|
| 101. |
Dan apabila
kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa "mengqasarkan" (memendekkan)
sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir. Sesungguhnya
orang-orang kafir itu adalah musuh yang amat nyata bagi kamu.
|
| 102. |

Dan apabila
engkau (wahai Muhammad) berada dalam kalangan mereka (semasa perang), lalu
engkau mendirikan sembahyang dengan (menjadi imam) mereka, maka hendaklah
sepuak dari mereka berdiri (mengerjakan sembahyang) bersama-samamu, dan
hendaklah mereka menyandang senjata masing-masing; kemudian apabila mereka
telah sujud, maka hendaklah mereka berundur ke belakang (untuk menjaga
serbuan musuh); dan hendaklah datang pula puak yang lain (yang kedua) yang
belum sembahyang (kerana menjaga serbuan musuh), maka hendaklah mereka
bersembahyang (berjamaah) bersama-samamu, dan hendakah mereka mengambil
langkah berjaga-jaga serta menyandang senjata masing-masing. Orang-orang
kafir memang suka kalau kamu cuai lalai akan senjata dan harta benda kamu,
supaya dengan jalan itu mereka dapat menyerbu kamu beramai-ramai dengan
serentak. Dan tidaklah kamu berdosa meletakkan senjata masing-masing, jika
kamu dihalangi sesuatu yang menyusahkan disebabkan hujan atau kamu sakit.
Dan hendaklah kamu mengambil langkah berjaga-jaga. Sesungguhnya Allah telah
menyediakan bagi orang-orang kafir itu azab seksa yang amat menghina.
|
| 103. |
Kemudian
apabila kamu telah selesai mengerjakan sembahyang, maka hendaklah kamu
menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa
kamu berbaring. Kemudian apabila kamu telah merasa tenteram (berada dalam
keadaan aman) maka dirikanlah sembahyang itu (dengan sempurna sebagaimana
biasa). Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan
atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.
|
| 104. |
Dan janganlah
kamu lemah (hilang semangat) dalam memburu musuh (yang menceroboh) itu;
kerana kalau kamu menderita sakit (luka atau mati) maka sesungguhnya mereka
pun menderita sakitnya seperti penderitaan kamu; sedang kamu mengharapkan
dari Allah apa yang mereka tidak harapkan (iaitu balasan yang baik pada
hari akhirat kelak). Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
|
| 105. |
Sesungguhnya
Kami menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa
kebenaran, supaya engkau menghukum di antara manusia menurut apa yang Allah
telah tunjukkan kepadamu (melalui wahyuNya); dan janganlah engkau menjadi
pembela bagi orang-orang yang khianat.
|
| 106. |
Dan hendaklah
engkau memohon ampun kepada Allah; kerana sesungguhnya Allah adalah Maha
Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
|
| 107. |
Dan janganlah
engkau berbahas untuk membela orang-orang yang mengkhianati diri mereka
sendiri. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang selalu melakukan
khianat, lagi sentiasa berdosa.
|
| 108. |
Mereka
menyembunyikan (kejahatan mereka) daripada manusia, dalam pada itu mereka
tidak menyembunyikan (kejahatan mereka) daripada Allah. Padahal Allah ada
bersama-sama mereka, ketika mereka merancangkan pada malam hari, kata-kata
yang tidak diredhai oleh Allah. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Meliputi
PengetahuanNya akan apa yang mereka lakukan.
|
| 109. |
Sedarlah!
Kamu ini adalah orang-orang (yang telah menyimpang dari kebenaran), kamu
telah berhujah membela mereka (yang bersalah) dalam kehidupan dunia ini,
maka siapakah yang akan berhujah kepada Allah untuk membela mereka itu
pada hari kiamat kelak? Atau siapakah yang akan menjadi pelindung mereka
(dari azab seksa yang disediakan oleh Allah)?
|
| 110. |
Dan sesiapa
yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri (dengan melakukan
maksiat) kemudian ia memohon ampun kepada Allah, nescaya ia akan mendapati
Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
|
| 111. |
Dan sesiapa
yang mengerjakan sesuatu dosa maka sesungguhnya ia hanya mengerjakannya
untuk (menjadi bala bencana yang) menimpa dirinya sendiri. Dan (ingatlah)
Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
|
| 112. |
Dan sesiapa
yang melakukan suatu kesalahan atau suatu dosa, kemudian ia menuduhnya
kepada orang yang tidak bersalah, maka sesungguhnya ia telah memikul kesalahan
berbuat dusta, dan melakukan dosa yang amat nyata.
