|
| 26. |
Dan (ingatkanlah
peristiwa) ketika Nabi Ibrahim berkata kepada bapanya dan kaumnya: "Sesungguhnya
aku berlepas diri dari apa yang kamu sembah -
|
| 27. |
"Yang lain
dari Tuhan yang menciptakan daku, kerana sesungguhnya Ia tetap memberi
hidayah petunjuk kepadaku".
|
| 28. |
Dan Nabi
Ibrahim menjadikan kalimah tauhid itu tetap kekal pada keturunannya, supaya
mereka kembali (kepada tauhid itu, jika ada yang menyeleweng kepada syirik).
|
| 29. |
(Kebanyakan
mereka tidak kembali kepada tauhid, dan Aku pula tidak segerakan azab mereka)
bahkan Aku memberikan mereka dan datuk nenek mereka menikmati kesenangan
hidup, sehingga datanglah kepada mereka kebenaran (Al-Quran), dan seorang
Rasul yang menerangkan tauhid.
|
| 30. |
Dan ketika
kebenaran (Al-Quran) itu disampaikan kepada mereka, berkatalah mereka:
"Sesungguhnya ini adalah sihir, dan sesungguhnya kami tetap mengingkarinya".
|
| 31. |
Dan (kerana
mereka mencemuh Nabi Muhammad) mereka berkata: "(Kalaulah Al-Quran ini
menjadi bukti kenabian seseorang, maka) sepatutnya Al-Quran ini diturunkan
kepada seorang besar (yang kaya dan berpengaruh) dari salah sebuah dua
bandar yang (terkenal) itu?"
|
| 32. |
(Mengapa
pemberian Kami itu mereka ingkarkan?) Adakah mereka berkuasa membahagi-bahagikan
(perkara-perkara keruhanian dan keugamaan yang menjadi sebesar-besar) rahmat
Tuhanmu (wahai Muhammad, seolah-olah Kami hanya berkuasa dalam perkara
kebendaan dan keduniaan sahaja? Mereka tidak ingkarkan): Kami membahagi-bahagikan
antara mereka segala keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia ini,
(setengahnya Kami jadikan kaya raya dan setengahnya miskin menderita);
dan juga Kami telah menjadikan darjat setengah mereka tertinggi dari darjat
setengahnya yang lain; (semuanya itu) supaya sebahagian dari mereka senang
mendapat kemudahan menjalankan kehidupannya dari (bantuan) setengahnya
yang lain. Dan lagi rahmat Tuhanmu (yang meliputi kebahagiaan dunia dan
akhirat) adalah lebih baik dari kebendaan dan keduniaan semata-mata yang
mereka kumpulkan.
|
| 33. |
Dan kalaulah
tidak kerana manusia akan menjadi umat yang satu (dalam kekufuran), nescaya
Kami jadikan bagi orang-orang yang kufur ingkar kepada Tuhan Yang Maha
Pemurah, bumbung rumah-rumah mereka dari perak, dan tangga-tangga yang
mereka naik turun di atasnya (dari perak juga),
|
| 34. |
Dan juga
pintu-pintu rumah mereka (dari perak juga), dan kerusi-kerusi panjang yang
mereka berbaring di atasnya (dari perak juga),
|
| 35. |
Serta berbagai
barang
perhiasan (keemasan). Dan (ingatlah), segala yang tersebut itu tidak lain
hanyalah merupakan kesenangan hidup di dunia; dan (sebaliknya) kesenangan
hari akhirat di sisi hukum Tuhanmu adalah khas bagi orang-orang yang bertaqwa.
|
| 36. |
Dan sesiapa
yang tidak mengindahkan pengajaran (Al-Quran yang diturunkan oleh Allah)
Yang maha Pemurah, Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan
menyesatkannya), lalu menjadilah Syaitan itu temannya yang tidak renggang
daripadanya.
