), sehingga mereka menemui hari yang
dijanjikan kepada mereka (untuk menerima balasan).
|
| 84. |
Dan (ingatlah),
Allah jualah Tuhan yang berhak disembah di langit, dan Dia lah Tuhan yang
berhak disembah di bumi; dan Dia lah jua Yang Maha Bijaksana, lagi Maha
Mengetahui.
|
| 85. |
Dan Maha
Tinggilah Kebesaran Tuhan yang menguasai langit dan bumi serta segala yang
ada di antara keduanya; dan Dia lah jua yang mengetahui tentang (masa datangnya)
hari kiamat; dan kepadanyalah kamu semua akan dikembalikan.
|
| 86. |
Dan segala
yang mereka sembah yang lain dari Allah, tidak mempunyai sebarang kuasa
untuk memberikan syafaat pertolongan, kecuali sesiapa yang memberi penerangan
mengakui kebenaran dengan mentauhidkan Allah, Tuhan Yang Sebenar-benarnya
secara mereka mengetahuiNya dengan yakin (bukan dengan kata-kata orang;
maka merekalah yang mungkin diizinkan memberi dan mendapat syafaat itu).
|
| 87. |
Dan demi
sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: "Siapakah
yang menciptakan mereka?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah!". (Jika
demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan (dari menyembah dan mengesakanNya)?
|
| 88. |
Dan (Dia
lah Tuhan yang Mengetahui rayuan Nabi Muhammad) yang berkata: Wahai TuhanKu!
Sesungguhnya mereka ini adalah satu kaum yang tidak mahu beriman (maka
terserahlah kepadaMu untuk mengadilinya)!"
|
| 89. |
(Tuhan
menjawab rayuannya dengan berfirman): "Jika demikian, maka janganlah engkau
(wahai Muhammad) hiraukan mereka, dan katakanlah: ` Selamat tinggalah!
' Kemudian mereka akan mengetahui kelak (akibat keingkarannya)! "
|