|
| 113. |
Dan kalaulah
tidak kerana limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepadamu (wahai Muhammad),
nescaya berhasilah cita-cita segolongan dari mereka yang bertujuan hendak
menyesatkanmu, padahal mereka tidak akan menyesatkan melainkan dirinya
sendiri; dan juga mereka tidak akan dapat mendatangkan mudarat kepadamu
sedikitpun; dan (selain itu) Allah telah menurunkan kepadamu Kitab (Al-Quran)
serta Hikmah (pengetahuan yang mendalam), dan telah mengajarkanmu apa yang
engkau tidak mengetahuinya. Dan adalah kurnia Allah yang dilimpahkanNya
kepada mu amatlah besar.
|
| 114. |
Tidak ada
kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan)
orang yang menyuruh bersedekah, atau berbuat kebaikan, atau mendamaikan
di antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari
keredaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar.
|
| 115. |
Dan sesiapa
yang menentang (ajaran) Rasulullah sesudah terang nyata kepadanya kebenaran
pertunjuk (yang dibawanya), dan ia pula mengikut jalan yang lain dari jalan
orang-orang yang beriman, Kami akan memberikannya kuasa untuk melakukan
(kesesatan) yang dipilihnya, dan (pada hari akhirat kelak) Kami akan memasukkannya
ke dalam neraka jahanam; dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat
kembali.
|
| 116. |
Sesungguhnya
Allah tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempersekutukanNya dengan
sesuatu (apa jua), dan akan mengampunkan yang lain daripada kesalahan (syirik)
itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan hukum-hukumNya);
dan sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu (apa jua), maka sesungguhnya
ia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh.
|
| 117. |
Apa yang
mereka sembah yang lain dari Allah itu, hanyalah berhala-berhala (makhluk-makhluk
yang lemah), dan mereka (dengan yang demikian) tidak menyembah melainkan
Syaitan yang derhaka;
|
| 118. |
Yang telah
dilaknat oleh Allah, dan yang telah mengatakan: "Demi sesungguhnya, aku
akan mengambil dari kalangan hamba-hambaMu, bahagian yang tertentu (untuk
menjadi pengikutku);
|
| 119. |
"Dan demi
sesungguhnya, aku akan menyesatkan mereka (dari kebenaran), dan demi sesungguhnya
aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan demi sesungguhnya
aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak), lalu mereka
membelah telinga binatang-binatang itu; dan aku akan menyuruh mereka mengubah
ciptaan Allah". Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin
yang ditaati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian
yang terang nyata.
|
| 120. |
Syaitan
sentiasa menjanjikan mereka (dengan janji-janji indah) serta memperdayakan
mereka dengan angan-angan kosong; dan apa yang dijanjikan oleh Syaitan
itu tidak lain hanyalah tipu daya semata-mata.
|
| 121. |
Mereka
itu, tempat akhirnya ialah neraka jahanam, dan mereka pula tidak akan dapat
melarikan diri daripadanya.
|
| 122. |
Dan orang-orang
yang beriman serta beramal soleh, Kami akan masukkan mereka ke dalam Syurga
yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya,
sebagai janji Allah yang benar. Dan siapakah yang lebih benar perkataannya
daripada Allah?
|
| 123. |
(Balasan
yang baik yang dijanjikan oleh Allah itu) tidak akan didapati hanya dengan
angan-angan kamu semata-mata, dan tidak pula dengan angan-angan ahli Kitab
(Yahudi dan Nasrani). Sesiapa yang melakukan kejahatan, ia akan dibalas
dengan kejahatan itu, dan ia pula tidak akan mendapat - selain dari Allah
- seorang pun yang akan melindunginya, dan tidak ada juga yang dapat menolongnya.
|
| 124. |
Dan sesiapa
yang mengerjakan amal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman,
maka mereka itu akan masuk Syurga, dan mereka pula tidak akan dianiaya
(atau dikurangkan balasannya) sedikitpun.
|
| 125. |
Dan tidak
ada yang lebih baik ugamanya daripada orang yang menyerahkan dirinya kepada
Allah (dengan ikhlas), sedang ia berusaha mengerjakan kebaikan, dan ia
pula mengikut ugama Nabi Ibrahim yang lurus (yang tetap di atas dasar tauhid);
dan (kerana itulah) Allah menjadikan Nabi Ibrahim kesayanganNya.
|