|
| 126. |
Dan bagi
Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi; dan Allah
sentiasa Meliputi (pengetahuanNya dan kekuasaanNya) akan tiap-tiap sesuatu.
|
| 127. |
Dan mereka
meminta fatwa kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hak dan kewajipan) kaum
perempuan. Katakanlah olehmu: "Allah akan memberi keterangan (fatwa) kepada
kamu mengenai mereka dan juga (ada difatwakan dalam) apa yang selalu dibacakan
kepada kamu dalam Kitab (Al-Quran) ini mengenai perempuan-perempuan yatim
yang kamu tidak memberi kepadanya apa yang telah ditetapkan menjadi hak
mereka, dan yang kamu suka berkahwin dengan mereka; dan juga mengenai anak-anak
yang lemah (yang masih kecil lagi). Dan (kamu juga diwajibkan) supaya menguruskan
(hak dan keperluan) anak-anak yatim dengan adil. Dan (ingatlah) apa jua
kebaikan yang kamu lakukan (kepada mereka), maka sesungguhnya Allah sentiasa
Mengetahuinya."
|
| 128. |
Dan jika
seorang perempuan bimbang akan timbul dari suaminya "nusyuz" (kebencian),
atau tidak melayaninya, maka tiadalah salah bagi mereka (suami isteri)
membuat perdamaian di antara mereka berdua (secara yang sebaik-baiknya),
kerana perdamaian itu lebih baik (bagi mereka daripada bercerai-berai);
sedang sifat bakhil kedekut (tidak suka memberi atau bertolak ansur) itu
memang tabiat semula jadi yang ada pada manusia. Dan jika kamu berlaku
baik (dalam pergaulan), dan mencegah diri (daripada melakukan kezaliman),
maka sesungguhnya Allah Maha Mendalam PengetahuanNya akan apa yang kamu
lakukan.
|
| 129. |
Dan kamu
tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu
bersungguh-sungguh (hendak melakukannya); oleh itu janganlah kamu cenderung
dengan melampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga
kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awan-awan);
dan jika kamu memperbaiki (keadaan yang pincang itu), dan memelihara diri
(daripada perbuatan yang zalim), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun,
lagi Maha Mengasihani.
|
| 130. |
Dan jika
keduanya bercerai, maka Allah akan cukupkan (keperluan) masing-masing dari
limpah kurniaNya. Dan (ingatlah) Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi
Maha Bijaksana.
|
| 131. |
Dan bagi
Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi; dan demi sesungguhnya,
Kami telah perintahkan orang-orang yang diberi Kitab dahulu daripada kamu,
dan juga (perintahkan) kamu, iaitu hendaklah bertaqwa kepada Allah; dan
jika kamu kufur ingkar, maka (ketahuilah) sesungguhnya Allah jualah yang
memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi; dan (ingatlah)
adalah Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.
|
| 132. |
Dan bagi
Allah jualah apa yang ada di langit dan yang ada di bumi; dan cukuplah
Allah sebagai Pengawal (yang mentadbirkan dan menguasai segala-galanya).
|
| 133. |
Jika Allah
menghendaki, nescaya Ia musnahkan kamu wahai umat manusia dan Ia datangkan
gantinya dengan umat-umat yang lain. Dan adalah Allah Maha Kuasa melakukan
yang demikian itu.
|
| 134. |
Sesiapa
yang mahukan pahala (balasan) dunia sahaja (maka rugilah ia), kerana di
sisi Allah disediakan pahala (balasan) dunia dan akhirat. Dan (ingatlah)
Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.
|
| 135. |
Wahai orang-orang
yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan
keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah,
sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu.
Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu
terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan
kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya.
Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng
dari keadilan. Dan jika kamu memutar-balikkan keterangan ataupun enggan
(daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan
mendalam akan apa yang kamu lakukan.
|
| 136. |
Wahai orang-orang
yang beriman! Tetapkanlah iman kamu kepada Allah dan RasulNya, dan kepada
Kitab Al-Quran yang telah diturunkan kepada RasulNya (Muhammad, s.a.w),
dan juga kepada Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan dahulu daripada
itu. Dan sesiapa yang kufur ingkar kepada Allah, dan Malaikat-malaikatNya,
dan Kitab-kitabNya, dan Rasul-rasulNya dan juga Hari Akhirat, maka sesungguhnya
ia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh.
|
| 137. |
Sesungguhnya
orang-orang yang beriman, kemudian mereka kafir, kemudian mereka beriman
semula, kemudian mereka kafir sekali lagi, kemudian mereka bertambah-tambah
lagi dengan kekufuran, Allah tidak sekali-kali akan memberi ampun kepada
mereka, dan tidak akan memberi pertunjuk hidayah kepada mereka ke jalan
yang benar.
