|
| 1. |
Haa, Miim |
| 2. |
Turunnya
Kitab ini dari Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
|
| 3. |
Sebuah
Kitab yang dijelaskan ayat-ayatnya satu persatu; iaitu Al-Quran yang diturunkan
dalam bahasa Arab bagi faedah orang-orang yang mengambil tahu dan memahami
kandungannya.
|
| 4. |
Ia membawa
berita yang mengembirakan (bagi orang-orang yang beriman) dan membawa amaran
(kepada orang-orang yang ingkar); dalam pada itu kebanyakan mereka berpaling
ingkar (tidak mahu mengetahui dan memahaminya), maka dengan sebab itu mereka
tidak menerima dan tidak mematuhinya.
|
| 5. |
Dan mereka
berkata: "Hati kami dalam tutupan yang berlapis-lapis (menghalang kami)
daripada memahami apa yang engkau serukan kami kepadanya, dan pada telinga
kami penyumbat (menjadikan kami tidak dapat mendengarnya), serta di antara
kami denganmu ada sekatan (yang memisahkan fahaman kita); oleh itu, bekerjalah
engkau (untuk ugamamu), sesungguhnya kami juga tetap bekerja (untuk mempertahankan
kepercayaan kami)! "
|
| 6. |
Katakanlah
(wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu;
diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan yang Satu; maka hendaklah
kamu tetap teguh di atas jalan yang betul lurus (yang membawa kepada mencapai
keredaanNya), serta pohonlah kepadaNya mengampuni (dosa-dosa kamu yang
telah lalu). Dan (ingatlah), kecelakaan besar bagi orang-orang yang mempersekutukanNya
(dengan sesuatu yang lain),
|
| 7. |
"Iaitu
orang-orang yang tidak memberi zakat (untuk membersihkan jiwa dan hartabendanya)
dan mereka pula kufur ingkar akan adanya hari akhirat".
|
| 8. |
Sesungguhnya
orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh, mereka beroleh
balasan pahala yang tidak putus-putus.
|
| 9. |
Katakanlah
(wahai Muhammad): "Sesungguhnya tidak patut kamu kufur kepada Tuhan yang
menciptakan bumi dalam dua masa, dan kamu adakan sekutu-sekutu bagiNya!
Yang demikian (sifatNya dan kekuasaanNya) ialah Allah Tuhan sekalian alam,
|
| 10. |
Dan Ia
menjadikan di bumi gunung-ganang yang menetapnya (tersergam tinggi) di
atasnya, serta Ia melimpahkan berkat padanya, dan Ia menentukan ada padaNya
bahan-bahan keperluan hidup penduduknya, sekadar yang menyamai hajat yang
diminta dan dikehendaki oleh keadaan mereka; (semuanya itu berlaku) dalam
empat masa.
|
| 11. |
Kemudian
Ia menunjukkan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit sedang langit itu
masih berupa asap; lalu Ia berfirman kepadanya dan kepada bumi: "Turutlah
kamu berdua akan perintahKu, sama ada dengan sukarela atau dengan paksa!"
Keduanya menjawab: "Kami berdua sedia menurut - patuh dengan sukarela"
|
| 12. |
Lalu Ia
menjadikannya tujuh langit, dalam dua masa; dan Ia memberitahu kepada tiap-tiap
langit akan urusan dan keperluannya masing-masing. Dan Kami hiasi langit
yang dekat (pada pandangan mata penduduk bumi) dengan bintang-bintang yang
bersinar cemerlang serta memelihara langit itu dengan sebaik-baiknya. Demikianlah
ketentuan Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui.
|
| 13. |
Oleh itu,
kalau mereka (yang musyrik) berpaling (daripada mengesakan Allah dan menurut
jalan yang lurus), maka katakanlah (wahai Muhammad): "Aku memberi amaran
kepada kamu dengan (azab yang dahsyat, iaitu) petir, seperti petir yang
telah menyambar kaum Aad dan kaum Thamud!"
|
| 14. |
(Mereka
ditimpa azab itu) kerana semasa mereka didatangi Rasul-rasul (memberikan
berbagai penjelasan) mengenai keadaan hidup mereka di dunia dan di akhirat
(sambil melarang mereka): "Janganlah kamu menyembah melainkan Allah", mereka
menjawab: "Jika Tuhan kami hendak (mengutus Rasul-rasul) tentulah Ia akan
menurunkan malaikat; oleh itu sesungguhnya kami kufur ingkar akan apa yang
(kamu katakan): kamu diutus membawanya!"
