|
| 26. |
Dan Ia
memperkenankan doa permohonan orang-orang yang beriman serta beramal soleh,
dan Ia menambahi mereka dari limpah kurniaNya (selain dari yang mereka
pohonkan). Dan (sebaliknya) orang-orang yang kafir, disediakan bagi mereka
azab seksa yang seberat-beratnya.
|
| 27. |
Dan kalaulah
Allah memewahkan rezeki bagi setiap hambaNya, nescaya mereka akan melampaui
batas di bumi (dengan perbuatan-perbuatan liar durjana); akan tetapi Allah
menurunkan (rezekiNya itu) menurut kadar yang tertentu sebagaimana yang
dikehendakiNya. Sesungguhnya Ia Mengetahui dengan mendalam akan segala
keadaan hambaNya, lagi Melihat dengan nyata.
|
| 28. |
Dan Dia
lah yang menurunkan hujan setelah mereka berputus asa, dan Ia pula menyebarkan
rahmatNya merata-rata. Dan (ingatlah) Dia lah pengawal (yang melimpahkan
ihsanNya), lagi Yang Maha Terpuji.
|
| 29. |
Dan di
antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah kejadian langit dan bumi serta segala
yang Ia biakkan pada keduanya dari makhluk-makhluk yang melata; dan Ia
Maha Kuasa menghimpunkan mereka semuanya apabila Ia kehendaki (melakukannya).
|
| 30. |
Dan apa
jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka
ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang
salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar
dari dosa-dosa kamu.
|
| 31. |
Dan kamu
tidak akan dapat melemahkan kuasa Allah (daripada menimpakan kamu dengan
bala bencana, walaupun kamu melarikan diri di mana sahaja) di muka bumi
(atau di langit); dan kamu juga tidak akan beroleh sesiapapun yang lain
dari Allah. - sebagai pelindung atau pemberi pertolongan.
|
| 32. |
Dan di
antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah kapal-kapal (yang besar tinggi) seperti
gunung, belayar laju merempuh lautan.
|
| 33. |
Jika Ia
kehendaki, Ia menghentikan tiupan angin, maka tinggalah kapal-kapal itu
terapung-apung di muka lautan. Sesungguhnya yang demikian mengandungi tanda-tanda
(yang besar pengajarannya) bagi tiap-tiap seorang (mukmin) yang sentiasa
bersikap sabar, lagi sentiasa bersyukur.
|
| 34. |
Atau (jika
Ia kehendaki) Ia binasakan kapal-kapal itu disebabkan dosa-dosa yang dilakukan
oleh orang-orangnya, (lalu setengahnya dibiarkan mati lemas) dan (setengahnya
diselamatkan dengan jalan) Ia memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa
mereka.
|
| 35. |
(Berlakunya
yang demikian supaya nyata kekuasaan Kami) dan supaya orang-orang yang
membantah ayat-ayat keterangan Kami mengetahui, bahawa mereka tidak akan
dapat jalan melepaskan diri (dari azab seksa).
|
| 36. |
Oleh itu,
apa jua yang diberikan kepada kamu, maka ia hanyalah nikmat kesenangan
hidup di dunia ini sahaja, dan (sebaliknya) apa yang ada di sisi Allah
(dari pahala hari akhirat) adalah lebih baik dan lebih kekal bagi orang-orang
yang beriman dan yang berserah bulat-bulat kepada Tuhannya;
|
| 37. |
Dan juga
(lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar
serta perbuatan-perbuatan yang keji; dan apabila mereka marah (disebabkan
perbuatan yang tidak patut terhadap mereka), mereka memaafkannya;
|
| 38. |
Dan juga
(lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menyahut dan menyambut
perintah Tuhannya serta mendirikan sembahyang dengan sempurna; dan urusan
mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka; dan mereka pula mendermakan
sebahagian dari apa yang Kami beri kepadanya;
|
| 39. |
Dan juga
(lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang apabila ditimpa sesuatu
perbuatan secara zalim, mereka hanya bertindak membela diri (sepadan dan
tidak melampaui batas).