|
| 138. |
Sampaikanlah
khabar berita kepada orang-orang munafik: bahawa sesungguhnya disediakan
untuk mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya;
|
| 139. |
(Iaitu)
orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan
meninggalkan orang-orang yang beriman. Tidaklah patut mereka (orang-orang
munafik) mencari kekuatan dan kemuliaan di sisi orang-orang kafir itu,
kerana sesungguhnya kekuatan dan kemuliaan itu semuanya ialah milik Allah,
(diberikannya kepada sesiapa yang dikehendakiNya).
|
| 140. |
Dan sesungguhnya
Allah telahpun menurunkan kepada kamu (perintahNya) di dalam Kitab (Al-Quran),
iaitu: apabila kamu mendengar ayat-ayat keterangan Allah diingkari dan
diejek-ejek (oleh kaum kafir dan munafik), maka janganlah kamu duduk (bergaul)
dengan mereka sehingga mereka masuk kepada memperkatakan soal yang lain;
kerana sesungguhnya (jika kamu melakukan yang demikian), tentulah kamu
sama seperti mereka. Sesungguhnya Allah akan menghimpunkan sekalian orang
manufik dan orang kafir di dalam neraka jahannam.
|
| 141. |
(Mereka
yang munafik itu ialah) orang-orang yang sentiasa menunggu-nunggu (berlakunya
sesuatu) kepada kamu; maka kalau kamu mendapat kemenangan dari Allah (dalam
sesuatu peperangan), berkatalah mereka (kepada kamu): "Bukankah kami turut
berjuang bersama-sama kamu? (Oleh itu kami juga berhak menerima bahagian
dari harta rampasan perang)". Dan jika orang-orang kafir pula mendapat
bahagian (yang menguntungkan dalam peperangan), berkatalah mereka (kepada
orang-orang kafir itu): "Bukankah kami turut membantu kamu dan mempertahankan
kamu dari (serang balas) orang-orang yang beriman (dengan mendedahkan rahsia
perpaduannya)?" Maka Allah akan menghakimi di antara kamu semua pada hari
kiamat; dan Allah tidak sekali-kali akan memberi jalan kepada orang-orang
kafir untuk membinasakan orang-orang yang beriman.
|
| 142. |
Sesungguhnya
orang-orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap ugama) Allah (dengan
perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya), dan Allah
pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka dalam keadaan
munafik). Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri
dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan sembahyangnya)
kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman), dan
mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan
sedikit sekali (jarang-jarang).
|
| 143. |
Mereka
berkeadaan "muzabzab" (tidak mempunyai pendirian yang tetap) antara (iman
dan kufur) itu; mereka tidak berpihak terus kepada golongan (kafir) dan
tidak pula berpihak kepada golongan (yang beriman). Dan sesiapa yang disesatkan
oleh Allah, maka engkau (wahai Muhammad) tidak sekali-kali akan mendapat
jalan untuk menyelamatkannya.
|
| 144. |
Wahai orang-orang
yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang kafir menjadi teman
rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Adakah kamu hendak
mengadakan alasan yang terang nyata bagi Allah untuk (menyeksa) kamu?
|
| 145. |
Sesungguhnya
orang-orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan yang terkebawah sekali
dari (lapisan-lapisan dalam) neraka. Dan engkau tidak sekali-kali akan
mendapat sesiapa pun yang boleh menolong mereka.
|
| 146. |
Kecuali
orang-orang yang bertaubat (dari perbuatan munafik itu) dan memperbaiki
amalan mereka (yang salah), dan mereka pula berpegang teguh kepada (ugama)
Allah, serta mengerjakan ugama mereka dengan ikhlas kerana Allah, maka
mereka yang demikian itu ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman
(di dalam Syurga); dan Allah akan memberikan orang-orang yang beriman itu
pahala yang amat besar.
|
| 147. |
Apa gunanya
Allah menyeksa kamu sekiranya kamu bersyukur (akan nikmatNya) serta kamu
beriman (kepadaNya)? Dan (ingatlah) Allah sentiasa Membalas dengan sebaik-baiknya
(akan orang-orang yang bersyukur kepadaNya), lagi Maha Mengetahui (akan
hal keadaan mereka).
|
| 148. |
Allah tidak
suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang
(untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dianiayakan.
Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
|
| 149. |
Jika kamu
melahirkan sesuatu kebaikan, atau menyembunyikannya, atau kamu memaafkan
kesalahan (yang dilakukan terhadap kamu), maka sesungguhnya Allah adalah
Maha Pemaaf lagi Maha Kuasa.
|
| 150. |
Sesungguhnya
orang-orang yang kufur ingkar kepada Allah dan Rasul-rasulNya, dan (orang-orang
yang) hendak membeza-bezakan iman mereka di antara Allah dan Rasul-rasulNya,
dan (orang-orang yang) berkata: "Kami beriman kepada setengah Rasul-rasul
itu dan kufur ingkar kepada setengahnya yang lain", serta bertujuan hendak
mengambil jalan lain antara iman dan kufur itu:
|