|
| 15. |
Adapun
kaum Aad, maka mereka berlaku sombong takbur di muka bumi dengan tiada
sebarang alasan yang benar, serta berkata: "Siapakah yang lebih kuat dari
kami?" Dan (mengapa mereka bersikap demikian?) Tidakkah mereka memerhatikan
bahawa Allah yang menciptakan mereka (dari tiada kepada ada) adalah lebih
besar kekuatanNya dari mereka? Dan sememangnya mereka sengaja mengingkari
tanda-tanda kekuatan Kami (sedang mereka sedia mengetahuinya).
|
| 16. |
Lalu Kami
hantarkan kepada mereka angin ribut yang kencang dalam beberapa hari yang
nahas malang, kerana Kami hendak merasakan mereka azab seksa yang menghina
dalam kehidupan dunia; dan sesungguhnya azab seksa hari akhirat lebih besar
kehinaannya; sedang mereka tidak diberikan pertolongan (menghindarkan azab
itu).
|
| 17. |
Adapun
kaum Thamud, maka Kami beri petunjuk kepadanya, lalu mereka mengutamakan
kesesatan dari hidayah petunjuk; mereka pun disambar oleh petir azab yang
menghina dengan sebab apa yang mereka telah lakukan.
|
| 18. |
Dan Kami
selamatkan orang-orang yang beriman serta mereka tetap bertaqwa.
|
| 19. |
Dan (ingatlah)
hari dihimpun musuh-musuh Allah untuk dibawa ke neraka, lalu mereka dijaga
serta diatur keadaan dan perjalanannya masing-masing.
|
| 20. |
Sehingga
apabila mereka sampai ke neraka, (maka) pendengaran dan penglihatan serta
kulit-kulit badan mereka menjadi saksi terhadap mereka, mengenai apa yang
mereka telah kerjakan.
|
| 21. |
Dan (setelah
berlaku yang demikian), berkatalah mereka kepada kulit-kulit badan mereka:
"Mengapa kamu menjadi saksi terhadap kami?" Kulit-kulit badan mereka menjawab:
"Allah yang berkuasa menjadikan tiap-tiap sesuatu pandai berkata-kata -
telah menjadikan kami dapat berkata-kata; dan Dia lah yang menciptakan
kamu pada mulanya, dan kepadaNyalah kamu dikembalikan (untuk menerima balasan).
|
| 22. |
"Dan semasa
kamu berselindung (ketika melakukan dosa di dunia dahulu) bukanlah kerana
kamu bimbangkan pendengaran dan penglihatan serta kulit-kulit badan kamu
menjadi saksi terhadap perbuatan-perbuatan kamu yang berdosa itu, akan
tetapi kerana kamu menyangka bahawa Allah tidak mengetahui kebanyakan dosa
yang kamu lakukan (secara bersembunyi itu).
|
| 23. |
"Dan sangkaan
kamu yang demikian, yang kamu sangka terhadap Tuhan kamu, itulah yang telah
membinasakan kamu; (dengan sangkaan kamu yang salah itu) maka menjadilah
kamu dari orang-orang yang rugi!"
|
| 24. |
Oleh itu,
sama ada mereka bersabar menderita azab atau sebaliknya (maka sama sahaja)
kerana nerakalah tempat tinggal mereka; dan jika mereka memohon peluang
untuk mendapat keredaan Allah, maka mereka bukanlah lagi dari orang-orang
yang diterima permohonannya.
|
| 25. |
Dan Kami
adakan untuk mereka teman-teman rapat (dari jin dan manusia), lalu teman-teman
itu memperhiaskan kepada mereka (fahaman-fahaman sesat) mengenai perkara-perkara
dunia yang ada di hadapan mereka, serta perkara-perkara akhirat yang ada
di belakang mereka; dan (dengan sebab itu) tetaplah hukuman (azab) atas
mereka bersama-sama dengan umat umat (yang sesat) dari jin dan manusia
yang terdahulu daripada mereka. Sesungguhnya mereka semuanya adalah golongan
yang rugi (bawaan hidupnya).
|