|
| 40. |
Dan (jika
kamu hendak membalas maka) balasan sesuatu kejahatan ialah kejahatan yang
bersamaan dengannya; dalam pada itu sesiapa yang memaafkan (kejahatan orang)
dan berbuat baik (kepadanya), maka pahalanya tetap dijamin oleh Allah (dengan
diberi balasan yang sebaik-baiknya). Sesungguhnya Allah tidak suka kepada
orang-orang yang berlaku zalim. |
| 41. |
Dan sesungguhnya
orang yang bertindak membela diri setelah ia dizalimi, maka mereka yang
demikian keadaannya, tidak ada sebarang jalan hendak menyalahkan mereka.
|
| 42. |
Sesungguhnya
jalan (untuk menyalahkan) hanyalah terhadap orang-orang yang melakukan
kezaliman kepada manusia dan bermaharajalela di muka bumi dengan tiada
sebarang alasan yang benar. Mereka itulah orang-orang yang beroleh azab
seksa yang tidak berperi sakitnya.
|
| 43. |
Dalam pada
itu (ingatlah), orang yang bersabar dan memaafkan (kesalahan orang terhadapnya),
sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki
diambil berat (melakukannya).
|
| 44. |
Dan sesiapa
yang disesatkan oleh Allah, maka tidak ada baginya sesudah itu sesiapapun
yang dapat menolongnya. Dan engkau akan melihat orang-orang yang zalim
semasa mereka menyaksikan azab (pada hari kiamat) berkata: "Adakah sebarang
jalan untuk kami kembali ke dunia?"
|
| 45. |
Dan engkau
juga akan melihat mereka didedahkan kepada neraka dalam keadaan tunduk
membisu dengan sebab kehinaan (yang mereka rasai) sambil memandang (ke
neraka itu) hanya dengan mengerling (kerana gerun takut). Dan orang-orang
yang beriman pula berkata: "Sesungguhnya orang-orang yang rugi (dengan
sebenar-benarnya) ialah mereka yang merugikan dirinya sendiri dan pengikut-pengikutnya
pada hari kiamat (dengan sebab mereka memilih perbuatan derhaka di dunia).
Ingatlah! Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu berada dalam azab seksa
yang kekal".
|
| 46. |
Dan tiadalah
bagi mereka sebarang penolong - yang lain dari Allah - yang dapat memberikan
pertolongan kepada mereka; dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah (disebabkan
pilihannya yang salah) maka tidak ada baginya sebarang jalan (untuk mendapat
hidayah petunjuk).
|
| 47. |
Sahut dan
sambutlah seruan Tuhan kamu (yang mengajak kamu beriman), sebelum datangnya
dari Allah - hari yang tidak dapat ditolak; pada hari itu tidak ada bagi
kamu tempat berlindung (dari azabNya), dan tidak ada pula bagi kamu sebarang
alasan untuk menafikan (kesalahan yang kamu telah lakukan).
|
| 48. |
Oleh itu,
jika mereka berpaling ingkar, maka Kami tidak mengutusmu (wahai Muhammad)
sebagai pengawas terhadap mereka; tugasmu tidak lain hanyalah menyampaikan
(apa yang diperintahkan kepadamu). Dan (ingatlah) sesungguhnya apabila
Kami memberi manusia merasai sesuatu rahmat dari Kami, ia bergembira dengannya;
dan (sebaliknya) jika mereka ditimpa sesuatu kesusahan disebabkan dosa-dosa
yang mereka lakukan, maka (mereka segera membantah serta melupakan rahmat
yang mereka telah menikmatinya, kerana) sesungguhnya manusia itu sangat
tidak mengenang nikmat-nikmat Tuhannya.
|
| 49. |
Bagi Allah
jualah hak milik segala yang ada di langit dan di bumi; Ia menciptakan
apa yang dikehendakiNya; Ia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa
yang dikehendakiNya, dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang
dikehendakiNya.
|
| 50. |
Atau Ia
mengurniakan mereka kedua-duanya - anak-anak lelaki dan perempuan, dan
Ia juga menjadikan sesiapa yang dikehendakiNya: mandul. Sesungguhnya Ia
Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa.
|