|
| 37. |
Dan sesungguhnya
Syaitan-syaitan itu tetap menghalangi mereka dari jalan yang benar, sedang
mereka menyangka bahawa mereka orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.
|
| 38. |
Sehingga
apabila ia (yang terjerumus dalam kesesatan itu) datang kepada Kami (pada
hari kiamat), berkatalah ia (kepada Syaitannya): "Alangkah baiknya (kalau
di dunia dahulu ada sekatan yang memisahkan) antaraku denganmu sejauh timur
dengan barat! Kerana (engkau) adalah sejahat-jahat teman".
|
| 39. |
(Lalu dikatakan
kepada mereka): "Pada hari ini, setelah nyata bahawa kamu telah menganiaya
diri sendiri, (maka apa yang kamu cita-citakan itu) tidak sekali-kali akan
memberi faedah kepada kamu, kerana sesungguhnya kamu dan teman-teman kamu
itu tetap menderita bersama-sama di dalam azab".
|
| 40. |
Maka (mengapa
engkau berdukacita wahai Muhammad) adakah engkau berkuasa menjadikan orang-orang
yang pekak mendengar, atau menunjuk jalan kepada orang-orang yang buta
(mata hatinya), dan juga orang-orang yang berada dalam kesesatan yang nyata?
|
| 41. |
Oleh itu
(bertenanglah engkau, kerana) kalaulah Kami wafatkan engkau (sebelum Kami
perlihatkan kepadamu azab yang akan menimpa mereka), maka sesungguhnya
Kami tetap menyeksakan mereka.
|
| 42. |
Atau sekiranya
Kami (hendak) memperlihatkan kepadamu apa yang Kami janjikan kepada mereka
(dari azab seksa itu), maka Kami tetap berkuasa terhadap mereka.
|
| 43. |
Dengan
yang demikian, berpegang teguhlah engkau kepada Al-Quran yang telah diwahyukan
kepadamu; kerana sesungguhnya engkau berada di atas jalan yang lurus.
|
| 44. |
Dan sesungguhnya
Al-Quran itu memberikan kemuliaan dan peringatan kepadamu (wahai Muhammad)
dan kepada kaummu; dan kamu akan ditanya kelak (tentang isi kandungannya
yang kamu telah amalkan).
|
| 45. |
Dan bertanyalah
kepada umat mana-mana Rasul yang Kami telah utuskan sebelummu; pernahkah
Kami memberi hukum menetapkan sebarang tuhan untuk disembah, selain dari
Allah Yang Maha Pemurah.
|
| 46. |
Dan demi
sesungguhnya! Kami telah mengutus Nabi Musa dengan membawa mukjizat-mukjizat
Kami, kepada Firaun dan kaumnya, lalu ia berkata: "Sesungguhnya aku ini
ialah Rasul dari Tuhan sekalian alam".
|
| 47. |
Maka apabila
ia datang kepada mereka dengan membawa tanda-tanda kekuasaan Kami, mereka
dengan serta-merta mencemuh dan menggelakkan (apa yang dibawanya) itu.
|
| 48. |
Dan tidaklah
Kami memperlihatkan kepada mereka sesuatu tanda kebenaran Nabi Musa melainkan
tanda itu adalah lebih terang dari yang terdahulu daripadanya; Dan Kami
timpakan mereka dengan berbagai azab (bala bencana), supaya mereka kembali
(bertaubat).
|
| 49. |
Dan (apabila
bala bencana itu menimpa mereka), mereka merayu kepada Nabi Musa dengan
berkata: "Wahai orang yang bijak pandai, pohonkanlah kepada Tuhanmu keselamatan
untuk kami dengan (kemuliaan) pangkat Nabi yang diberikan kepadamu; sesungguhnya
kami (sesudah itu) akan patuh beriman".
|
| 50. |
Setelah
Kami hapuskan azab itu daripada mereka, mereka terus mencabuli janjinya.
|